OBESITI dan masalah berat badan yang berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia telah menjadi satu trend yang membimbangkan.
Tagline ‘gemuk is awesome’ suatu ketika dahulu pernah meniti di bibir-bibir individu yang berbadan besar namun hakikatnya ia sebenarnya hanya akan membuatkan golongan berkenaan mengabaikan tanggungjawab menjaga berat badan mereka yang akhirnya menjejaskan kesihatan diri.
Kerunsingan itu berasas kerana berat badan yang berlebihan dan obesiti adalah faktor risiko utama yang sering dikaitkan dengan penyakit kronik seperti diabetes mahupun penyakit yang berkaitan dengan kardiovaskular.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), permasalahan obesiti yang mengubah struktur badan seseorang itu menjadi kebimbangan global sejak tahun 1975 dan sehingga kini ia masih menjadi isu besar.
Laporan WHO pada Februari 2020 pula jelas menunjukkan masalah obesiti semakin kritikal kerana ia telah mencapai peringkat epidemik secara global dengan sekurang-kurangnya 2.8 juta orang meninggal dunia setiap tahun kerana lebihan berat badan atau obes.
Lebih menakutkan kerana masalah obesiti bukan sahaja menyerang orang dewasa, bahkan juga kanak-kanak.
Anak yang berisi atau tembam memang nampak comel tetapi jika dibiarkan berterusan sehinggalah anak itu bersekolah, ia adalah petanda amalan pemakanan yang tidak sihat. Gemuk kanak-kanak sama bahayanya dengan gemuk orang dewasa. Mereka juga berisiko mendapat pelbagai penyakit jika tidak menjaga makan. Jadi, janganlah biarkan kecomelan mereka musnah kerana penyakit yang berbahaya.
Berubah
Banyak faktor yang menjadi punca berat badan berlebihan, antaranya pemakanan, aktiviti fizikal, persekitaran, genetik dan faktor lain seperti penyakit, tekanan serta ubatan, namun dua faktor utama datangnya daripada pemakanan dan aktiviti fizikal.
Bidang pekerjaan yang lebih terikat di dalam pejabat dan tidak aktif, misalnya, membuatkan pekerja kurang menggunakan tenaga turut menyumbang kepada pertambahan berat badan.
Dapat pula rakan yang hobinya suka makan dan bos pula sentiasa murah hati kerana sering belanja makan, maka nampaknya hasrat untuk kembali kurus dan ramping semakin kelam. Namun, jangan jadikan alasan itu untuk terus menambah lemak di badan. Kesediaan untuk berubah adalah penting. Tiada gunanya asyik berkeluh-kesah mengenai berat badan yang semakin bertambah tetapi tidak melakukan apa-apa.
Penurunan berat badan boleh dikatakan sebagai satu perjuangan dan pengorbanan yang memerlukan kekuatan emosi serta fizikal. Ia perlukan disiplin, kemahuan dan usaha yang tinggi. Mulakan dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang dan lakukan senaman secara konsisten agal kekal sihat.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari lima hari seminggu. Lakukan aktiviti harian yang mudah seperti menggunakan tangga berbanding lif, parkir kereta di tempat yang agak jauh dan kemudian berjalan kaki masuk ke pejabat atau paling mudah bercucuk tanam di depan rumah untuk mengeluarkan peluh.
Kalau mahu lebih mencabar, apa kata sertai sukan berbasikal yang kini dilihat menjadi trend aktiviti riadah paling popular.
Rakan penulis kini ramai yang ‘gila’ berbasikal. Pagi berbasikal, malam pun berbasikal, cuma tak pernah pula mereka mencuba untuk berbasikal ke pejabat. Berbasikal boleh membakar kalori antara 400 hingga 1,000 kalori dalam masa satu jam bergantung kepada intensiti dan berat pengayuh.
Kalau tidak mahu mengeluarkan kos untuk membeli basikal, mendaki bukit atau gunung juga boleh mencabar stamina kerana aktiviti tersebut dapat membakar kalori yang banyak. Ia melibatkan latihan kardio dan salah satu senaman yang berimpak tinggi.
Usai berbasikal atau panjat gunung, bolehlah ambil gambar beramai-ramai dan kongsi di media sosial. Sekurang-kurangnya gambar tersebut boleh ‘membakar’ semangat rakan-rakan yang lain untuk sihat bersama-sama.
*Azlina Mohamad Jantan ialah Ketua Editor Halaman Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca