PASIR GUDANG - Selepas lebih setahun kes pencemaran Sungai Kim Kim, mangsa paling teruk tragedi itu, Irfan Wafiy Idham Wazir, 13, masih belum sembuh dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat.
Dalam pertemuan eksklusif dengan wartawan Sinar Harian, Irfan Wafiy mengakui jauh di sudutnya, dia menaruh harapan untuk pulih seperti sediakala dan melakukan aktiviti kegemarannya.
Irfan Wafiy berkata, beliau mahu berlari, berenang, bermain bola dan menunggang basikal seperti rakan sebayanya yang lain.
"Saya juga sangat sukakan aktiviti lasak seperti mendaki.
"Sekarang saya sudah tidak dapat melakukan semua itu dan untuk berjalan pun terpaksa menggunakan tongkat. Saya tidak boleh berdiri lama kerana kaki akan menggeletar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dahlia di sini baru-baru ini.
Anak keempat daripada lima beradik itu disahkan menghidap penyakit Myokymia sejak lebih setahun lalu dengan kedua-dua belah kakinya menjadi cepat letih, lenguh, sakit dan menggigil.
Bagaimanapun, dalam kepayahan itu siapa sangka Irfan Wafiy tetap cemerlang apabila memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah pada tahun lalu dan kini akan melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara Johor Bahru.
Dalam pada itu, bapanya, Idham Wazir Abd Wahab, 50, berkata, berdasarkan laporan perubatan dan pendapat doktor pakar yang merawat anaknya itu, harapan untuk Irfan Wafiy sembuh agak sukar tetapi mereka sekeluarga tidak akan berputus asa.
Menurutnya, anak sulung lelakinya itu kini terpaksa mengambil ubat baharu Gabapentin baru-baru ini iaitu sejenis ubat untuk mengawal dan mencegah sawan selepas ubat lama yang digunakan sudah tidak memberi kesan.
Menyentuh mengenai tindakan saman ke atas 12 pihak antaranya kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengaliran dan Saliran, beliau berkata, ia akan diteruskan jika pihak-pihak itu tidak mahu menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
Katanya, saman kes itu akan dilakukan pada September ini dan beliau yakin peluang mereka untuk menang cerah kerana mempunyai cukup bukti termasuk laporan perubatan daripada pakar-pakar yang merawatnya.
Dia dan isteri, Norlela Abu Hashim, 47, masih berharap kerajaan akan bertanggungjawab dengan membiayai dan menghantar anaknya itu menjalani rawatan di luar negara khususnya di Singapura yang mempunyai kepakaran.
Klik di sini untuk terus membaca