"SAYA cukup bangga kerana berkhidmat selama 52 tahun untuk negara tercinta Malaysia terutamanya dalam aktiviti kemasyarakatan,” kata Tan Sri Lee Lam Thye membuka bicara mengenai penglibatannya bersama masyarakat kepada Sinar Ahad di... Klik di sini untuk terus membaca

"SAYA cukup bangga kerana berkhidmat selama 52 tahun untuk negara tercinta Malaysia terutamanya dalam aktiviti kemasyarakatan,” kata Tan Sri Lee Lam Thye membuka bicara mengenai penglibatannya bersama masyarakat kepada Sinar Ahad di pejabat baharu Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lam Thye yang juga pengasas dan ahli kehormat seumur hidup MCPF berkata, kerjayanya bermula dalam bidang itu ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif, Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Perdagangan (NUCW) pada tahun 1968 sebelum bertanding dalam pilihan raya tahun 1969 dan terpilih menjadi wakil rakyat bagi Dewan Undang Negeri Bukit Nanas, Selangor.

"Bemula dari sinilah saya bergiat aktif dan cergas untuk memainkan peranan untuk terus menyumbang kepada masyarakat serta negara sehingga kini.

"Inilah antara satu-satunya yang sentiasa saya ingat ke mana-mana saja saya pergi sehinggakan ramai orang yang berjumpa saya seolah-olah tidak percaya bahawa saya masih aktif sehingga kini,” katanya yang mengakui berbangga kerana masih mampu berkhidmat kepada masyarakat dan juga negara.

Mengimbau kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang penglibatannya bersama masyarakat adalah kejadian kebakaran di sebuah kawasan setinggan di Cheras pada awal tahun 70-an.

Katanya, pada waktu itu beliau ialah orang pertama sampai di tempat kejadian sebelum bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba dan menjadi peristiwa yang sentiasa berada dalam ingatannya.

"Apabila saya dimaklumkan berhubung kejadian ini, saya segera ke tempat kejadian. Di situ melihat penduduk mula datang dan kami sama-sama membantu memadamkan kebakaran sebelum bantuan daripada Bomba tiba.

"Malah penduduk di situ turut terkejut kerana saya juga berada di tempat kejadian dan bertanyakan kepada saya bagaimana saya boleh berada di situ. Saya cuma cakap ini adalah tugas dan tanggungjawab saya serta perlu mengambil tahu hal yang berlaku di kawasan sekeliling saya,” katanya yang cukup bersemangat bercerita mengenai peristiwa itu. Menurutnya, tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian kebakaran itu.

Selain kejadian kebakaran, Lam Thye turut menceritakan pengalamannya ketika beliau cuba menyelamatkan kediaman sebuah keluarga yang hampir hanyut dalam satu kejadian banjir di Cheras.

Menurutnya, sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu, beliau seperti biasa bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebuah rumah yang berada di tepi sungai hampir roboh dan berkemungkinan akan dihanyutkan air.

"Air sungai sudah melimpah ketika itu, saya bersama penduduk kampung turun bersama-sama untuk menyelamat rumah berkenaan. Tanpa saya sedari air naik dengan cepat sehingga melebihi paras pinggang.

"Saya sebenarnya ketika itu tidak tahu berenang dan akhirnya penduduk setinggan di situ pula datang menyelamatkan saya,” katanya sambil ketawa besar ketika mengimbau kembali insiden tersebut.

Belajar

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, selepas insiden itu beliau mengambil keputusan untuk belajar berenang dan mengambil masa hampir empat bulan untuk mahir serta mempunyai keyakinan diri ketika berada di mana kawasan yang ada air terutamanya di sungai.

Katanya, kedua-dua kejadian itu merupakan sebahagian daripada sejarah dan akan sentiasa terpahat dalam ingatannya apabila melihat insiden-insiden kebakaran dan juga kejadian banjir.

"Malah insiden itu juga menjadi pemangkin buat saya untuk dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat berhubung isu kesihatan dan keselamatan kerana kita tidak boleh leka serta perlu mengambil berat tentang keselamatan bukan sahaja ketika bekerja bahkan juga dalam aspek kehidupan seharian kita.

"Selain MCPF, saya juga telah mewujudkan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Ikatan Komuniti Selamat sebagai platform untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dalam hal-hal yang melibatkan keselamatan termasuklah pencegahan jenayah dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Lam Thye turut mengakui antara pengiktirafan yang tidak dapat dilupakan adalah ketika beliau menerima Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada tahun lalu yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, beliau tidak menyangka namanya turut dicalonkan dan merasakan tidak layak untuk menerima anugerah itu lebih-lebih lagi beliau bukan beragama Islam.

"Bagaimanapun penglibatan saya dalam membantu pusat-pusat tahfiz di seluruh negara mengenai aspek keselamatan melalui program-progam perkongsian ilmu dan pendidikan itu telah dilihat sebagai sesuatu usaha yang murni oleh jawatankuasa penilai.

"Kami melalui Ikatan Komuniti Selamat ini terpanggil untuk memberi penerangan mengenai aspek keselamatan kerana bimbang dengan insiden-insiden kebakaran yang berlaku dipusat-pusat tahfiz sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Profil

Nama: Tan Sri Lee Lam Thye

Umur: 74 tahun (30 Disember 1946)

Asal: Mengelembu, Ipoh, Perak

Anak: dua orang

Antara pencapaian:

* Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 2019

* Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) (1994 - 2019)

* Pengasas Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (1993 - kini)

* Anugerah Perpaduan Kebangsaan (2008)

* Tokoh Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (2005)

Klik di sini untuk terus membaca