[VIDEO] YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ditubuhkan pada tahun 1974 bertujuan menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar berjalan seiring dengan dasar negara serta menjadi pemangkin penyebaran dakwah di Malaysia.
Setelah 46 tahun Yadim beroperasi, badan dakwah di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu terbukti memberi sumbangan besar kepada kerja-kerja penyebaran risalah dan syiar Islam termasuklah usaha-usaha pengislaman saudara-saudara baru di seluruh negara.
Bagaimanapun, kerja-kerja dakwah mutakhir ini dilihat berdepan jalan penuh pancaroba terutama pada zaman pandemik Covid-19 dan cabaran media sosial kini.
Ikuti wawancara eksklusif Timbalan Pengarang Berita Sinar Ahad, Zuki Pileh dan wartawan Khairil Anwar Mohd Amin bersama Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu dilantik ke jawatan itu pada 15 Julai lalu bagi menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz.
SINAR AHAD: Orang ramai melihat dakwah dari perspektif berbeza-beza. Sebagai Yang Dipertua Yadim yang baharu, bagaimana ustaz mendefinisikan ‘dakwah’ tersebut?
NASRUDIN: Pengertian umum dakwah ialah mengajak manusia kembali kepada ALLAH SWT.
Objektif dakwah adalah untuk menyelamatkan manusia daripada api neraka. Ini diambil daripada satu peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Ada satu hadis sahih diriwayatkan Imam Al-Bukhari RA, pada suatu hari, seorang budak yang selalu berkhidmat kepada Nabi SAW jatuh sakit. Nabi menziarahinya dan duduk di bahagian kepala budak itu. Kemudian Nabi menyebut kepada budak itu perkataan ‘aslim’ yang bermaksud ‘terimalah Islam’. Lalu budak itu memandang bapanya yang merupakan seorang Yahudi. Lalu bapanya berkata, ‘Taatlah kepada Abal Qassim (nama gelaran Nabi Muhammad SAW)’.
Lalu apabila bapanya berkata begitu, budak itu lantas mengucap dua kalimah syahadah. Apabila budak itu memeluk ajaran Islam, Nabi SAW keluar dari bilik berkenaan dan mengucapkan ‘Segala puji bagi ALLAH, Tuhan yang telah menyelamatkannya daripada api neraka’. Jadi para alim ulama mengambil konteks kisah Nabi itu bahawa objektif utama dakwah adalah untuk menyelamatkan umat manusia daripada api neraka.
Perbedaan dalam gerak kerja dan orientasi dakwah hanyalah pada pendekatan kuliah, ceramah, ziarah, sumbangan kebajikan, dialog, pujuk rayu, bina sekolah, bina hospital. Ini semua bergantung kepada situasi dan kesesuaian keadaan dan juga masa.
Terdapat kritikan kononnya pendakwah Islam masa kini dikatakan lebih selesa berdakwah di dalam bilik ada pendingin hawa dan tidak turun ke bawah berhadapan dengan masyarakat. Apakah metodologi Yadim dalam berdakwah?
Sebagai sebuah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, ‘core business’ Yadim adalah untuk menjalankan aktiviti dan gerak kerja dakwah secara berinteraksi dengan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang berorientasikan dakwah.
Yadim menjadi platform untuk menyelaraskan gerak kerja NGO agar berupaya menjadi gelombang gerakan dakwah di negara ini. Setiap NGO ini ada segmen tersendiri dan kita boleh klusterkan mengikut peranan masing-masing.
Umpamanya, ada kluster yang berfungsi membina terminal ilmu seperti sekolah agama dan tahfiz. Ada kluster yang akan berdepan dengan serangan pemikiran seperti serangan Islam liberal dan serangan Barat yang sengaja mewujudkan Islamofobia. NGO daripada kluster ini akan fokus kepada bagaimana untuk menangkis serangan pemikiran tersebut.
Ada juga kluster yang pergi kepada kebajikan seperti memberi bantuan kepada asnaf. Walaupun orientasinya kebajikan, aktiviti NGO itu tidak lari daripada maksud dakwah sebab kebajikan itu akan menjadi pintu kepada lancarnya gerakan dakwah. Ada NGO yang fokus sama ada di peringkat nasional mahupun peringkat antarabangsa. Begitu juga ada NGO dakwah sektor anak muda dan dakwah di alam siber.
Sasaran kita adalah supaya Islam ini sampai ke setiap hati sanubari masyarakat di negara kita. Kalau orang Islam, kita mahu mereka lebih mempraktiskan ajaran Islam. Kalau bukan Islam, sekurang-kurangnya mereka tidak mempunyai pandangan yang salah terhadap ajaran Islam.
Ada pendakwah-pendakwah terkenal seperti Ustaz Ebit Lew yang turun padang menyalurkan sumbangan infaq orang ramai terus kepada golongan sasaran. Tetapi tindakan itu seolah-olah tidak selari dengan agensi dakwah dan pihak kerajaan yang akhirnya menimbulkan salah faham. Bagaimanakah Yadim dapat menyelaraskan aktiviti dakwah secara individu ini?
Itu yang saya sebutkan tadi bahawa Yadim harus menjadi platform atau penyelaras gerak kerja dakwah termasuk pendakwah individu. Yadim juga sangat mengalu-alukan kolaboratif antara NGO dan individu di bawah satu platform supaya usaha kebajikan dan dakwah nampak selaras dan tidak berlaku pertindihan sekali gus tidak menyebabkan berlaku pembaziran masa serta fitnah kepada masyarakat.
Kita tidak mahu amalan dakwah yang berlaku bersifat ‘hit and run’ sahaja. Akhirnya kita habis masa, habis duit, tetapi impak atau kesan tidak dapat dicapai secara maksimum. Yadim bukan mahu mengetuai atau memayungi mereka, tetapi kita hendak menyelaras supaya dapat mengatur gerak kerja dakwah secara menyeluruh merangkumi kesemua kluster, bukan hanya fokus kepada kluster kebajikan semata-mata.
Setakat ini, berapa NGO yang berada di bawah seliaan Yadim?
Sebelum ini, ada lebih 150 NGO bersama Yadim. Cuma dalam semakan terakhir, tinggal sekitar 40 NGO yang aktif di bawah sayap Yadim iaitu Majlis Amal Islam di Malaysia (Maim)yang ditubuhkan sejak tahun 2009.
Perkara ini mungkin disebabkan penyelarasan program tidak dibuat secara strategik menyebabkan NGO terbabit bergerak sendiri dengan fokus terhadap aktiviti masing-masing.
Justeru, saya bertekad untuk mengembalikan semula semua NGO yang pernah bersama Yadim. Saya telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, untuk menganjurkan satu persidangan pemimpin-pemimpin NGO Islam dari seluruh negara yang dijangka diadakan pada bulan September ini.
Ada ribuan NGO di Malaysia. Kalau kita dapat selaraskan dan wujudkan platform yang baik insya-ALLAH saya rasa untuk dapat 300 hingga 400 NGO adalah dalam jangkauan kita.
Antara NGO besar dalam Yadim sekarang ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Sebelum ini, kita juga ada NGO seperti Gerakan Pembela Ummah (Ummah), MuslimCare dan Yayasan Amal Malaysia yang merupakan NGO besar bahkan sudah melaksanakan aktiviti dakwah di peringkat antarabangsa.
Wang kini menjadi antara elemen terpenting dalam berdakwah. Semakin banyak dana semakin berkesan program dakwah. Apa komen ustaz?
Dana ataupun wang adalah alat untuk menggerakkan aktiviti dakwah. Kepakaran dalam bidang teknologi maklumat perlu dimiliki, skil mesti dikembangkan dan keperluan peralatan harus mencukupi. Semua itu ada kos termasuk usaha turun ke lapangan.
ALLAH SWT ada berfirman yang bermaksud ‘Bersiap sedialah kamu untuk menghadapi mereka, dengan seluruh kekuatan yang ada pada kamu’. Para alim ulama menafsirkan maksud kekuatan yang perlu disediakan itu ialah kekuatan dana dan harta benda.
Kita memang memerlukan dana yang tinggi untuk memastikan kerja-kerja dakwah dapat digerakkan secara berkesan. Namun begitu, bukanlah bermakna kita bergantung kepada dana 100 peratus. Janganlah bila tiada dana, maka mati kerja dakwah atau kita memperlahankan tempo dakwah kerana dakwah adalah kerja yang sangat mulia.
Pada pandangan ustaz, adakah dana Yadim sekarang membolehkan ia mencapai matlamat penubuhannya?
ALHAMDULILLAH. Setiap tahun Yadim menerima peruntukan daripada kerajaan. Namun, untuk melaksanakan program dan projek dakwah yang dirancang, kita dapati dana itu tidak memadai.Yadim juga mendapat sumbangan daripada agensi kerajaan lain seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selain rakan strategik Yadim seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan CIMB Islamic Bank.
Kita menyasarkan sekurang-kurangnya hendak mencapai RM50 juta setahun bagi mengaktifkan semua agensi dan NGO dalam Yadim. Setakat ini, kerajaan hanya menyumbang separuh daripada jumlah itu. Jadi, Yadim berharap kerajaan dapat menambah peruntukan.
Kita juga menyeru supaya agensi-agensi dan individu-individu yang prihatin dapat memberi sumbangan serta infaq mereka kepada tabung Yadim yang telah dilancarkan kepada umum.
Kalau setiap umat Islam di negara ini menyumbang RM5 sebulan kepada tabung Yadim, insya-ALLAH saya yakin kita capai sasaran RM50 juta tersebut.
Kini banyak daie muda dan penceramah selebriti muncul di media sosial. Ada pro dan kontranya, malah kontroversi. Apa perspektif ustaz terhadap trend ini?
Kita ambil aspek positif iaitu negara memerlukan ramai daie bagi memimpin golongan sasar ke jalan yang benar. Oleh itu, kemunculan daie-daie segera, sama ada melalui program realiti TV ataupun menerusi program pencungkilan bakat oleh mana-mana agensi, perkara itu kita rai. Tinggal lagi nasihat saya kepada diri sendiri dan semua umat Islam, kita kena faham bahawa kerja dakwah bukan untuk mencari publisiti dan populariti. Tetapi ia kerja untuk mengajak manusia kembali kepada ALLAH SWT.
Jadikan populariti dan publisiti itu sebagai alat supaya kita lebih dekat dengan masyarakat. Boleh jadi masyarakat pada hari ini lebih seronok dan lebih dekat dengan dunia selebriti. Berbanding dengan pendakwah-pendakwah (tradisional) walaupun ilmunya tinggi, skilnya baik tetapi kurang dikenali, boleh jadi sentuhan mereka tidak memberi kesan besar kepada masyarakat. Berbeza dengan seorang daie yang sering muncul di media sosial, mereka mungkin lebih dikenali dan setiap patah perkataan mereka akan lebih didengari oleh setiap lapisan masyarakat.
Cumanya, sang daie kena sentiasa memperbaiki diri khususnya dalam aspek ilmu. Hendak berdakwah dan menyampaikan Islam, seseorang kena ada ilmu. Kita tidak boleh menyediakan (daie) sepantas mi segera untuk dinikmati. Secara analogi, mi segera ini boleh dinikmati untuk sementara sahaja, tetapi untuk kenyang sepanjang hari, kita perlu makan makanan lebih berat seperti nasi. Ayuh perbaiki diri dengan ilmu.
Apakah terdapat keperluan untuk mewajibkan pendakwah-pendakwah media sosial mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama?
Pengiktirafan atau tauliah daripada pihak kerajaan adalah penting untuk memantau dan mengawal agar usaha dakwah dibuat secara terancang dan berkesan. Kalau tidak dipantau, kita bimbang ia akan disalah guna oleh pihak tertentu yang mengaku sebagai pendakwah, terutama di laman sosial yang terdedah dengan akaun palsu selain pendekatan mengelirukan.
Namun, pada masa sama, saya tidak bersetuju kalau syarat tauliah dan pengiktirafan itu akhirnya menyempitkan kegiatan dakwah. Jadi, harus ada penyelarasan antara pihak yang mengeluarkan tauliah seperti majlis agama Islam dan pihak yang ingin memberi kuliah, ceramah dan dakwah sama ada di masjid dan surau ataupun di alam siber. Permudahkan (tatacara permohonan tauliah). Jangan susahkan pendakwah.
YouTube merupakan satu medium sosial yang sangat berpengaruh dan sukar dikawal. Apakah perancangan Yadim dalam menghadapi cabaran dakwah dan dakyah media sosial ini?
Kita sudah membangunkan jurnal penyelidikan agama Islam secara dalam talian dengan kerjasama badan penyelidik daripada universiti-universiti untuk dijadikan sumber rujukan oleh masyarakat. Demikian juga, kita nantinya akan menambah segmen daie muda atau rakan siswa Yadim untuk berperanan lebih aktif dan berkesan di alam siber. Yadim juga mempunyai saluran tersendiri di laman sosial utama seperti Instagram, Facebook, YouTube dan Twitter. Kita juga mahu supaya daie-daie ini nanti berperanan dalam media sosial untuk menyampaikan risalah Islam kepada warganet. Pada masa sama, mereka turut menangkis fitnah kerana saya tahu media sosial menjadi satu laluan begitu luas kepada pemfitnah-pemfitnah atau musuh Islam menjalankan aktiviti merosakkan pemikiran anak muda yang fanatik dan taasub dengan media baharu.
Kalau kita menyampaikan ceramah di masjid dan surau, jumlah hadirin paling tinggi pun mungkin 500 atau 1,000 orang. Tetapi kalau dibawa ke media sosial, sama ada Facebook Live atau YouTube, kita boleh capai jumlah penonton sampai puluhan ribu, bahkan jutaan orang.
Saluran YouTube Dr Zakir Naik contohnya ditonton ratusan juta orang dari seluruh dunia. Ini boleh kita pelajari.
PROFIL