PASIR GUDANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan pihaknya sentiasa memantau tahap pencemaran di Sungai Kim Kim di sini bagi memastikan insiden buruk seperti tahun lalu tidak berulang.
Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, setakat ini sistem pemantauan berjalan dengan lancar dan pemeriksaan dibuat secara berterusan.
Katanya, setiap operator dan kontraktor yang mengendalikan bahan buangan berjadual juga perlu berdaftar bagi memastikan pematuhan mereka terhadap peraturan ditetapkan.
"Umumnya agensi-agensi yang bertanggungjawab terus berusaha memperbaiki keadaan pencemaran di Pasir Gudang dan beberapa inisiatif sudah pun diambil.
"Kita akan terus berusaha untuk memperbaiki keadaan bagi menghalang kejadian yang sama berulang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat JBPM Johor di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, kata Yahaya, pihaknya mendapati setakat ini daerah Pasir Gudang masih bebas daripada pencemaran gas bertoksik.
Bagaimanapun, beliau mengakui, masih terdapat kawasan-kawasan yang perlu dibaik pulih serta diperbaiki sekali gus memastikan usaha berkenaan dilakukan secara berterusan.
Sementara itu, beliau berkata, semasa gelombang pertama dan kedua pencemaran Sungai Kim Kim pada awal Mac tahun lalu, lima gas dengan bacaan yang tinggi dikesan iaitu jenis metana, acrolein, acrylonitrile, bezene dan hidrogen klorida.
Katanya, keadaan itu dipantau pihak Pasukan Unit Berbahaya (Hazmat), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebelum semua sekolah di sini diarahkan ditutup.
Semasa pencemaran udara di Taman Mawar pada pertengahan Jun tahun lalu, katanya, bahan kimia yang memberikan bacaan tertinggi adalah Methyl Mercaptan sebelum semua sekolah ditutup sekali lagi selama kira-kira seminggu.
Beliau berkata, persamaan semasa kedua-dua insiden pencemaran itu ialah kebanyakan mangsa yang terlibat merupakan pelajar dan kedua-dua insiden menunjukkan bacaan bahan kimia yang tinggi dalam kandungan udara.
Klik di sini untuk terus membaca