SHAH ALAM - Pertandingan tiga penjuru perlu dielakkan bagi menjamin kemenangan Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pensyarah Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pertandingan tiga penjuru perlu dielakkan bagi menjamin kemenangan Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pensyarah Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, MN perlu melihat kepada siapa yang memenangi kerusi PRU14 sebagai formula untuk menang PRU15.

"Kita boleh katakan ini sebagai pakatan pilihan raya di mana formulanya mestilah satu lawan satu. Ini bermakna di tempat UMNO dan Pas bertanding, tidak boleh berlaku pertembungan tiga penjuru menentang pembangkang.

"Kedua, saya melihat formula siapa yang memenangi kerusi pada PRU14 perlu dikekalkan. Kita tidak nafikan ada isu dan cabarannya di situ kerana mungkin masing-masing akan menyatakan mereka mempunyai sokongan akar umbi dan jentera yang kuat. Ia perlu diselesaikan secepat mungkin,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dalam wawancara eksklusif Sinar Ahad semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagi menjamin kemenangan MN, tidak boleh ada pihak yang bersifat tamak atau kedekut dalam pembahagian kerusi dan ia merupakan formula utama bagi menjamin kemenangan.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, sasaran pengundi UMNO dan Pas sama iaitu orang Melayu.

Justeru, katanya, parti mana lebih kuat perlu diberikan keutamaan berdasarkan rekod yang dimiliki parti masing-masing.

"Dalam hal ini, UMNO boleh dikatakan bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dan Pas mungkin mendapat lebih sedikit kerusi bertanding sebelum ini,” kata beliau.

Beliau memberikan contoh pembahagian kerusi secara adil oleh Pakatan Rakyat sebelum mereka berpecah di mana Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP diberikan sasaran bagi setiap parti untuk memenangi 40 kerusi pada pilihan raya.

Katanya: "Mungkin jika ingin menggunakan pendekatan sama rata bagi MN sedikit tidak sesuai kerana sasaran pengundinya sama tetapi mungkin UMNO boleh diberikan dua pertiga kerusi untuk ditandingi dan Pas satu pertiga.”

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohammad Fuad Othman pula berkata, walaupun secara asasnya perlu wujud tolak ansur dalam pembahagian kerusi bagi PRU15 tetapi antara perkara utama yang perlu dilihat ialah sejauh mana calon yang diketengahkan berupaya menarik undi.

"Ini kerana kita bertanding untuk menang pada pilihan raya dan demokrasi berparlimen adalah berkenaan dengan berapa jumlah yang menang atau ia berkaitan angka bagi membentuk kerajaan.

"Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini perbezaan majoriti antara kerajaan dan pembangkang amat kecil. Ia membuatkan pemilihan perlu dibuat dengan lebih berhati-hati,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca