SHAH ALAM- Penukaran nama tempat yang bersejarah tidak akan mengubah fakta yang pernah berlaku, malah usaha tersebut akan dilihat dapat meningkatkan identiti negara Malaysia yang sebenar.
Pengarah Muzium Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Muhammad Pauzi Abd Latif berkata, sudah banyak nama tempat bersejarah telah ditukar dan tidak mendapat sebarang masalah serta tentangan daripada mana-mana pihak.
"Kita sudah merdeka. Banyak sejarah hitam ditinggalkan penjajah. Mengapa perlu kita mengekalkan nama tinggalan mereka? Kita perlu angkat dan agungkan sejarah kita, bukan sejarah penjajah.
"Sebelum ini pun usaha penukaran nama penjajah kepada nama pemimpin Malaysia iat dijalankan. Di jalan raya dan bangunan, tidak ada pun isu besar, malah menampakkan identiti negara yang sebenar,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) untuk menukar nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka berdasarkan bukti-bukti sejarah.
Usul berkenaan dibuat bagi mengembalikan nilai sejarah bukit berkenaan yang pada awalnya milik kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Kertas kerja usul tersebut sedang disediakan dan akan dibawa ke peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diluluskan dan diwartakan.
Bagaimanapun, usul tersebut mendapat bantahan daripada MCA yang mahu bukit itu terus dikenali sebagai St Paul.
Dalam pada itu, Muhammad Pauzi berkata, penukaran nama tempat itu tidak seharusnya dijadikan isu perkauman ataupun agama kerana gereja yang terdapat di atas bukit tersebut akan terus berada di situ.
"Yang penting, tukar kepada nama asal sahaja. Saki-baki peninggalan penjajah itu masih ada di atas bukit itu dan tidak akan dipindahkan ke tempat lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, seluruh rakyat Malaysia perlu mempunyai semangat patriotisme dalam diri masing-masing dan tidak terbelenggu dengan pemikiran penjajah.
Klik di sini untuk terus membaca