CHINA dan Amerika Syarikat (AS) sekali lagi terlibat dalam satu siri perbalahan berikutan Beijing memberi amaran kepada Washington berhubung lawatan pegawai kanannya ke Taiwan yang akan dilakukan tidak lama lagi.
Amaran itu dibuat oleh Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe melalui panggilan telefon kepada Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper pada Khamis lalu.
Menurut laporan agensi berita Xinhua, panggilan telefon selama 90 minit itu meminta Washington mengelakkan berlakunya peningkatan ketegangan hubungan dua hala yang sebelum ini merosot di bawah pemerintah Presiden AS, Donald Trump.
Dalam panggilan telefon itu, Fenghe memberitahu Esper supaya menghentikan 'penggunaan ayat yang salah dan perbuatan jahat' selain mengelakkan mengambil langkah-langkah berbahaya yang mungkin meningkatkan ketegangan.
Kenyataan itu merujuk secara langsung kepada Taiwan dan Laut China Selatan yang menjadi antara isu yang menyebabkan hubungan antara Beijing dengan Washington menjadi tegang.
Namun, Esper memberitahu Fenghe bahawa China melaksanakan aktiviti-aktiviti yang didapati telah menjejaskan ketidakstabilan sekali gus menolak tuntutan negara tersebut ke atas Taiwan dan sebahagian besar Laut China Selatan.
"Esper meminta supaya China melakukan ketelusan terhadap pandemik koronavirus (Covid-19), menyuarakan kebimbangan negara itu terhadap aktiviti ketidakstabilan di Taiwan, Laut China Selatan dan mendesak ia menghormati tanggungjawab antarabangsa," kata jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Jonathan Hoffman.
Panggilan telefon itu dibuat selepas Washington meningkatkan kempen penentangan terhadap Beijing.
AS mendakwa China cuba menguasai wilayah Laut China Selatan dan menggunakan platform teknologi popular seperti TikTok untuk mendapatkan maklumat peribadi ratusan juta pengguna di seluruh dunia.
Pada Rabu lalu, Beijing dilanda kemarahan selepas Washington menyatakan ia akan menghantar Setiausaha Kesihatannya, Alex Azar ke Taiwan bagi menemui Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dan beberapa pegawai lain.
Azar akan menjadi anggota Kabinet AS yang paling kanan melawat Taiwan sejak tahun 1972.
Sehingga kini kepulauan itu tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Washington walaupun kedua-duanya menjalin perhubungan yang rapat.
Sebelum ini, AS juga tidak mengiktiraf tuntutan China ke atas Taiwan.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin pada Rabu lalu mendesak supaya lawatan tersebut dibatalkan.
"Kami mendesak AS untuk mematuhi prinsip satu China dengan mengelakkan membahayakan hubungan antara AS dengan China termasuk keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan," tambahnya.
China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya sendiri dengan berikrar akan merampas kepulauan tersebut.
Ia menyebabkan Beijing akan dilanda kemarahan jika terdapat mana-mana negara yang mengiktiraf dan berkomunikasi dengan Taipei.
Bagaimanapun, Presiden Taiwan menganggap lawatan itu sebagai satu lagi bukti perkongsian kuat iaitu hubungan yang digariskan melalui kerjasama dalam bidang pertahanan dan jualan senjata AS.
Panggilan telefon itu juga dibuat ketika Esper berharap beliau akan melawat China menjelang tahun ini untuk mengadakan rundingan bagi memperbaiki krisis komunikasi.
Rundingan itu dianggap penting kerana Tentera Laut AS kerap mengadakan operasi berhampiran Taiwan dan di Laut China Selatan.
Namun, menurut jurucakap Jabatan Pertahanan AS itu, Esper menggariskan keperluan yang stabil, konstruktif dan hubungan pertahanan yang berasaskan keputusan antara kedua-dua buah negara.
Esper turut menimbulkan isu China gagal mengendalikan Covid-19 pada peringkat awal.
Sebelum ini, Trump menyalahkan China kerana penularan pandemik itu sehingga menyebabkan hampir 160,000 penduduk di negaranya meninggal dunia.
Panggilan telefon itu juga dibuat ketika AS dan China berbalah dalam pelbagai isu.
Dua minggu lalu, Washington mengarahkan Beijing menutup Pejabat Konsulnya di Houston dengan menganggap ia sebagai pusat pengintipan.
Pejabat itu juga dianggap sebagai pusat mencuri rahsia korporat AS.
Sebagai tindak balas, China pula menutup Pejabat Konsul AS di Chengdu.
Pada Rabu lalu pula, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, Washinton akan berusaha untuk mengharamkan lagi aplikasi China dan menghalang perkhidmatan menerusi komputer ke negara itu seperti AliBaba serta TenCent.
"Tindakan untuk menjadikan China sebagai musuh merupakan satu strategi fundamental yang silap," kata Menteri Luar China, Wang Yi pada Rabu lalu.
"Ia menunjukkan AS sedang menghalakan sumber-sumber strategiknya ke tempat yang salah," tambahnya lagi. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca