PENYERANG KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin boleh terus menyertai sesi latihan skuad Bawah-19 tahun (B-19) negara sekiranya latihan itu diadakan di luar negara khususnya di Eropah menjelang Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.
Ketua Jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney berkata, keistimewaan itu diberikan kepada Luqman Hakim hasil daripada perbincangan yang dilakukannya baru-baru ini.
Menurut Maloney, keistimewaan itu diberikan setelah mengambil kira perjalanan jauh yang perlu ditempuhi pemain berusia 18 tahun berkenaan bagi mengikuti sesi latihan skuad negara.
"Kita sudah bincangkan mengenai perkara ini dan dia (Luqman Hakim), boleh terus sertai latihan bersama kita jika kita lakukan persiapan latihan di Eropah.
"Sekiranya dia balik ke Malaysia mungkin ia akan jejaskan tahap kecergasannya kerana jarak yang jauh selain perbezaan masa.
"Sebaik-baiknya, kita perlu meminimumkan masa perjalanannya dan oleh itu kita memberikan kemudahan ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Bawah 19 tahun (B-19) di Kompleks Sukan PKNS, semalam.
Sementara itu, Maloney berkata, dia akan membuka peluang kepada pemain lain bagi menggalas tugas selaku penggempur pasukan sekiranya Luqman Hakim berdepan kekangan seperti tidak mendapat pelepasan daripada kelab baharunya KV Kotrijk untuk menyertai sesi latihan pasukan kelak.
Katanya, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti beberapa pemain berkenaan jika Luqman Hakim didapati tidak terlibat pada panggilan bagi mengikuti sesi latihan fasa seterusnya selepas ini.
"Kita ada beberapa pemain yang boleh diketengahkan dan kita lihat pemain-pemain ini sememangnya berbakat dan memiliki kebolehan.
"Secara keseluruhannya, mungkin dengan pemergian Luqman Hakim ke KV Kortrijk menjadi inspirasi buat pemain-pemain lain untuk melakukan perkara yang sama,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca