"SAYA datang daripada keluarga yang susah,” kata Datuk Moehamad Izat Emir ketika membuka bicara liku perjalanan hidupnya dalam dunia perniagaan kepada Sinar Ahad di pejabatnya di Mentari Plaza, Bandar Sunway dekat Petaling Jaya baru-baru... Klik di sini untuk terus membaca

"SAYA datang daripada keluarga yang susah,” kata Datuk Moehamad Izat Emir ketika membuka bicara liku perjalanan hidupnya dalam dunia perniagaan kepada Sinar Ahad di pejabatnya di Mentari Plaza, Bandar Sunway dekat Petaling Jaya baru-baru ini.

Begitupun, Moehamad Izat mengakui hidupnya tidak pernah susah kerana beliau rajin mencari wang sejak kecil dengan menjual kuih dan bunga kertas yang dibuat oleh ibunya, Siti Rahmad Sheikh Hamuddi ketika mereka menetap di Indonesia.

Menceritakan selok-belok dalam dunia perniagaan, figura berperwatakan tegas dan bersuara lantang itu mengakui beliau banyak belajar daripada bekas Ketua Menteri Singapura, David Marshall ketika berusia 16 tahun ketika tinggal di negara seberang tambak Johor itu.

Katanya, beliau ke Singapura untuk mencari ibunya di sana selepas Siti Rahmad bercerai dengan bapanya dan bapanya kemudian berpindah ke Kuala Kangsar, Perak.

"Saya ke Singapura untuk mencari mak dan cari kerja. Di sana saya berjumpa dengan mak saya dan juga mendiang David Marshall.

"Pada masa itu, David Marshall ialah Ketua Menteri Singapura selepas beliau menang pilihan raya. Saya diterima bekerja di pejabatnya dan dari situ saya didedahkan kepada suasana politik Singapura,” katanya.

Mengimbau kenangan bersama David Marshall, bapa kepada sembilan cahaya mata itu berkata, antara karakter ‘bos’ yang tidak pernah beliau lupa adalah sikapnya yang sensitif dan suka merajuk.

Katanya, walaupun David Marshall kuat berpolitik tetapi beliau seorang individu yang suka merajuk dan berkecil hati termasuklah dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

"Beliau sendiri mengaku dengan saya bahawa beliau bukan seorang ahli politik yang bagus. Sikit-sikit katanya beliau kecil hati, jadi beliau buat keputusan berhenti daripada arena politik dan kembali dalam kerjayanya sebagai peguam.

"Saya baik dengan Kuan Yew, malah beliau juga ada menawarkan kerja kepada saya tetapi saya tolak sebab saya tidak mahu David Marshall berkecil hati dengan saya kerana ketika itu saya masih bekerja dengannya,” kata Moehamad Izat sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Moehamad Izat berkata, walaupun masih bekerja dengan David Marshall di syarikat guamannya pada tahun 1950-an, hubungan beliau dengan Kuan Yew masih baik dan mereka sentiasa bertukar-tukar pandangan.

Moehamad Izat Emir -Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

Katanya, dalam satu perbualan dengan bekas Perdana Menteri Singapura pertama itu, Kuan Yew pernah bertanya kepadanya apa yang perlu dilakukan untuk membalas jasa-jasa David Marshall.

"Masa itu saya kata lantiklah beliau sebagai duta di mana-mana negara. Saya tak sangka pula cadangan itu diterima apabila Kuan Yew benar-benar melantik David Marshall sebagai Duta Singapura ke Perancis dari tahun 1978 hingga 1993.

"Selepas itu, saya ada menyuarakan hasrat berhenti kerja tetapi David Marshall tanya apa perancangan dan cita-cita saya. Saya cakap mahu meneruskan kerjaya sebagai penjual ubat seperti bapa saya tetapi dengan cara moden.

"Beliau kemudian memperkenalkan saya dengan rakannya yang merupakan pengusaha syarikat farmasi Jackson & Company. Saya diterima bekerja dengan gaji permulaan S$2,000 ketika itu,” katanya.

Moehamad Izat mengakui ketika bekerja bersama syarikat Jackson & Company, beliau sangat rajin menjual ubat kepada kedai-kedai ubat Cina, namun ramai dalam kalangan mereka marah kerana ubat yang ditempah tidak sampai.

Katanya, bimbang dengan rungutan pelanggan, beliau ke bilik stor ubat dan bertanyakan mengapa ubat yang dipesannya tidak sampai, sebaliknya pertanyaan itu dibalas dengan ketawa.

"Saya kemudiannya dipanggil oleh seorang rakan sekerja berketurunan India yang memberitahu saya, sekiranya mahu ubat yang saya jual laku, maka saya perlu berbaik-baik dengan penjaga stor berkenaan.

"Jadi, dua minggu saya duduk di bilik stor bantu susun barang sehinggalah mereka menolong saya dan akhirnya jualan saya mencatat jualan tertinggi,” katanya.

Pengalaman Selepas dua tahun mengutip pengala-man bersama Jackson & Company, Moehamad Izat berkata, beliau mula merindui bapanya di Kuala Kangsar dan mengambil keputusan kembali ke Perak serta memajukan perniagaan milik bapanya yang terkenal dengan jolokan ‘Tabib Ahmad Turki’ dalam kalangan masyarakat setempat.

"Saya minta abang bawa saya balik ke Kuala Kangsar dan jumpa bapa. Masa itu bapa saya berniaga guna van buruk dan masih guna cara lama.

"Dengan pengalaman yang ada, saya buat keputusan melakukannya dengan lebih sistematik. Maka, label-label ubat yang guna cara lama saya tukar agar menjadi lebih kemas dan teratur. Alhamdulillah, saya melihat hasil dan kejayaannya selepas itu,” ujarnya.

Sementara itu, Moehamad Izat berkata, ketika menguruskan perniagaan ubat bapanya itu, beliau bertemu dengan sasterawan Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba di Kuala Kangsar.

"Beliau tahu sebelum ini saya pernah membantu David Marshall. Beliau panggil saya dan tanya adakah saya orang Melayu kerana katanya bahasa Melayu saya tunggang terbalik bahasa dan tak senonoh.

"Beliau suruh saya datang ke rumahnya untuk belajar bahasa Melayu dengan betul, maka setiap petang saya ke rumahnya dan dia memberikan ilmu kepada saya untuk bercakap dengan sempurna.

"Bemula dari situ, saya jadi berminat untuk berkomunikasi dengan betul. Saya guna ilmu yang diberikan untuk uruskan perniagaan bapa saya dan kehidupan seharian dalam masyarakat sehingga ke hari ini,” kenang Moehamad Izat.

Moehamad Izat -Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR