SHAH ALAM - UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka tidak menghadapi kesukaran untuk berunding mengenai pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana kedua-duanya mempunyai DNA politik yang sama.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka tidak menghadapi kesukaran untuk berunding mengenai pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana kedua-duanya mempunyai DNA politik yang sama.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, bagaimanapun sentimen pengundi di Sabah terhadap Bersatu masih lagi di persimpangan kerana parti itu masih baharu dan tidak mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, sekiranya Bersatu diberikan kerusi yang lebih banyak pun, potensi untuk menang adalah rendah berbanding UMNO.

"Hal ini perlu diberi perhatian utama oleh pimpinan di peringkat negeri dan pusat. Jangan terlalu obses untuk mendapat peruntukan kerusi yang banyak sedangkan sentimen rakyat dan pengundi di Sabah masih lagi tidak menentu.

"Sekiranya wujud kebuntuan dalam pengagihan kerusi, kemungkinan akan muncul pertandingan tiga penjuru. Saya yakin tidak banyak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru, namun ia akan menjadi pencetus kepada penularan ketegangan politik di peringkat negeri dan persekutuan.

"Malah keadaan ini akan memberikan kemenangan mudah kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam PRN Sabah ini nanti," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu perebutan kerusi PRN Sabah melibatkan UMNO dan Bersatu.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik turut mengakui senario yang berlaku itu dilihat amat berbahaya khususnya terhadap kerjasama politik Perikatan Nasional (PN) di peringkat Persekutuan.

Mohammad Tawfik Yaakub

Menurutnya, jalan yang terbaik bagi mengatasi kemelut tersebut adalah melalui proses rundingan berdasarkan prinsip dan ketaatan kepada pimpinan Pusat.

Katanya, ia perlu diketengahkan agar bibit-bibit perbalahan dalam pengagihan kerusi di Sabah antara UMNO dan Bersatu dapat diredakan.

"Dalam parti pemerintah, perlu wujud ‘big brother’ supaya sesuatu keputusan dapat dibuat dengan konsensus dan dipatuhi oleh semua peringkat parti komponen. Namun saya lihat hari ini UMNO cuba kembali menjadi ‘big brother’ supaya tidak dikawal oleh Bersatu yang mempunyai bilangan kerusi sedikit berbanding UMNO.

"Disebabkan itu, UMNO menerusi Presidennya, Datuk Seri DrAhmad Zahid Hamidi membuat keputusan bahawa parti itu tidak akan menyertai PN apabila gabungan tersebut didaftar secara rasmi sebaliknya akan terus memperkasa Muafakat Nasional (MN).

"Jelas di sini UMNO mahu menjadi ‘big brother’ supaya mudah membuat keputusan dan agihan kerusi seperti yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Mujibu Abd Muis pula menyifatkan pertembungan antara dua parti politik itu sebagai sudah dijangka.

Mujibu Abd Muis

Malah, beliau berkata, pertembungan itu juga disifatkan sebagai satu langkah yang bagus kerana ia secara tidak langsung akan menguji sejauh mana UMNO dan Bersatu mampu berkompromi dan bekerjasama dalam konteks pilihan raya, bukan sahaja di Sabah malah di peringkat nasional.

"Kalau di Sabah mereka tidak mendapat formula untuk berkerjasama terutama dalam pembahagian kerusi, maka ia akan menjadi lebih sukar di peringkat nasional.

"Dalam pilihan raya, faktor kerjasama adalah penting dan menjadi kunci untuk memenangi pertandingan. Setakat ini, MN melibatkan UMNO dan Pas sudah membuktikan keberhasilan itu dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenanjung, namun ia masih belum teruji di Malaysia timur,” katanya.

Pertembungan

Mujibu berkata, pertembungan itu akan menjadi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan dan menjadi ujian pertama buat PN selepas membentuk pakatan politik sejak Mac lalu.

Katanya, kerjasama PN masih belum teruji dalam pilihan raya walaupun PRK Chini adalah PRK pertama dalam era pemerintahan PN.

"Ia tidak begitu mencabar disebabkan tiada cabaran daripada Pakatan Harapan (PH) dan beberapa faktor lain yang menjadikan PRK Chini sengaja tidak diberi tumpuan sama ada PH mahupun PN.

"Begitupun PRN Sabah sangat berbeza dan lebih mencabar kerana demografi pengundi yang bersifat lokal di mana kawasan-kawasan tertentu dikuasai oleh kaum tertentu. Ia sekali gus menyukarkan buat parti-parti politik seperti Bersatu atau UMNO untuk bertanding secara bersendirian.

"Justeru, adalah tidak bijak bagi PN terutama UMNO dan Bersatu untuk bertanding sendirian terutama Bersatu yang dilihat ‘terlajak yakin’ untuk bertanding di 45 daripada 73 kerusi DUN,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik, Dasar dan Pengajian Antarabangsa daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berpendapat, UMNO dan Bersatu perlu menyelesaikan segera hubungan kerjasama di Sabah bersama-sama parti anak negeri yang lain menjelang PRN Sabah nanti.

Beliau berkata, sekiranya pembahagian kerusi itu berjaya diselesaikan, PN akan dapat menghadapi PRN Sabah dengan lebih kukuh dan stabil.

Md Shukri Shuib

"Bagaimanapun, sekiranya tokoh-tokoh politik daripada kedua-dua parti ini tidak berjaya menyelesaikan polemik berkenaan, ia akan memberikan kesan yang besar kepada Warisan dan PH di Sabah untuk terus kekal sebagai kerajaan di Sabah.

"Malah, jika dilihat pada demografi politik di Sabah, polarisasinya dapat dilihat bahawa pengundi-pengundi akan mengikut tokoh-tokoh yang mereka sanjungi untuk diberikan kemenangan dan menjadi wakil mereka dalam DUN ataupun di peringkat Parlimen.

"Jadi polemik-polemik yang wujud antara kerjasama UMNO dan Bersatu ini perlu diselesaikan segera untuk menghadapi PRN Sabah agar kemenangan dapat memihak kepada kerajaan Persekutuan di bawah PN,” katanya.

Md Shukri juga mengharapkan PRN Sabah nanti tidak menjadi satu pilihan raya yang bersifat peperangan di antara personaliti dan tokoh-tokoh politik di negeri itu.

Katanya, umum mengetahui bahawa Sabah telah melahirkan ramai tokoh politik dan pembangunan yang berwibawa serta membawa kemajuan kepada negeri itu.

"Begitupun, sekiranya wujud peperangan yang tidak selesai antara tokoh-tokoh tersebut, kita akan melihat Sabah akan terus tergugat. Dalam konteks ini, kita mengharapkan agar PRN Sabah ini akan menjadi pilihan raya yang damai dalam kalangan pemimpin.

"Mungkin perlu wujudnya satu perpaduan antara pemimpin-pemimpin anak negeri itu supaya percakaran dan juga pertembungan antara pemimpin yang dilihat oleh masyarakat ketika ini tidak berulang dan menjadi perkara biasa di negeri Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemimpin-pemimpin utama politik di Sabah perlu bersikap damai dalam kalangan mereka agar pembangunan di negeri itu dapat diteruskan demi kelestarian dan 'survival' rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca