SELEPAS menutup pintu sempadan selama hampir lima bulan, Malaysia dan Singapura akhirnya bersetuju membenarkan rentas sempadan secara bersyarat menerusi inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) mulai 10 Ogos ini.
Kedua-dua inisiatif itu melibatkan urusan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara serta pemegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan. RGL akan membenarkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi antara kedua-dua negara.
Mereka yang memenuhi syarat harus mematuhi peraturan melibatkan langkah pencegahan dan kesihatan awam koronavirus (Covid-19) yang dipersetujui bersama oleh Malaysia dan Singapura.
Menurut lidah pengarang Sin Chew Daily, hubungan antara Malaysia dengan Singapura cukup erat dalam semua bidang, lebih-lebih lagi melibatkan penduduk Johor yang bekerja setiap hari berulang alik ke republik itu.
"Apabila kerajaan Malaysia dan Singapura setuju mewujudkan RGL dan PCA, ia sudah pasti membawa khabar gembira. Kedua-dua negara sememangnya berusaha untuk memulihkan hubungan ekonomi dengan secepat yang mungkin,” tulis akhbar itu.
Sejak pintu sempadan yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura ditutup, ramai pekerja tempatan yang setiap hari berulang alik antara Johor dengan Singapura terpaksa tinggal di Singapura buat sementara waktu.
Beban sara hidup mereka semakin berat apabila perlu menyewa bilik. Bagaimanapun, selepas inisiatif bersama kerajaan Malaysia dan Singapura itu, ia ternyata melegakan banyak pihak sekali gus membawa manfaat kepada sektor ekonomi kedua-dua negara.
Akhbar itu turut mengulas kegiatan perniagaan di Johor Bahru dijangka turut kembali aktif apabila bakal menerima kunjungan rakyat Singapura yang memasuki ke Johor untuk membeli-belah.
"Adalah dipercayai pengusaha gedung perniagaan seperti pusat beli-belah, restoran dan peruncitan kini sudah bersiap sedia untuk menerima kemasukan rakyat Singapura.
"Bagaimanapun, memandangkan situasi penularan Covid-19 di Malaysia dan Singapura masih belum pulih sepenuhnya, rakyat kedua-dua negara dinasihatkan agar lebih berwaspada dan mesti mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa,” tulis akhbar itu lagi.
Dalam pada itu, Nanyang Siang Pau dalam lidah pengarangnya pula meminta kerajaan mempergiatkan semula sektor pelancongan kerana sektor tersebut paling teruk terkesan akibat Covid-19.
"Seperti yang dikatakan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara, sektor pelancongan sekurang-kurangnya memerlukan tempoh empat tahun untuk pulih sepenuhnya.
"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, sektor pelancongan di negara kita telah mengalami kerugian kira-kira RM45 bilion manakala diramalkan pada tahun ini, seramai sejuta orang yang terbabit dalam sektor pelancongan akan hilang pekerjaan.
"Sumber utama pendapatan dalam sektor pelancongan umumnya datang daripada kemasukan pelancong asing. Malangnya setelah semua sempadan pintu ditutup dan tidak dipastikan pula bila ia akan dibuka semula, menyebabkan sektor ini menjadi lebih tenat,” kata akhbar itu.
Menurut Nanyang Siang Pau, selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan pada 31 Ogos ini, sektor pelancongan akan kembali pulih dan akhbar itu mengharapkan kerajaan boleh memberikan bantuan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan sama ada dari segi kewangan atau kemudahan-kemudahan lain.
* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian