LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tetap akan menyambung saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 26 Ogos ini walaupun terdapat kes positif Covid-19 membabitkan salah seorang pemain kelab Liga Premier, Kuching FA.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, perancangan MFL untuk menyambung Liga-M tidak terjejas dan masih berada pada landasan tepat untuk disambung semula.
"Kita ambil maklum dengan apa yang berlaku kepada Kuching FA dengan salah seorang pemain mereka yang positif Covid-19. Jadi, tindakan segera diambil pengurusan Kuching FA apabila mengkuarantin semua pegawai dan pemain yang telah terlibat dalam latihan dan ia satu petanda yang baik.
"Saya juga difahamkan bahawa semua pemain dan pegawai pasukan tersebut telah diperiksa dan dalam masa tujuh hari mereka akan diperiksa sekali lagi. Jika tiada masalah, mereka boleh kembali menjalani latihan pada 6 Ogos ini.
"Ini bukan kluster Liga-M dan saya difahamkan ia adalah kluster Hospital Sentosa yang mana ia adalah tempat pemain tersebut bekerja. Perancangan untuk meneruskan saingan liga tetap berjalan seperti biasa buat waktu ini,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.
Dalam masa sama, Ab Ghani meminta semua pemain dan pegawai pasukan yang terlibat dalam saingan Liga-M mengambil iktibar daripada kes tersebut dan sentiasa menjaga diri dalam apa jua keadaan.
"Kes yang berlaku kepada pemain terbabit mungkin sukar dielakkan sebab dia bekerja di hospital tersebut. Tetapi saya mahu nasihatkan kepada semua pemain dan pegawai pasukan untuk menjaga disiplin masing-masing dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ini.
"Tolong jaga diri, ikut nasihat dan SOP yang telah disediakan kerana anda semua mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan saingan liga bersambung pada 26 Ogos ini. Saya juga berdoa agar tidak ada kes Covid-19 ini dalam kalangan pemain lain,” katanya.
Semalam Sinar Harian melaporkan Setiausaha Kuching FA, Iswandi Ali Hassan mengesahkan seorang pemain Kuching FA positif Covid-19, dipercayai berpunca daripada kluster Hospital Sentosa.
Disebabkan itu, pihak pengurusan Kuching FA membuat keputusan untuk memberhentikan segala aktiviti serta sesi latihan kelab tersebut buat sementara waktu.
Klik di sini untuk terus membaca