PADA 28 Julai 2020, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Bulan Kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang.
Peristiwa pelancaran ini barangkali tidak bermakna kepada segelintir masyarakat kerana bersifat bermusim, namun sebahagian besar mengakui ia memberi kesedaran mengenai nilai kenegaraan sepanjang tahun.
Jalur Gemilang adalah lambang maruah negara. Jalur gemilang berkibar megah kerana ada nilai kebebasan, pengorbanan dan kebanggaan.
Warga Malaysia yang taat, hormat, setia dan bangga akan memahami mengapa bendera Malaysia ini mesti dipatuhi kedudukannya. Nama Jalur Gemilang digunakan sejak tahun 1997 selepas 47 tahun dipanggil Bendera Malaysia.
Selepas dua tahun nama ini diusul, bendera Malaysia diisytiharkan pada 31 Ogos 1997 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, malam hari kemerdekaan ke-40.
Mengapakah jalur dan gemilang menjadi gabungan yang memberi maksud dan makna kepada lambang kebesaran negara ini?
Jalur dirujuk kepada 14 jalur merah dan putih yang memberi gambaran hala tuju sama ke arah kemakmuran negara dan bangsa dari Sabah hingga ke Perlis. Gemilang memberi maksud kecemerlangan dalam merentasi apa pilihan kehidupan sekali pun.
Kewujudan Bendera Malaysia bermula seawal tahun 1949 apabila Majlis Raja-Raja Melayu berkenan penubuhan satu jawatankuasa untuk memberi pertimbangan ke atas reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu.
Dalam Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada Februari 1950, reka cipta Mohamed Hamzah, arkitek Jabatan Kerja Raya Johor diberi perkenan dan pada 26 Mei 1950, bendera ini dikibar kali pertama dalam satu majlis anjuran Pesuruhjaya Tinggi British di Istana Sultan Selangor yang turut dihadiri oleh raja-raja Melayu dan pegawai pentadbiran British.
Jalur Gemilang bukan sekadar kain sejengkal yang menghiasi majlis rasmi semata-mata. Tersemat nilai kegemilangan tanah air yang perlu digarap dan dihalusi oleh setiap warga yang cinta dan kasihkan negara ini.
Insiden menukar warna dan lambang bendera, membakar bendera, terbalikkan lambang kebesaran bendera, tidak berdiri tegak ketika Jalur Gemilang dikibar bersama lagu Negaraku, mempersenda lambang di dalam Jalur Gemilang dan meletakkan Jalur Gemilang di tempat yang bertentangan dengan penerimaan umum seperti pakaian renang dan selipar wujud kerana sikap dan gelagat masyarakat yang tidak memahami wujudnya identiti dan nilai nasional serta budaya yang amat besar dalam proses mempertahankan keluhuran Jalur Gemilang ini.
Jika patriotisme sering dirujuk kepada perasaan cintakan negara termasuk mempertahankan kedaulatan negara, bangga menjadi warganya, menjunjung ketertinggian Perlembagaan dan Rukun Negara, berkorban atas nama negara dan sentiasa mempertahankan maruah atau kemerdekaan negara, maka kibar Jalur Gemilang untuk menunjukkan bahawa kita ialah warga Malaysia yang berjati diri tinggi.
Semangat kepunyaan adalah antara formula yang boleh dikongsi dalam pelancaran bulan kebangsaan dan kibar jalur gemilang ini supaya dibangunkan nilai faham, hormat dan menerima antara satu sama lain berteraskan kepada perincian bangsa Malaysia.
Pemantapan negara-bangsa secara berterusan penting untuk melahirkan warga Malaysia kelas satu di sebuah negara kelas pertama.
Jika kita boleh bersatu ketika berhadapan dengan krisis Covid-19, kenapa tidak ia dipanjangkan sepanjang bulan kebangsaan dan ia boleh dimulakan dengan kibaran Jalur Gemilang demi menyemarakkan rasa bangga, seronok, merdeka, bebas dan kemenangan serta kedaulatan bumi ini.
*Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca