BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan perkhabaran lima pemain Kuching FA disahkan positif Covid-19 sebelum menyaksikan tirai Liga Malaysia (Liga-M) kembali dibuka pada 26 Ogos ini. Tatkala penantian para peminat untuk menyaksikan... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan perkhabaran lima pemain Kuching FA disahkan positif Covid-19 sebelum menyaksikan tirai Liga Malaysia (Liga-M) kembali dibuka pada 26 Ogos ini.

Tatkala penantian para peminat untuk menyaksikan pertandingan domestik kembali selepas Liga-M ditunda sejak Mac lalu, berita kurang gembira itu sedikit sebanyak menimbulkan keresahan mereka.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Kuching FA yang bertindak pantas mengumumkan berlaku penularan pandemik itu dengan meletakkan kesemua pemain terbabit di zon kuarantin.

Tidak dilupakan juga pujian harus diberikan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang tidak cepat melatah dan menimbulkan rasa panik dengan memberikan jaminan bahawa Liga-M berada dalam keadaan terkawal dan berjalan mengikut perancangan asal.

Secara peribadi, penulis menaruh keyakinan MFL tidak akan mengambil risiko tinggi dalam aspek ketenteraman awam yang mana pengendali Liga-M itu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan memastikan aksi liga domestik berjalan dengan selamat.

Benar terdapat beberapa liga di luar negara telah mengambil keputusan menamatkan kempen liga mereka disebabkan masih berlaku penularan wabak Covid-19. Tetapi penulis percaya pihak kerajaan dapat memastikan suasana di Malaysia sekurang-kurangnya berlangsung dengan selamat.

Paling tidak, penulis percaya MFL sendiri akan membuat keputusan menunda Liga-M jika situasi bertambah buruk disebabkan Covid-19. Tetapi adalah tidak adil untuk menamatkan kempen liga selepas pihak kerajaan membenarkan kejohanan bersifat kontak penuh kembali berlangsung.

Dalam masa yang sama, penulis ingin mengambil kesempatan bahawa kita semua adalah senjata terakhir menghapuskan rantaian Covid-19.

Masyarakat tidak boleh cepat leka atau alpa selepas menyaksikan penurunan drastik kes pesakit Covid-19 jika tidak statistik kembali tinggi jika tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan pihak kerajaan.

Seperti yang ditegaskan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau menggesa rakyat Malaysia supaya sentiasa mengamalkan SOP dan mengingatkan orang ramai tidak cepat alpa ketika berdepan pandemik Covid-19 ini.

Amalkan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan paling mustahak sentiasa tinggal di kediaman masing-masing jika tiada keperluan untuk berada di luar kawasan.

Kita pernah berjaya ‘menewaskan’ Covid-19 selepas mencatatkan sifar kes yang melibatkan rakyat tempatan sebelum ini dan penulis percaya kita mampu mengulangi kejayaan itu jika semua kekal berdisiplin mematuhi SOP.

Sekarang kitalah ‘pemain’ di luar padang yang akan menentukan kemenangan jika semua masyarakat bersatu padu mengikuti segala arahan pihak kerajaan untuk memastikan rantaian Covid-19 diputuskan.

Akhir kata, penulis sangat berharap untuk menyaksikan kita dapat ‘berpesta gol’ untuk menewaskan musuh global nombor 1 iaitu Covid-19 dalam tempoh terdekat.

Klik di sini untuk terus membaca