BOSSKU Datuk Seri Najib Tun Razak buat sejarah sebagai mantan Perdana Menteri Malaysia pertama yang dituduh terbabit dalam kes jenayah. Pada hari semalam, beliau didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam tujuh kes membabitkn SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua tuduhan ke atas Bossku Tuk Seri Najib.
Awang percaya Bossku Tuk Seri Najib telah melalui proses pengadilan yang saksama. Seramai 96 saksi, 57 daripadanya saksi pendakwaan, telah dipanggil dalam perbicaraan selama 94 hari itu. Kes ini juga menarik perhatian seluruh dunia. Ada yang mengatakan bahawa kes 1MDB ini merosakkan nama baik Malaysia.
Bagi Awang, ini soal maruah kita bersama. Ia membabitkan juga kredibiliti semua pihak yang terbabit, daripada badan penyiasat hingga badan kehakiman.
Bossku Tuk Seri Najib telah diberi peluang membela diri. Beliau juga berhak untuk membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Bagi Awang itulah proses keadilan yang sebenarnya.
Pada pandangan Awang, ini bukan soal sentimen atau emosi. Ini soal keadilan. Ada yang mengatakan orang Melayu sudah sampai pada peringkat taksub menyokong pemimpin hingga orang yang terbukti bersalah pun masih didewakan.
Ke Mana Perginya SOP?
Awang tidak terkejut sangat dengan keputusan perbicaraan Tuk Seri Najib itu. Tapi Awang lebih terkejut dengan jumlah penyokong Bossku Tuk Seri Najib di mahkamah. Nampaknya mereka datang dari seluruh pelosok negara.
Dalam media sosial banyak yang bertanya mengapakah pihak berwajib tidak membataskan jumlah penyokong yang membanjiri kawasan sekitar mahkamah dari awal? Kenapa biarkan perhimpunan begitu ramai orang? Ke manakah perginya SOP berkaitan dengan perhimpunan seperti itu?
Apakah gunanya pemimpin negara bercakap pasal penjarakkan sosial apabila orang ramai berasak-asak di sekeliling Bossku Tuk Seri Najib? Daripada video dan foto yang beredar, orang yang hadir seolah-olah menganggap bahaya ancaman Covid-19 nampaknya sudah tak ada lagi.
Setiap hari Tuk Seri Ismail Sabri bercakap pasal soal SOP. Paling baharu SOP untuk majlis korban semasa Aidiladha dan majlis perkahwinan. Begitu tegas sekali kerajaan dalam soal ini. Setiap masa kedengaran peringatan oleh Tan Sri Perdana Menteri untuk kita perangi wabak Covid-19 dengan patuh pada arahan kerajaan.
Tapi di kaca TV, rakyat tengok keadaan yang sama sekali berlawanan dengan arahan kerajaan. Seolah-olah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, semua dibolehkan. Amaran pihak polis kepada penyokong Bossku Tuk Seri Najib supaya patuti penjarakkan sosial nampaknya sudah terlambat.
Kita masih dalam ancaman wabak ini. Akhir-akhir ini berlaku peningkatan jumlah mereka yang dijangkiti Covid-19. Tambahan pula macam-macam kluster baharu dah timbul.
Klik di sini untuk terus membaca