PADA hari Jumaat 10 Julai 2020, tiba-tiba keluar berita, 'Hari Jumaat diumumkan sebagai Hari Jawi'. Ia bermula pada hari itu dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu kenyataan berkata, usul itu dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu minggu lalu dan mendapat sokongan penuh daripada semua ahli jemaah menteri.
Pada hari yang sama, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan berkata, keputusan kerajaan itu memberikan ruang untuk tulisan Jawi, diletakkan pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun, sebelum tulisan rumi diterima sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan.
Esoknya (Sabtu 11 Julai 2020) portal Ismaweb.net memuatkan tinjauannya di ruangan komen Facebook beberapa portal berbahasa Cina. Ia "mendapati kebanyakan netizen Cina dengan biadab mengecam usaha Menteri Agama, selain mendakwa pelaksanaan itu disokong kuat anggota Kabinet MCA.”
Di ruangan komen portal akhbar Sin Chew Daily, misalnya, pengguna bernama Qian Ying Long menggesa kaum Cina untuk berhenti berpolitik dan bersatu menentang pelaksanaan Hari Jawi.
"Adakah ahli politik sedang mengarabkan negara ini? Lupa dirinya Melayu?” tulis Alan Chin Weng Lon.
"Kalau begitu pada hari Jumaat semua orang Melayu makan daging babi,” tulis A Fa pula.
Selepas itu, tentulah lebih banyak komen dan pandangan yang akan dibuat oleh kedua-dua pihak, yang menyokong dan menentang. Untuk tujuan rencana ini, cukuplah setakat ini.
Kita bincang pengumuman Menteri Agama dahulu. Soalan pertama, mengapa beliau yang membuat cadangan itu? Tulisan jawi untuk kegunaan rasmi kerajaan bukanlah hal ehwal agama. Di mana letaknya isu agama mengenai penggunaan tulisan jawi sebagai kepala surat rasmi?
Di mana letaknya isu agama dalam surat-surat rasmi kerajaan, penyampaian maklumat menerusi platform media sosial rasmi, penggunaan tulisan jawi dalam kenyataan-kenyataan rasmi di kawasan-kawasan awam dan nama jalan?
Kenyataan-kenyataan rasmi di kawasan awam dan nama jalan terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pembelajaran tulisan jawi pula terletak di bawah Kementerian Pendidikan.
Cadangan ini melibatkan pelaksanaan oleh semua kementerian dan jabatan. Tidakkah menteri-menteri berkenaan membangkitkan isu-isu yang melibatkan kementerian masing-masing?
Persediaan
Mengikut Menteri Agama, cadangan itu mendapat sokongan penuh daripada semua ahli Jemaah Menteri. Soalan: adakah isu mengenai persediaan untuk melaksanakannya dibincang?
Cadangan itu dikemukakan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri pada hari Rabu 8 Julai 2020, pengumuman dibuat pada hari Khamis 9 Julai 2020 dan pelaksanaan dimulakan pada hari Jumaat 10 Julai 2020.
Pengumuman itu disiarkan akhbar pada hari Jumaat yang sama. Berapa orang penjawat awam daripada Ketua Setiausaha Negara ke bawah yang pergi ke pejabat pagi itu mengetahui mereka mempunyai satu tanggungjawab baharu dan apa persediaan yang mereka telah buat untuk melaksanakannya?
Kita ambil misalan yang paling mudah: tulisan jawi hendaklah digunakan bagi surat-menyurat rasmi kerajaan. Adakah komputer-komputer penjawat awam telah dibuat setting untuk membolehkannya digunakan bagi menaip tulisan jawi? Tahukah penjawat-penjawat awam itu menaip jawi? Tahukah penerimanya membacanya dan membalas surat-surat itu dengan menggunakan tulisan jawi?
Yang jelas ialah pengumuman itu dibuat tanpa apa-apa persediaan. Seorang menteri yang berlatarbelakangkan akademik, pengetua pondok moden dan seorang mufti mungkin tidak dapat membayangkan semua itu sebagai akibat cadangan dan pengumuman yang dibuatnya. Bagaimana dengan pegawai-pegawainya? Adakah mereka juga tidak terfikir atau takut menasihatkan menteri?
Sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka memanglah boleh dijangka. Alasan bahawa tulisan jawi digunakan beratus-ratus tahun oleh kesultanan Melayu dalam semua bidang termasuk undang-undang adalah alasan biasa yang diberi oleh ahli-ahli akademik. Itu adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan.
Tetapi kita harus ingat bahawa pada masa itu tulisan rumi belum tiba ke rantau ini. Mesin taip belum ada. Semua dokumen ditulis dengan tangan. Maka tulisan jawilah satu-satunya pilihan pada masa itu.
Keadaan berubah dengan kedatangan tulisan rumi, apatah lagi mesin taip yang menggunakan huruf rumi yang lebih mudah dipelajari dan digunakan.
Kita tidak perlu menangisi tulisan jawi kerana tempatnya diambil alih oleh tulisan rumi. Ia hanya satu jenis tulisan, satu alat yang, seperti semua alat, sesuai untuk tujuan tertentu pada suatu masa dan kurang sesuai pada suatu masa lain. Unta amat penting sebagai alat pengangkutan selama beribu tahun. Sekarang tidak lagi.
Kita pergi kepada komen-komen netizen-netizen Cina itu. Saya sengaja memperturunkan komen-komen mereka itu supaya pembaca dapat membaca sendiri apa yang dikatakan mereka dan membayangkan apakah jenis manusia mereka itu.
Kita perhatikan, terutama sekali semenjak pemerintahan Pakatan Harapan, demikianlah reaksi mereka terhadap sesuatu yang berkaitan atau yang mereka kaitkan dengan Melayu/Islam.
Janganlah kerana marah, kita juga terikut-ikut dengan budaya mereka. Apabila anjing menyalak kepada kita, kita tidak menyalak balik kepadanya. Sebab kita berbeza daripadanya. Kita gunakan hujah-hujah yang lebih baik untuk mengatasi mereka.
Saya sungguh tidak faham mengapa mereka benci sangat kepada tulisan jawi. Ada yang menyamakannya dengan bahasa Arab, sedangkan ia hanya huruf. Saya masih ingat, dalam tahun 1950-an, jika kita pergi ke pekan-pekan di Semenanjung Malaysia, papan-papan tanda kedai yang menggunakan tulisan jawi adalah pajak-pajak gadai kepunyaan orang Cina.
Sebabnya ialah kerana pada masa itu kebanyakan orang Melayu dari kampung-kampung hanya boleh membaca tulisan jawi. Tuan-tuan punya pajak gadai itu menggunakan tulisan jawi kerana mereka nampak ia menguntungkan mereka.
Sekarang orang Cina tidak nampak tulisan jawi menguntungkan mereka, sebaliknya mereka takut ia akan merugikan mereka (kerana mereka mengaitkannya dengan agama Islam, Menteri Agama juga membuat kesilapan yang sama), maka mereka menentang.
Amalan
Kiranya ada orang berfikir bahawa ini adalah pandangan seorang mantan hakim mahkamah sivil yang tidak tahu menulis dan membaca tulisan jawi, biarlah saya maklumkan bahawa saya terdiri daripada generasi sebelum merdeka yang bersekolah Melayu di mana tulisan jawi lebih diutamakan.
Sepanjang hidup saya, sehinggalah saya tidak boleh menulis lagi kerana tangan saya kebas akibat masalah urat saraf, saya menggunakan tulisan jawi untuk mengambil nota peribadi saya sebab saya menulis jawi lebih cepat daripada rumi.
Tetapi, saya menggunakan tulisan rumi apabila mengambil nota keterangan semasa bersidang di mahkamah kerana itu urusan rasmi, ia lebih sesuai dan nota itu akan ditaip oleh jurutaip atau setiausaha saya, ada Melayu dan bukan Melayu, yang tidak boleh membaca nota saya jika diambil dalam tulisan jawi.
Biar apa pun, semenjak orang Melayu memeluk agama Islam dan selagi mereka beragama Islam, mereka telah dan akan terus mempelajari tulisan jawi untuk membaca al-Quran dan melakukan amalan agama mereka.
Generasi sebelum merdeka yang tidak bersekolah dan dikategorikan sebagai buta huruf pun kenal huruf jawi dan boleh membaca al-Quran. Apatah lagi sekarang apabila tulisan jawi diajar di sekolah kebangsaan semenjak sekolah rendah lagi. Ertinya, tulisan jawi tidak akan hilang daripada masyarakat Melayu.
* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara
Klik di sini untuk terus membaca