SEMALAM, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Ekoran keputusan itu, apakah impaknya ke atas perjalanan politik negara terutamanya masa depan politik Perikatan Nasional (PN) dan kekuatan kerajaan Persekutuan hari ini?
Jika dilihat dari sudut percaturan politik, secara asasnya penghakiman yang mendapati Najib bersalah boleh meningkatkan sokongan ahli-ahli Parlimen terhadap Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) terutamanya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, ia sudah pasti merenggangkan lagi hubungan Bersatu dengan parti dominan dalam PN iaitu UMNO sekali gus menyebabkan pentadbiran Muhyiddin terjerumus ke dalam risiko.
Umum mengetahui, ketika usul menukar Speaker Dewan Rakyat dua minggu lalu, perbezaan hanya dua undi antara PN dan Pakatan Harapan (PH) jelas menunjukkan kerajaan PN tidak kukuh dan boleh bertukar pada bila-bila masa sama seperti yang berlaku pada Februari lalu.
Jadi, apakah jalan terbaik kepada Muhyiddin jika mahu PN terus memerintah? Sudah pasti keputusan mahkamah itu akan digunakan sebaik mungkin oleh ahli-ahli politik PH bagi mengganyang PN untuk menurunkan sokongan pemimpin dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Bagaimanapun, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood melihat keputusan mahkamah itu sebenarnya akan meletakkan kedudukan Muhyiddin dan Bersatu di dalam PN pada kedudukan yang lebih selesa.
Ini kerana jika keputusan mahkamah sebaliknya dan Najib didapati tidak bersalah, katanya, maka Najib sudah boleh mula mengatur langkah untuk kembali menjadi pemimpin utama negara ini.
"Jika Najib tidak bersalah, sudah pasti ia akan menggugat Muhyiddin, jangan dilupa Najib pernah memecat Muhyiddin disebabkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Tapi Muhyiddin jangan terlalu selesa kerana sudah pasti ada penyokong Najib dan mereka yang tidak berpuas hati dengan agihan kerusi akan melakukan sesuatu,” katanya kepada Sinar Harian ketika menganalisis impak ke atas politik dan kerajaan susualan penghakiman kes Najib itu.
Peluang terbaik UMNO
Namun, jelasnya, suara-suara yang tidak berpuas hati itu dijangka tidak akan mempengaruhi pemimpin utama UMNO kerana kerjasama PN dan MN adalah formula penting bagi menjamin kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Kerjasama PN akan berterusan, tidak terjejas. Bagi saya, pilihan terbaik yang ada pada Muhyiddin adalah mengadakan PRU15 dengan segera. Saya jangka Parlimen akan dibubarkan hujung tahun ini dan PRU15 akan diadakan pada awal tahun depan,” katanya.
Selain itu, Nik Ahmad Kamal berkata, ekoran daripada keputusan kes itu, Najib dinasihatkan untuk tidak turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos nanti.Bagaimanapun, katanya, keputusan semalam tidak melibatkan UMNO kerana Najib tidak lagi memegang jawatan presiden dan penyokong Najib dijangka terus menyokong parti itu pada PRK atau PRU nanti.
"Yang mungkin terjejas sedikit ialah kedudukan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) dan ia tidak sedap dipandang orang.
"Jika Najib terus pegang jawatan itu, mungkin akan timbul perasaan tidak puas hati dalam kalangan segelintir pemimpin,” katanya.
Bagi penganalisis politik, Profesor Dr Mansor Mohd Noor pula, kes Najib itu adalah peluang terbaik kepada UMNO untuk membuktikan kepada rakyat bahawa parti itu benar-benar mahu berubah.
Katanya, jika ahli-ahli UMNO mahu menunjukkan diri mereka sebagai berintegriti, parti itu perlu menjarakkan diri dengan Najib dan beliau perlu berundur daripada semua jawatan politik kerana terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa.
"UMNO perlu ambil peluang ini untuk kukuhkan parti dan PN. Ia pasti akan memberi impak terbesar ke atas perjalanan politik negara.
"Jika UMNO gagal mengambil peluang ini, mungkin kerjasama PN menjadi lebih sulit dengan status quo kekal dan semua pemimpin mencari jalan untuk mengekalkan kedudukan masing-masing,” katanya.
Jadi adakah kes Najib itu akan menggugat momentum kempen ‘Bossku’ dan memberi peluang kepada PH kembali menawan Putrajaya?
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, keputusan mahkamah semalam tidak ada kena-mengena dengan PN.
"Tiada kaitan dengan PN,” katanya mengulas pendek.
Namun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mempunyai pandangan yang lebih keras dan jelas tidak gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
Puad mendakwa, pemimpin yang paling gembira apabila Najib disabitkan bersalah bukan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi Muhyiddin sendiri.
Bagaimanapun, Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman berpendapat tiada impak politik yang ketara terhadap hubungan politik BN, Pas dan Bersatu rentetan keputusan kes Najib.
Katanya, dalam politik 50-50 hari ini, pemimpin utama tiga parti itu sudah pastinya lebih rasional dalam memikirkan masa depan parti.
"Saya rasa ini adalah kes individu yang berlaku di mana-mana sahaja. Ada pemimpin yang ada kes yang perlu diselesaikan di mahkamah, ada pemimpin masa depan politiknya ditentukan menerusi pertembungan politik.
"Pada akhirnya masa depan parti dan perjuangan orang Melayu jauh lebih utama mengatasi kepentingan individu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Apa yang pasti, kes-kes mahkamah Najib itu masih panjang dan apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Plot-plot masih dibentuk dan sudah tentu akan mempengaruhi jalan cerita sama ada menjadi drama yang menarik atau sebaliknya.
Nampak gayanya kempen-kempen menjelang PRU15 nanti umpama filem Marvels Avengers: Endgame. Adakah Najib akan menjadi Thanos yang lenyap atau muncul sebagai adiwira yang datang lewat!
Klik di sini untuk terus membaca