PUTRAJAYA - Kerajaan negeri Melaka perlu bertegas untuk mengembalikan semula nama Bukit Melaka yang ditukar sebagai sebagai Bukit St Paul oleh penjajah barat kira-kira 500 tahun lalu.
Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu, Tan Sri Profesor Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, fakta sejarah menunjukkan Bukit Melaka wujud pada abad ke-14 pada waktu pemerintahan Sultan Mansur Shah iaitu sultan keenam yang memerintah Empayar Melaka ketika itu.
"Apabila penjajah Portugis datang ke Melaka pada tahun 1511, istana, masjid dan kawasan persekitaran dirobohkan oleh mereka. Kemudian gereja St Paul dibina di atas Bukit Melaka,” katanya.
Abdul Latiff yang merupakan seorang tokoh sejarah dan kebudayaan menegaskan, cadangan Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) untuk mengembalikan nama Bukit Melaka perlu dilihat dalam konteks semangat patriotisme.
"Ia bukan tindakan rasis kerana nama asalnya yang perlu diangkat bagi memperingati semula sejarah kegemilangan Melaka yang dahulunya dikenali sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Perzim untuk mengembalikan semula nama Bukit Melaka.
Menurutnya, Perzim hanya bercadang mengembalikan nama Bukit Melaka dan warisan sejarah di sekitarnya dikekalkan.
"Semua warisan sejarah akan dikekalkan selaras dengan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang menjadikan Melaka sebagai Bandar Raya Warisan Dunia.
"Malah, Perzim juga akan membaik pulih bangunan sedia ada termasuk tapak gereja St Paul,” katanya.Dalam pada itu, Pengurus Besar Perzim, Mohd Nasaruddin Rahman berkata, niat utama Perzim untuk menukar nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka hanyalah untuk mengembalikan jati diri sebenar negeri Melaka.
Jelas beliau, tanggungjawab utama Perzim hanyalah menjalankan kajian sejarah di kawasan tersebut.
Menurutnya, terdapat bukti yang diperoleh mendapati terdapat istana dan masjid yang pernah dibina di situ namun telah dimusnahkan pada zaman Portugis sebelum dibangunkan sebagai Kota Melaka.
"Memang kita cadangkan supaya nama asalnya dikembalikan, namun ada pihak menjadikan ini sebagai isu agama sedangkan Bukit St Paul sebenarnya adalah tapak sejarah.
"Malah, gereja yang terdapat di atas bukit ini juga telah diwartakan sebagai tapak warisan dunia UNESCO dan ia bukan lagi sebagai rumah ibadat,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Nasaruddin menegaskan, pihaknya akan terus melakukan kajian untuk mencari lebih banyak bukti sama ada di dalam dan luar negara bagi menentukan sejarah sebenar bukit tersebut.
"Kami akan mengambil tempoh selama dua bulan lagi untuk melakukan kajian secara lebih mendalam di perpustakaan dan arkib kerana apa yang kami lakukan ini sebenarnya baik untuk negeri Melaka.
"Sekiranya kerajaan negeri Melaka mempunyai peruntukan yang lebih besar, mungkin kami juga boleh ke Portugal untuk mencari lebih banyak lagi bukti sejarah mengenai Bukit St Paul,” ujar beliau.
Mohd Nasaruddin yang juga seorang ahli arkeologi berkata, Perzim tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengubah nama bukit tersebut, sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Melaka untuk membuat keputusan.
"Sebenarnya, terdapat banyak lagi nama tempat lain yang sudah ditukar kepada nama lain termasuk di Bukit Larut yang satu ketika dahulu dikenali sebagai Bukit Maxwell pada zaman penjajahan British.
"Terdapat berpuluh lagi kawasan yang telah ditukar nama. Bagi saya, tidak salah untuk menukar nama itu untuk tujuan mengukuhkan dan mengembalikan jati diri kita yang sebenar,” ujar beliau.
Menurutnya, kertas kerja usul tersebut sedang disediakan dan akan dibawa ke peringkat pihak berkuasa tempatan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diluluskan dan diwartakan.
Bagaimanapun, usul tersebut mendapat bantahan daripada MCA yang mahu ia terus dikenali sebagai Bukit St Paul.
Klik di sini untuk terus membaca