HILLSBORO, Texas - Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat baru-baru ini menjatuhkan hukuman penjara selama 37 tahun terhadap seorang lelaki kerana dia bertindak melakukan satu siri kegiatan mencuri lembu dan kuda di Texas.
Menurut portal berita Fox 7 pada 22 Julai lalu, pencuri itu, William 'Willie' Rittenbaugh berusia 49 tahun mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dan diarah membayar ganti rugi kepada beberapa pemilik haiwan tersebut sebanyak AS$588,500 (RM2.5 juta).
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Hill dan daerah Limestone, tengah Texas sejak tahun 2018.
Lelaki itu pada mulanya didapati bersalah selepas mencuri 511 ekor lembu dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan diarah membayar ganti rugi sebanyak AS$435,000 (RM1.8 juta) kepada para pemilik haiwan.
Rittenbaugh kemudian turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan membayar ganti rugi sebanyak AS$150,000 (RM637,800) kepada para pemilik haiwan berkenaan kerana telah melarikan 191 ekor lembu.
Dia juga menerima hukuman lapan tahun penjara kerana mencuri 83 ekor lembu.
Lelaki tersebut dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara kerana melarikan seekor kuda dan diarahkan membayar ganti rugi sebanyak AS$3,500 (RM14,882) kepada pemiliknya.
Siasatan kecurian itu diketuai oleh Persatuan Penternak Lembu Barat Daya Texas. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca