SHAH ALAM - Keputusan kerajaan membenarkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara untuk melakukan kuarantin wajib di rumah masing-masing bermula 10 Jun lalu disifatkan terlalu awal.
Akibat daripada keputusan kerajaan itu, ia menyebabkan kes Covid-19 di Malaysia kembali meningkat.
Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, pada dasarnya pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan itu.
Ini kerana katanya, agak sukar bagi seorang individu itu untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih-lebih lagi jika mereka tinggal bersama keluarga.
Bagaimanapun, katanya, Perdim menghormati keputusan itu kerana kerajaan tidak mahu membebankan rakyat dan pada masa sama kerajaan boleh mengurangkan kos yang terlibat ketika mereka berada di pusat-pusat kuarantin.
"Namun disebabkan kelonggaran yang diberikan itu, kini kes kembali meningkat dan secara tidak langsung kerajaan juga perlu menanggung kos-kos tersebut.
"Sebagaimana kita sedia maklum agak sukar untuk kita memantau disiplin mereka yang melakukan kuarantin di rumah. Apabila bersendirian, mereka akan mula cepat merasa bosan, resah sehingga mencabar kesabaran disiplin kendiri,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Dr Ahmad Shukri berkata, senario itu berlaku sehingga menyebabkan wujudnya kluster baharu iaitu Kluster Sivagangga di Kedah sekali gus mengancam kejayaan yang diperjuangkan bersama sebelum ini.
Beliau berkata, Perdim turut berterima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengambil tindakan drastik dengan melaksanakan semula kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin yang telah ditetapkan bagi mereka yang pulang dari luar negara sama ada melalui pengangkutan udara, laut dan darat.
"Malah kita turut puji bantuan yang diberikan oleh pihak polis dalam membantu KKM menjejaki kontak rapat mereka yang disahkan positif Covid19.
"Justeru, semua rakyat Malaysia perlu dipertanggungjawab sebagai ‘frontliner’ dan lebih proaktif dalam melaksanakan arahan-arahan dan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, apa yang berlaku itu adalah satu kesilapan yang perlu dijadikan pengajaran.
Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja membuka pintu negara terlalu awal, bahkan turut membenarkan mereka yang pulang dari luar negara untuk melakukan kuarantin wajib di rumah.
Menurutnya, kerajaan juga dilihat terlalu mempercayai bahawa rakyat Malaysia sudah berdisiplin dan mampu mengikuti arahan serta SOP yang ditetapkan, namun sebaliknya yang berlaku.
"Apa yang saya lihat tahap disiplin rakyat kita dalam mematuhi setiap arahan dan SOP masih lemah. Kalau kita lihat di pusat-pusat peranginan masih ramai lagi yang tidak mematuhi SOP, tidak memakai pelitup muka dan juga tidak mengamalkan penjarakkan fizikal.
"Jadi tindakan kerajaan dengan melaksanakan peraturan yang lebih ketat dengan mengenakan kompaun dan sebagainya adalah satu langkah tepat dalam usaha membendung kes penularan Covid-19 di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Sazaly turut melahirkan kebimbangan apabila sesi persekolahan kembali dibuka selepas masing-masing pulang meraikan Hari Raya Aidiladha.
Ini kerana katanya, kerajaan perlu mengambil kira implikasinya kerana mereka turut berdepan risiko dijangkiti pandemik Covid19.
Katanya, kerajaan seharusnya memberi sedikit masa sekurang-kurangnya dua minggu lagi sebelum sekolah dibuka.
"Ini kerana minggu ini adalah tempoh inkubasi dan minggu depan baru mereka menunjukkan gejala sekiranya dijangkiti. Jadi bagi saya adalah satu langkah yang tepat sekiranya sekolah dibuka dalam tempoh dua minggu lagi.
"Ini kerana kalau kita lihat pada kes kluster Sivagangga di Kedah, apabila seorang dijangkiti jumlahnya akan bertambah dengan cepat dan ini merisaukan kita apabila sekolah dibuka nanti,” ujarnya.
Dr Sazaly turut mencadangkan agar kerajaan menggunakan teknologi gelang elektronik bagi tujuan pemantauan terhadap mereka yang pulang dari luar negara berbanding gelang biasa ketika ini.
Menurutnya, kerajaan perlu bekerjasama dengan syarikat-syarikat elektronik untuk membangungkan gelang elektronik ini dalam usaha menyelesaikan masalah yang berlaku apabila mereka yang dikuarantin tidak berada di tempat sepatutnya.
"Sekiranya mereka keluar daripada pusat kuarantin atau rumah, mereka akan dikesan. Saya kira pendekatan ini boleh dilakukan sekiranya kerajaan mendapati kos untuk kuarantin di hospital atau hotel lebih tinggi berbanding di rumah.
"Jadi mereka perlu sewa dan selepas tamat tempoh kuarantin mereka perlu memulangkan semula kepada pihak berwajib,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca