STATUS Hagia Sophia di Istanbul, Turki yang kembali menjadi sebuah masjid selepas 86 tahun dijadikan muzium mempunyai sejarah unik dan mengagumkan sama seperti kehebatan seni bina bangunannya.Asalnya ia dibina pada abad keenam Masihi semasa pemerintahan empayar Byzantine sebagai sebuah gereja Greek Ortodoks.
Hagia Sophia kini sudah berusia kira-kira 1,500 tahun.
Bangunan yang disenaraikan sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1985 itu pernah dilaporkan mahu diletupkan Turki bagi mengelak ia diserahkan kembali kepada Greece sewaktu Perang Dunia Pertama.
Menurut portal berita ABC News, ia pernah menjadi gereja penganut Kristian terbesar dunia dan tempat maharaja empayar Byzantine dimahkotakan. Apabila dibina buat pertama kali, ia dikenali sebagai Megale Ekklesia atau Gereja Agung.
Bermula pada abad kelima dan seterusnya, bangunan itu terkenal dengan nama Hagia Sophia yang bermaksud kebijaksanaan ketuhanan.
Sebahagian struktur bangunan itu dibina oleh dua arkitek terkenal iaitu Isidore of Miletus dan Isidore of Miletus atas arahan Maharaja Justinian I yang memerintah empayar Byzantine.
Khabar angin menyatakan seramai 10,000 pekerja membina Hagia Sophia dalam tempoh enam tahun dan dibuka pada 27 Disember 537 Masihi.
Ia menggunakan marmar dari Perancis, Mesir dan Pulau Marmara selain Justinian 1 dikenali sebagai pengasas pembinaan bangunan tersebut.
Bagaimanapun, bangunan itu tidak mampu kalis gempa bumi apabila kubah utamanya dan dua gerbang runtuh pada tahun 557.
Isidorus the Young kemudian diarahkan membina kubah baharu yang lebih besar atas arahan Justinian 1 dan ia masih utuh ketika ini dengan pemandangan yang cantik.
Kemudian muncul Sultan Mehmed II daripada kerajaan Uthmaniyyah yang menawan Constantinople pada tahun 1453 dan baginda diberikan gelaran sebagai Abu'l-Feth yang membawa maksud Bapa Penaklukan. Baginda juga dikenali sebagai Fatih yang membawa maksud Si Penakluk.
Ketika peristiwa itu berlaku empayar Melaka sedang berkembang di Tanah Melayu di Asia Tenggara.
Sejurus memasuki Hagia Sophia, baginda menghabiskan masa yang lama dan naik sehingga ke tingkat atas bangunan tersebut sambil memerhatikan kota Constantinople yang kemudian namanya ditukar menjadi Istanbul.
Ada dakwaan mengatakan Sultan Mehmed II berumur 21 atau 23 tahun semasa menakluk kota raya itu.
Baginda tidak dapat menyembunyikan kekagumannya tentang saiz bangunan tersebut tetapi sedih melihat kemusnahan akibat perang.
Sultan Mehmed II kemudian menukarkan Hagia Sophia daripada sebuah gereja menjadi masjid selain membina mimbar, sebuah madrasah, mihrab dan menara kayu.
Baginda turut mengerjakan solat Jumaat berjemaah pertama di bangunan tersebut. Sultan Mehmed II juga menubuhkan sebuah yayasan bagi mentadbir masjid di Hagia Sophia. Menurut portal berita Daily Sabah, baginda menyumbangkan sebahagian kekayaannya kepada yayasan tersebut.
Sultan-sultan empayar Uthmaniyyah kemudian membuat sumbangan dengan menambah bangunan, mengubahsuai dan hiasan pada masjid itu.
Antara tahun 1847 dan 1849, atas arahan Sultan Abdülmecid, Masjid Hagia Sophia melalui fasa pengubahsuaian oleh arkitek dari Sweden, Gaspare Fossati.
Pada tahun 1894, Masjid Hagia Sophia rosak akibat gempa bumi menyebabkan pemerintah empayar Uthmaniyyah, Sultan Abdülhamid II mengarahkan kerosakan itu dibaiki dan keadaan bangunan tersebut diperiksa oleh arkitek Tommaso D'Aronco and Kemalettin Bey.
Ia juga digunakan sebagai hospital untuk pesakit taun semasa Perang Balkan pada tahun 1912, selain pernah terbakar beberapa kali.
Justeru, adalah tepat keputusan Majlis Negara Turki iaitu mahkamah pentadbiran tertinggi Turki membuat keputusan pada 10 Julai lalu untuk menjadikan bangunan tersebut sebagai masjid sekali gus membatalkan dekri presiden pertama negara itu, Mustafa Kemal Atatürk pada tahun 1934.
Menurut portal berita Daily Sabah, sebuah pertubuhan mengemukakan kes bangunan itu dengan menyatakan ia milik Sultan Mehmed II.
Sebelum ini, ia pernah menjadi gereja selama hampir 1,000 tahun.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan bahawa Hagia Sophia yang pernah menjadi masjid selama hampir 500 tahun dan kemudian dijadikan muzium akan memulakan solat Jumaat berjemaah pada 24 Julai ini.
Klik di sini untuk terus membaca