SHAH ALAM - Syarikat lelongan kenderaan, Pickles Asia Auctions mendedahkan pihaknya terpaksa menarik balik tujuh kenderaan lumba bersejarah milik Proton Motorsport daripada sesi lelongan semalam selepas mendapat permintaan daripada Proton... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Syarikat lelongan kenderaan, Pickles Asia Auctions mendedahkan pihaknya terpaksa menarik balik tujuh kenderaan lumba bersejarah milik Proton Motorsport daripada sesi lelongan semalam selepas mendapat permintaan daripada Proton Holdings Bhd.

Pickles Asia Auctions mendedahkan perkara itu kepada pembida-pembidanya menerusi laman sosial mereka yang tertarik dengan lelongan jentera lumba bersejarah Proton Motorsport yang dianggap eksklusif dan jarang dijumpai.

"Kami berhasrat untuk melelong kereta-kereta rare ini, namun Proton bertindak menarik balik kenderaan tersebut berikutan keputusan pihak pengurusan,” kata Pickles Asia Auctions sebagai respons kepada pelbagai komen pembida di Facebook sejak Isnin lalu.

Difahamkan, antara jentera yang dikatakan ditarik semula daripada lelongan ialah model-model yang dijana oleh enjin Petronas E01 termasuk Proton Satria GTI, Proton Putra, Proton Perdana dan dua buah Lotus Elise.

Turut ditarik balik ialah sebuah Lotus Europa S berwarna kuning dan sebuah Satria Cabriolet berwarna ungu.

Semakan harga untuk sebuah jentera terpakai Lotus Elite mencecah RM190,000 bergantung kepada tahun pembuatannya.

Acara lelongan jentera itu sepatutnya berlangsung bermula jam 12 tengah hari semalam.

Sebelum itu, timbul tanda tanya dalam kalangan peminat automotif selepas Pickles Asia Auctions mula membuat promosi lelongan kereta-kerta bersejarah Proton di Facebooknya sejak 17 Julai lalu.

Pickles Asia Auction merupakan syarikat yang menjalankan perkhidmatan lelongan untuk kereta-kereta yang telah rosak kerana sudah lama atau terlibat dalam kemalangan terutama daripada syarikat-syarikat insurans.

Sementara itu, jurucakap Pickles Asia Auction dalam respons kepada Sinar Harian berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan dengan lebih lanjut maklumat lain termasuk berapa jumlah sebenar jentera Proton yang dihantar kepada pihaknya untuk dilelong.

Isu lelongan jentera bersejarah Proton itu turut mendapat perhatian portal automotif yang melaporkan kereta-kereta tersebut sudah tidak berada di tempat parkir Garaj Warisan Proton di Hicom, Shah Alam dalam tinjauan mereka beberapa hari lalu.

Klik di sini untuk terus membaca