KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) digesa memanjangkan tempoh masa kepada persatuan sukan sehingga tahun depan untuk memohon Inisiatif Prihatin Sukan 2020.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa, tempoh masa itu dilihat relevan bagi permohonan dana RM3 juta iaitu untuk bantuan program pendigitalan serta projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) persatuan sukan.
"Untuk sebarang projek R&D persatuan sukan sememangnya memerlukan masa selewat-lewatnya Februari tahun depan bagi membolehkan pemohon mengumpulkan data-data atau penemuan sebelum mengemukakan permohonan kepada pihak KBS yang kemudian akan digunakan untuk kajian seterusnya.
"Jadi dalam situasi semua pihak berusaha memutuskan rantaian Covid-19 ini, ditambah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tentulah sukar untuk pemohon kategori ini membuat dan menghantar kertas kerja atau mungkin masih kurang jelas mengenai syarat permohonan dalam talian kategori ini.
"Kita tidak mahu pemohon menghantar projek R&D secara tergesa-gesa semata-mata untuk mendapatkan geran. Ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada KBS kerana kementerian perlu membentangkannya pada sesi Parlimen bagi mendapatkan bajet tahunan.
"Kita kena ingat untuk bahagian R&D, ia memerlukan tempoh masa kajian lebih terperinci dan bersistematik bagi mendapatkan hasil yang positif.
"Kita tentu tidak mahu keberkesanannya hanya untuk tempoh jangka pendek sebaliknya untuk jangka panjang.
"Kajian tidak boleh dibuat dalam jangka pendek kerana tidak relevan dan pastinya kita tidak mahu orang kata research 'kangkung' atau 'cap ayam',” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, KBS melanjutkan tempoh tarikh tutup permohonan Inisiatif Prihatin Sukan 2020 untuk persatuan sukan berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berkongsi mengenai perkara itu di laman Instagram miliknya berkata, tarikh tutup permohonan dana itu dengan peruntukan sebanyak RM10 juta pada 17 Julai ini dilanjutkan sehingga 15 Ogos depan.
Inisiatif berkenaan yang bertujuan membantu meringankan impak ekonomi dan kewangan persatuan sukan yang terjejas akibat Covid-19 dibahagikan kepada tiga jenis.
Bantuan membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta iaitu bantuan yang terbesar (bantuan menjalankan program dan aktiviti persatuan sukan), RM3 juta (bantuan bagi program pendigitalan serta projek R&D persatuan) dan RM2 juta (bantuan pengurusan kepada persatuan sukan kebangsaan).
Untuk kategori RM5 juta iaitu bantuan menjalankan program dan aktiviti persatuan sukan, Mohd Sadek berkata, lanjutan tempoh diberikan KBS itu secara tidak langsung akan memberi lebih masa kepada persatuan sukan merancang semula aktiviti sebelum menghantar permohonan.
"Peruntukan RM5 juta ini penting kerana ini antara yang dana yang paling besar, namun kita harus ingat bahawa sepanjang tempoh PKPP ini kebanyakan sistem sosial dan anggota masyarakat masih waswas untuk bersosial.
"Jadi lanjutan masa diberikan KBS ini secara tidak langsung adalah satu inisiatif yang baik untuk semua pihak memanfaatkan dana itu dalam merancakkan aktiviti sukan di peringkat akar umbi,” jelasnya.
Pada masa sama, Mohd Sadek yakin dana RM2 juta bantuan pengurusan kepada persatuan sukan kebangsaan tidak berdepan masalah untuk dimohon oleh persatuan sukan berkenaan.
Klik di sini untuk terus membaca