SHAH ALAM - Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyatakan hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak dilihat tiada sebarang agenda untuk mensabotaj peluang kumpulan Parti Pribumi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyatakan hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak dilihat tiada sebarang agenda untuk mensabotaj peluang kumpulan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Blackout.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim sebaliknya berkata, keputusan itu diambil memandangkan Bersatu tidak lagi bersama gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya tidak melihat hasrat PKR untuk bertanding sebagai agenda untuk mensabotaj peluang Bersatu Blackout untuk bertanding. Menuntut kerusi untuk bertanding adalah normal dalam mana-mana gabungan politik termasuk Pakatan Harapan (PH).

"PKR sekadar mengambil peluang apabila kerusi DUN Slim itu tidak lagi bertuan dalam komponen PH apabila Bersatu keluar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Yusri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, meskipun Bersatu Blackout kini tidak lagi di bawah komponen PH, tetapi pembangkang akan mencapai kompromi untuk hanya seorang calon bertanding melawan Perikatan Nasional (PN).

"Meskipun Dr Mahathir tidak mesra dengan PKR sejak akhir-akhir ini, tetapi Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dijangka akan menjadi orang tengah untuk mengelak pertandingan tiga penjuru," katanya.

Beliau berkata, ia sekali gus memastikan pembangkang menentang PN secara satu lawan satu.

Pandangan sama turut disokong Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri.

Menurut Dr Achmad Dzariean, pada asalnya kerusi DUN berkenaan adalah milik PKR sebelum diberikan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Jadi sekiranya PKR bertanding pun pada pandangan saya, memang itu merupakan kerusi asal PKR dan wajar diberikan kepada PKR.

"Tetapi apa yang berlaku pada PRK akan datang saya menjangkakan bahawa kumpulan Dr Mahathir akan meletakkan calon mereka dan akan berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya.

Menurutnya, kumpulan Dr Mahathir atau fraksi Bersatu yang berpecah ketika ini merupakan kumpulan bebas dan blok baharu.

"Mereka tidak terikat dengan PH atau PN. Jadi saya jangkakan Tun Dr Mahathir akan letakkan calon (Bersatu Blackout) untuk bertanding pada PRK DUN Slim nanti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca