BEKAS Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad tidak melihat keperluan untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) dibatalkan selepas salah seorang pemain pasukan Liga Premier, Kuching FA disahkan positif Covid-19.
Menurutnya, industri bola sepak perlu melihat ke hadapan dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku lagi.
"Saya tidak lihat membatalkan liga sebagai tindakan yang betul. Memanglah mudah untuk bercakap batal saja liga apabila ada kes begini berlaku. Takkan sebab seorang pemain yang positif kita kena batal?
"Bagi saya apa jenis sukan pun termasuk bola sepak ini perlu pandang ke hadapan. Jika batal lagi bila masa sesuai lagi nak bersambung? Malah, sebelum ini, kita pun disuruh untuk menjalani normal baharu iaitu kena membiasakan diri dengan keadaan dan virus tersebut dalam persekitaran kita sebab virus itu tidak akan hilang dalam masa terdekat ini.
"Jadi, jika batal lagi sampai bila-bila pun tak akan bermula sebab nak tunggu virus ini habis. Ia bukan tindakan yang tepat dan bagi saya kita kena hadapi keadaan ini dengan cara yang sepatutnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, seorang pemain Kuching FA disahkan positif Covid-19 yang berpunca daripada kluster Hospital Sentosa yang menjadi tempatnya bekerja dan semua pemain serta pegawai pasukan tersebut telah dikuarantin.
Justeru, timbul desakan yang mahu saingan Liga-M yang sepatutnya bermula 26 Ogos ini dibatalkan demi keselamatan semua pihak.
Mengulas lanjut, kata Ridzuan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari cara terutama dengan mengetatkan lagi SOP sekali gus memastikan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung akan merasa selamat dengan produser tersebut.
"Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini dan mengetatkan SOP, MFL dan FAM kena duduk fikir dan berbincang. Mereka perlu ada satu cara untuk memastikan apabila saingan liga bersambung semula nanti tidak akan timbul perkara sebegini. Kalau ada pun, mereka sudah ada cara untuk mengatasinya,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca