LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak mahu lagi mendengar sebarang alasan daripada mana-mana pasukan berhubung kelewatan menghantar permohonan untuk memulakan sesi latihan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 26 Ogos ini. Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak mahu lagi mendengar sebarang alasan daripada mana-mana pasukan berhubung kelewatan menghantar permohonan untuk memulakan sesi latihan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 26 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, tempoh masa yang diberikan sudah cukup kepada setiap pasukan bagi melengkapkan permohonan mereka sebagaimana yang telah ditetapkan badan pentadbir Liga-M itu.

"Setakat ini, status dua pasukan iaitu Kelantan dan Sarawak United belum diluluskan. Permohanan dua lagi pasukan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan UKM FC pula diluluskan selepas mereka melengkapkan dokumen yang dikehendaki.

"Pihak MFL telah mengingatkan kepada setiap pengurusan pasukan untuk melengkapkan dokumen sebelum menjalani sesi latihan Fasa 1 dan Fasa 2 yang bermula Rabu lalu.

"Kini kami sudah muktamadkan tarikh rasmi Liga-M yang akan disambung semula pada 26 Ogos nanti. Jadi, kami tak mahu dengar lagi sebarang alasan,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Difahamkan, Sarawak United telah melengkapkan ujian calitan (swab test), namun masih belum mendapat pengesahan daripada doktor perubatan pasukan selain belum melengkapkan dokumen lain seperti venue latihan berdaftar serta nama pegawai penyelaras.

Bagi kes Kelantan pula, skuad The Red Warriors itu didapati masih belum selesai menjalani ujian calitan (swab test) termasuk mendapat pengesahan daripada doktor perubatan sebelum menghantar keputusan ujian berkenaan kepada MFL.

Sebelum ini, MFL telah menetapkan empat syarat utama dalam prosedur operasi standard (SOP) kepada setiap pasukan sebelum dibenarkan kembali menjadi sesi latihan Fasa 1 (tanpa kontak) dan Fasa 2 (kontak).

Empat syarat itu ialah pertama, menjalani ujian calitan (swab test) dan keputusan hendaklah diserahkan kepada MFL selepas disahkan oleh doktor pasukan. Kedua, pasukan perlu melantik seorang pegawai penyelaras untuk memantau pematuhan SOP di peringkat pasukan.

Perkara ketiga, pasukan wajib menamakan pusat latihan tertutup dan terakhir, venue latihan wajib didaftarkan melalui pautan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), notification.miti.gov.my.

"Sekali lagi ingin saya ingatkan, pasukan-pasukan yang sudah mula menjalani latihan harus mengikut SOP yang telah ditetapkan. Jangan sampai ada yang melanggar SOP sehingga menjejaskan perancangan MFL untuk menyambung semula liga pada 26 Ogos nanti.

"Saya mengharapkan kerjasama daripada semua pasukan dalam soal ini agar dapat memberikan kelancaran selepas mereka diberi kebenaran mengadakan latihan. Namun dalam waktu yang sama, kita dapat membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca