PUCHONG - Zalim! Itu yang dapat digambarkan kepada pelaku yang tergamak menyiat kulit seekor kucing hingga menampakkan isi dalamnya. Suri rumah, Noridah Idris, 63, berkata, dia menyedari perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap kucing... Klik di sini untuk terus membaca

PUCHONG - Zalim! Itu yang dapat digambarkan kepada pelaku yang tergamak menyiat kulit seekor kucing hingga menampakkan isi dalamnya.

Suri rumah, Noridah Idris, 63, berkata, dia menyedari perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap kucing peliharaannya Isnin lalu.

Ketika mereka sekeluarga berehat di ruang tamu, katanya, mereka melihat kucing yang dilepaskan bebas keluar masuk ke kediamannya itu pulang dalam keadaan bulu di bahagian ekor sudah tiada.

"Kami sekeluarga terkejut melihat keadaan kucing yang kami panggil Kecik itu. Suami terus membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan kos perubatan hampir RM300.

"Doktor beritahu, kemungkinan besar ekor kucing itu disiat-siat hingga jadi sebegitu rupa. Kami tak tahu apa motif mereka yang memperlakukan haiwan sampai macam tu sekali,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Pasir di sini semalam.

Noridah berkata, beliau tidak dapat membayangkan bagaimana kucing itu meronta kesakitan ketika diperlakukan dengan kejam dan zalim.

Katanya, selepas kejadian itu berat badan ‘Kecik’ menyusut kerana tidak lalu makan.

Tambahnya, suaminya juga tidak dapat tidur lena selama dua hari kerana memikirkan kesakitan ditanggung ‘Kecik’.

"Kami tak tahu siapa tergamak buat kucing yang dibela sejak kecil hingga kini usianya sudah hampir tiga tahun. Kalau nak kata disiram dengan air panas sudah tentu bahagian badannya juga tercedera tapi ini cuma di bahagian ekor.

"Saya tak tahulah orang yang buat ni sebab nak makan ekor kucing ke apa. Kami sekeluarga sedih melihat penderitaan terpaksa ditanggung Kecik,” katanya.

Dalam pada itu, Noridah turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menzalimi kucing atau haiwan yang lain.

"Ingatan saya kepada orang ramai janganlah buat kucing macam itu, kasihan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca