SHAH ALAM - Krisis ekonomi yang melanda Malaysia akibat pandemik Covid-19 boleh memberi kesan terhadap psikologi termasuk pelbagai masalah sosial dan peningkatan kes-kes jenayah.
Menurut pakar sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, sektor ekonomi yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia akibat Covid-19 menyebabkan pasaran perniagaan merudum.
Menurutnya, disebabkan masalah itu majikan terpaksa memberhentikan pekerja mereka dan apabila pekerja-pekerja itu diberhentikan maka ekonomi mereka juga jejas.
"Jadi apabila keadaan ini berlaku, mereka yang terjejas akan tertekan sehingga menimbulkan permasalahan lain seperti berlakunya kes-kes jenayah, keganasan rumah tangga dan lebih teruk sehingga ada yang mengambil keputusan untuk membunuh diri.
"Bagaimanapun, ada beberapa faktor lain yang menyebabkan permasalahan sosial ini berlaku dan bukan hanya disebabkan faktor krisis ekonomi semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Shatar berkata, selain faktor itu, ia turut disokong oleh faktor kedua iaitu kurangnya sokongan daripada masyarakat sekeliling sehingga membolehkan seseorang individu itu mengambil tindakan di luar kawalan dengan melakukan perkara tidak sewajarnya seperti bertindak ganas, perbuatan jenayah dan juga membunuh diri.
"Kita sedia maklum apabila pandemik Covid-19 melanda dunia baru-baru ini bukan sahaja masyarakat di Malaysia yang hilang pekerjaan, malah mereka yang kehilangan pekerjaan di Amerika Syarikat turut berdepan situasi sama dan menyamai jumlah populasi di Kanada.
"Bagaimanapun, keadaan ini tidak akan menjadi penyebab utama sekiranya faktor kedua itu iaitu sokongan daripada masyarakat dapat memainkan peranannya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Shatar mengakui sekiranya seseorang itu hilang pekerjaan pastinya mereka akan menjadi murung, sedih dan akan menyendiri, namun sekiranya individu terbabit mempunyai ahli keluarga dan rakan-rakan yang akan memberikan semangat, maka kesedihan dan kemurungan yang dialami dapat diimbangi semula.
Katanya, sekiranya perkara-perkara ini tidak berlaku maka kebarangkalian untuk seseorang itu untuk mengambil tindakan yang tidak sewajarnya adalah lebih tinggi.
"Selain daripada faktor-faktor itu, ada juga penyebab lain seperti suasana kediaman didiami yang mendorong kurangnya mereka mendapat sokongan sosial daripada masyarakat seperti mereka yang tinggal kondominium, pangsapuri dan sebagainya.
"Justeru, bagi mereka yang berdepan dengan permasalahan ini mereka perlu mendapatkan bantuan sama ada ahli keluarga, rakan-rakan ataupun platform-platform kaunseling yang disediakan oleh kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi,” katanya.
Sementara itu, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim turut mengakui krisis ekonomi yang melanda dunia akibat pandemik Covid-19 itu telah menyebabkan kadar depresi meningkat termasuk di Malaysia.
Bagaimanapun katanya, peratusan itu masih lagi rendah di Malaysia memandangkan kerajaan telah melakukan perancangan awal untuk membantu meningkatkan ekonomi negara dengan memperkenalkan pelbagai insentif kepada rakyat.
"Begitupun depresi atau tekanan perasaan masih boleh berlaku kepada sesiapa sahaja apabila mereka tidak mempunyai pekerjaan akibat dibuang kerja yang sedikit sebanyak akan mengganggu hubungan kekeluargaan dan sebagainya.
"Keadaan ini akan membuatkan manusia tertekan sehinggalah mereka mengambil tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya untuk menghilangkan tekanan termasuk membunuh diri,” katanya.
Shahul Hamid turut melahirkan kebimbangan berlakunya peningkatan kes-kes yang melibatkan tekanan perasaan sehingga mendorong kepada berlakunya masalah-masalah sosial lain seperti jenayah dan sebagainya sekiranya ekonomi negara masih lagi tidak pulih selepas September nanti dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diteruskan.
Justeru, katanya, rakyat Malaysia perlu belajar bagaimana untuk menguruskan tekanan yang dihadapi menerusi pelbagai medium yang disediakan pihak kerajaan daripada terus membelenggu mereka.
Klik di sini untuk terus membaca