"BUKAN separuh akhir sahaja, nak layak ke final pun boleh, apatah lagi jadi juara Piala Thomas kali ini."
Itu keyakinan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek yang percaya Malaysia mampu membawa pulang Piala Thomas 2020 yang kali terakhir dimenangi edisi Kuala Lumpur 1992 lalu sekiranya semua pemain mengambil tanggungjawab meningkatkan kerjasama dan semangat berpasukan di gelanggang.
"Sebenarnya jika dilihat skuad badminton negara sekarang khasnya skuad lelaki kita mempunyai barisan pemain yang boleh pergi lebih jauh lebih daripada sekadar separuh akhir kejohanan berprestij badminton dunia ini berdasarkan ramuan dan kualiti dimiliki pemain negara pada masa ini.
"Inisiatif diambil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan mengadunkan ramuan pemain di bawah badan induk badminton negara dengan pemain profesional bagi saingan kali ini sudah cukup membuktikan BAM mahu pemain badminton negara memberi lebih impak berbanding edisi Bangkok 2018 lalu.
"Cumanya apa yang perlu dilakukan pemain negara adalah memperbaiki semangat bekerjasama dalam setiap perlawanan diharungi. Mereka tidak bolehlah ikut kepala sendiri semasa beraksi kerana itu sebenarnya akan menjejaskan fokus dan momentum rakan sepasukan lain, andai terdapat pemain buat begitu letihlah pemain lain.
"Sebenarnya keazaman untuk membawa pulang atau sebaliknya Piala Thomas ke Malaysia semuanya terletak dalam diri pemain itu sendiri kerana jurulatih hanya mampu membantu dalam aspek taktikal dan motivasi sepanjang mengendalikan pemain selebihnya kita berserah kepada-Nya," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Tambah Rashid, selain Lee Zi Jia pemain perseorangan lain seperti Liew Daren dan Cheam Jun Wei juga boleh diberi tanggungjawab untuk menyumbang mata kepada skuad negara.
"Skuad negara juga memiliki gandingan pemain yang boleh diberikan tanggungjawab meraih mata penting buat negara menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing atau Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.
"Sebab itu saya katakan bahawa skuad pada kali ini sudah memiliki kualiti adunan yang cukup dari segi ramuan bagi mencabar kejuaraan sekali gus mengakhiri kemarau berpanjangan negara pada kejohanan badminton berprestij dunia ini," katanya.
Kali terakhir Malaysia merangkul Piala Thomas adalah pada 1992 selepas Rashid, Foo Kok Keong, Kwan Yoke Meng dan dua pasangan beregu Razif Sidek-Jalani Sidek dan Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang bangkit menundukkan Indonesia, 3-2 pada aksi di Stadium Negara.
Kelmarin skuad badminton negara diundi bagi kempen Piala Thomas bersama Indonesia, Belanda dan England dalam Kumpulan A manakala skuad Piala Uber diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.
Edisi Aarhus 2020 kali ini skuad negara menyasarkan separuh akhir bagi kempen Piala Thomas manakala kedudukan lapan teratas untuk saingan Piala Uber.
Pada masa sama tambah Rashid, pemain negara seharusnya menggunakan peluang beraksi pada edisi dua tahun sekali ini dengan memberikan persembahan lebih bertenaga apatah lagi selama ini pemain khasnya pemain di bawah kendalian BAM telah disediakan dengan kemudahan latihan serba moden dan canggih.
"Jika kita lihat daripada aspek kejurulatihan sehingga ke sains sukan termasuk kemudahan latihan diterima pemain badminton negara sebenarnya sudah berada pada satu tahap superb.
"Kita tengok fasiliti mereka sekarang memang terbaik berbanding beberapa tahun lalu, andai pemain nak apa sahaja cakap - training pagi petang beraircond siap berkarpet semua depan mata tinggal training dan berikan persembahan terbaik kepada negara.
"Kita bandingkan dengan seteru terdekat kita Indonesia yang berlatih pagi petang tanpa kemudahan canggih seperti diterima pemain negara kita, namun mereka masih mampu menghasilkan keputusan membanggakan dalam beberapa kejohanan dunia dalam acara perseorangan, beregu, beregu campuran dan tidak putus-putus.
"Jadi elemen inilah yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya pemain negara dengan membalas kepercayaan yang diberikan oleh BAM dengan mengharumkan nama persatuan seterusnya nama Malaysia," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca