SEJAK seminggu lalu, ada kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia berkaitan pandemik Covid-19.
Beberapa pemimpin utama yang terlibat dalam menangani wabak koronavirus memberikan nada keras apabila peningkatan kes positif Covid-19 dikaitkan dengan kealpaan rakyat selain sikap tidak bertanggungjawab individu yang baru pulang dari luar negara.
Kegagalan mengkuarantinkan diri apabila ada yang sesuka hati keluar makan dan berjalan di luar, malah lebih melampau ada yang menanggalkan gelang merah jambu.
Peningkatan kes tersebut memaksa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat perutusan khas Covid-19 minggu lalu.
Dalam nada lebih keras kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membayangkan PKP mungkin akan dikuatkuasakan semula jika angka positif Covid-19 melonjak kepada tiga angka.
Walaupun kelmarin Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan kes positif Covid-19 sedikit menurun daripada 23 kepada 13 kes, namun sedihnya satu lagi kematian dicatatkan angkara virus itu.
Pernah berhempas pulas selama lebih enam bulan berjuang memerangi Covid-19, Datuk Dr Rohaizat Yon sebelum ini pernah digelar ‘panglima perang’ Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Manakan tidak, dengan kedudukannya sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) KKM, beliau dianggap orang paling kanan Noor Hisham dalam mendepani Covid-19.
Dalam temu bual dengan Sinar Harian, Rohaizat mengakui, rakyat Malaysia tidak boleh alpa dan cuai dalam perjuangan melawan Covid-19 kerana sesungguhnya medan pertempuran itu masih lagi jauh untuk tamat.
Katanya, selagi tiada vaksin, satu-satunya ‘vaksin’ yang ada pada masa ini adalah penjarakkan sosial, pelitup muka dan penggunaan sanitizer.
"Jangan ambil mudah pemakaian pelitup muka sebab ia boleh mengelakkan 60 peratus penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus. Kita mungkin akan hidup dengan normal baharu ini selama setahun lagi atau sehingga vaksin ditemui,” katanya semalam.
Ambil mudah
Katanya, dalam perjuangan melawan Covid-19, ia memerlukan pelibatan semua pihak daripada rakyat, pihak berkaitan seperti pasar atau masjid, pihak berkuasa seperti polis dan seterusnya kerajaan.
Baru kira-kira sebulan mengakhiri perkhidmatannya selama 35 tahun sebagai kakitangan kerajaan, Rohaizat berkata, antara punca utama peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini adalah daripada kluster luar negara selain kegagalan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Saya tengok ada orang yang tidak bawa sejadah sendiri ketika ke masjid. Ada yang sudah bersikap enjoy, pakai pelitup muka dekat mulut bukan pada hidung.
"Baru-baru ini sewaktu saya ke sebuah kedai seorang pelanggan itu tidak pakai pelitup muka, tapi mujur pengawal keselamatan bertegas dengan individu itu. Itu yang saya katakan tadi penglibatan melawan Covid-19 memerlukan kerjasama semua pihak,” katanya yang menekankan konsep CAPP iaitu Cegah, Amal, Patuh dan Pantau.
‘Panglima perang’ KKM itu mengakui, melihat trend peningkatan kes Covid-19 sejak lebih dua minggu lalu, gelombang ketiga tidak mustahil boleh berlaku sekiranya semua pihak cuai dan mula mengambil mudah amalan pencegahan Covid-19.
"Kalau tanya saya, memang ada dua kemungkinan susulan meningkatnya kes Covid-19 kebelakangan ini. Kita mungkin berjaya merendahkan kembali angka itu atau tidak mustahil terjadinya gelombang ketiga Covid-19.
"Saya rasa kalau rakyat patuh, pihak kerajaan pula membuat keputusan dan dengan kawalan yang betul, kita boleh mengelak gelombang ketiga. Ini kerana kita pernah membuktikan jangkaan JP Morgan yang kes Covid-19 di Malaysia akan sampai 6,300 pada April lalu tidak tepat.
"Namun kalau kita tidak ikut prosedur operasi standard (SOP) kita akan jadi seperti bandar raya Melbourne di Australia. Kita sepatutnya belajar daripada Melbourne (yang terpaksa buat perintah berkurung semula).
"Gelombang ketiga boleh berlaku di Malaysia kalau kita cuai. Kalau kita tidak ikut SOP ketika di tempat ramai orang seperti pasar, kedai makan, masjid, pasar raya,” katanya.
Berdasar buku laporan The Covid-19 Chronicles of Malaysia yang disediakan oleh Institut Kesihatan Kebangsaan, gelombang pertama Covid-19 berlaku antara 24 Januari sehingga 16 Februari lalu yang hanya merekodkan 23 kes.
Bagaimanapun, ketika ramai menyangka Malaysia tidak akan dibadai pandemik itu seperti di China, gelombang kedua melanggar Malaysia dengan lebih keras bermula 28 Februari dengan kemuncaknya pada Mac hingga Jun.
SOP raya korban Dalam pada itu, dengan Hari Raya Aidiladha hanya empat hari lagi, Rohaizat berkata, prinsip utama yang sama seperti dilaksanakan pada Hari Raya Aidilfitri lalu perlu terus diamalkan.
"Prinsip dan SOP tetap sama. Kalau balik kampung dalam kereta semua pakai pelitup okey, dalam bas jaga penjarakkan. Pada hari raya elakkan berkumpul beramai-ramai tanpa jaga jarak. Kita berjaya lakukannya dulu, tiada kluster raya Aidilfitri, tiada kluster raya Gawai, itu kejayaan kita, walaupun orang luar pandnag rendah pada kita dulu,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan, Roslizawati Md Ali berkata, selaku pertubuhan bukan kerajaan yang banyak turun padang, beliau mengakui bimbang apabila melihat orang ramai kini tidak mematuhi lagi SOP yang ditetapkan.
"Sebelum ini, kami juga bimbang apabila kerajaan memutuskan menutup tempat-tempat kuarantin dengan meminta kuarantin dijalankan secara sendirian.
"Sedangkan kita tahu ramai masyarakat kita kurang disiplin, malah ada yang sanggup tanggalkan gelang tangan merah jambu semasa di lapangan terbang lagi,” katanya yang banyak terlibat dalam misi bantuan dan aktiviti CSR sepanjang PKP sebelum ini.
Kekhuatiran Roslizawati turut dipanjangkan dengan keghairahan orang ramai yang beriadah dan bercuti tanpa mengikut SOP.
"Kita lihat ramai beristirehat di kawasan peranginan tepi laut pada hujung minggu sesak, malah kebanyakan tempahan bilik hampir penuh, walhal kita tahu jangkitan Covid-19 mudah tersebar melalui titisan air.
"Walaupun kita tahu kebanyakan kolam renang sudah diklorinkan, sementara air laut mengandungi kandungan garam tinggi yang susah untuk kuman membiak, namun jika di kawasan sesak, baik di pusat peranginan atau di pusat beli-belah, jangkitan mudah berlaku bila kecuaian seseorang bersin atau batuk,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca