PADA 27 Julai 2020, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mengeluarkan kenyataan di laman Twitternya, Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia sebagai reaksi terhadap satu status laman sosial Kedutaan Amerika Syarikat di... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 27 Julai 2020, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mengeluarkan kenyataan di laman Twitternya, Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia sebagai reaksi terhadap satu status laman sosial Kedutaan Amerika Syarikat di Manila, Filipina.

Susulan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa kenyatan Teodoro Locsin Jr sebagai 'satu kenyatan yang tidak bertanggungjawab', malah Kementerian Luar memanggil Duta Besar Filipina di Malaysia untuk memberi penjelasan berhubung kedaulatan Malaysia di Sabah.

Ini bukanlah kali pertama isu ini dibangkitkan kerajaan Filipina semenjak 1962 apabila Presiden Diosdado Macapagal, Presiden Filipina ketika itu telah membuat tuntutan terhadap Borneo Utara atau Sabah.

Pada 2016, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte turut meluahkan hasratnya untuk meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

Tuntutan kerajaan Filipina berdasarkan kepada dokumen bertarikh 22 Januari 1878 apabila Sultan Sulu ketika itu Sultan Muhammad Jamaluladzam memajak wilayah yang dikuasainya di Borneo kepada Gustavus Baron de Overbeck dan Alfred Dent wakil Syarikat British dan dibayar lima ribu dolar tahunan sebagai hasil pajakan.

Kerajaan Filipina sentiasa kemukakan hujahan ‘pajakan’ semasa membuat tuntutan terhadap Sabah, manakala kerajaan Malaysia pula menghujahkan bahawa ia 'cession' atau serahan dan bukan pajakan wilayah kepada Syarikat British.

Artikel ingin memperjelaskan 3 perkara utama dan memberi cadangan dalam isu tuntutan Filipina ke atas Sabah. Pertama, kawasan yang dituntut merangkumi pantai timur Sabah dan bukan keseluruhan Sabah.

Ini kerana kawasan pantai timur Sabah suatu ketika dahulu pernah berada di bawah kekuasaan Kesultanan Sulu.

Semasa perjanjian memajak Sabah kepada pihak Syarikat British, Kesultanan Sulu sedang menghadapi serangan penjajah Sepanyol yang telah lama mahu menakluk dan menjajah wilayah Kesultanan Sulu.

Akhirnya Kesultanan Sulu telah tewas kepada kuasa Sepanyol dan pada 22 Julai 1878 Sultan Sulu telah menandatangani ‘Bases of Peace and Capitulation’ untuk menyerah seluruh wilayahnya termasuk di Borneo ke Sepanyol yang menjajah Filipina ketika itu. Ini bererti Kesultanan Sulu sudah kehilangan hak memerintah sebagai kerajaan yang bebas di bawah Sepanyol.

Iktiraf

Kedua, pada 1885, kerajaan Sepanyol menandatangani Madrid Protocol 1885 dengan British dan Jerman supaya mereka mengiktiraf pendudukan Sepanyol pada kepulauan Sulu dan sebagai balasan Sepanyol telah melepaskan segala tuntutan kekuasaannya ke Sabah dan tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran Syarikat British.

Seterusnya pada 1898 Sepanyol telah menyerah tanah jajahan di Filipina kepada AS melalui Perjanjian Paris 1898 yang mengakhiri Perang Amerika-Sepanyol. AS terus memerintah Filipina sehingga ia mencapai kemerdekaan pada 1946.

Perlu ditegaskan semasa pentadbiran AS di Filipina, AS telah menggariskan sempadan serta batasan kekuasaan AS Filipina dan Sabah tidak dimasukkan. Republik Filipina mencapai kemerdekaan pada 1946 dan mewarisi Filipina daripada bekas penjajahnya AS.

Oleh demikian, bagaimana kerajaan Filipina boleh menuntut Sabah pada 1962 sedangkan pendahulunya AS serta Sepanyol telah menolak tuntutan ke atas Sabah? Lagipun, tuntutan itu hanya dibuat 16 tahun selepas kemerdekaan Filipina semasa usaha pembentukan Malaysia dan bukannya lebih awal?

Ketiga dan terpenting adalah Prinsip Efektifviti di mana sesuatu kuasa politik mampu membuktikan bahawa ia telah mentabir kawasan tersebut secara terusan untuk jangka masa yang panjang.

Selain itu, Prinsip Efektifviti juga menegaskan bahawa pemilik asal gagal untuk memerintah atau mentabir kawasan untuk jangka masa panjang maka ia kehilangan hak terhadap kawasan tersebut.

Dari segi sejarah amat jelas sekali Sabah sudah pun tidak berada di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu selama 242 tahun (1878-kini) bermula dengan pentadbiran Syarikat British-pemerintahan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua-Koloni British-menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963 sehingga kini.

Ini bererti pemerintahan dan pentadbiran Sabah sudah bukan lagi berada Kesultanan Sulu tanpa putus lebih 200 tahun malah kini Sabah terus dibangunkan di bawah Persekutuan Malaysia.

Prinsip Efektifviti telah menjadi panduan utama bagi Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau International Court of Justice (ICJ) semasa membuat pengadilan bagi kes Batu Puteh serta Pulau Sipadan dan Ligitan.

Oleh demikian, berdasarkan Prinsip Efektifviti Sabah adalah milik Malaysia dan bukan Filipina, manakala cadangan adalah supaya kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri menghentikan pembayaran ‘wang pajakan tahunan’ kepada pemimpin di Sulu.

Selagi, kerajaan Malaysia membayar ‘wang pajakan’ akan memberi implikasi kononnya Malaysia masih memajak kawasan timur Sabah daripada Sulu sedangkan realiti Sabah adalah milik Malaysia berdasarkan Prinsip Efektifviti serta pendahulu kepada kerajaan Filipina seperti AS dan Sepanyol tidak membuat tuntutan sedemikian.

Akhir kata, hubungan Malaysia-Filipina masih mesra dan kukuh dari segi perdagangan dua hala, malah ramai warganegara Filipina yang berada di Malaysia untuk mencari rezeki sebagai pembantu rumah, jururawat dan sebagainya.

Malaysia juga beberapa kali menghulurkan bantuan kemanusiaan apabila Filipina dilanda bencana alam seperti taufan Haiyan pada 2013 serta menjadi fasilitator kepada proses damai di selatan Filipina.

Oleh demikian hubungan mesra Malaysia-Filipina ini tidak harus terjejas akibat isu tuntutan demi kepentingan politik sesetengah golongan di Filipina.

*Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Stategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca