PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) yakin pemangku presidennya, Datuk Shaari Mat Hussin mampu untuk menangani permasalahan dan kemelut yang dihadapi badan induk bola sepak negeri berkenaan ketika ini.
Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan kepada gerak kerja Shaari sejak kebelakangan ini yang mula menunjukkan petanda positif.
Malah menurut Husin, ia turut diakui oleh bekas Presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah terutamanya melihatkan kepada kemajuan gerak kerja yang dilaksanakan Shaari.
"Dalam dua tiga minggu ini, kita tengok gerak kerja Datuk Shaari menunjukkan kemajuan yang membanggakan sekali gus memberikan keyakinan kepada kita.
"Dalam masa sama, kita juga mengucapkan terima kasih kepada Wan Abdul Rahim atas sumbangannya selama menerajui KAFA,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dalam perkembangan sama Husin mengesahkan bahawa KAFA menerima surat peletakan jawatan Wan Abdul Rahim yang berkuatkuasa pada 6 Julai lalu.
Bagaimanapun katanya, pengumuman perletakan jawatan itu agak lewat diumumkan berikutan Wan Abdul Rahim mahu mengumumkannya sendiri.
Jelas Husin, dia menghormati perletakan jawatan Wan Abdul Rahim sambil menyifatkannya sebagai satu tindakan yang profesional.
"Kita menghormati pendirian beliau yang begitu profesional. Apabila rasa dah tak mampu meneruskan tanggungjawab dan nampak gerak kerja Datuk Shaari ada kemajuan, dia berlapang dada dan yakin untuk melepaskan jawatan.
"Bagi pihak KAFA, kita mengucapkan terima kasih atas sumbangan Wan Abdul Rahim selama ini bagi membantu KAFA,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca