CHINA cuba menjadikan Taiwan yang melaksanakan sistem demokrasi seperti sebuah lagi Hong Kong yang kini mengalami krisis kebebasan bersuara disebabkan oleh undang-undang keselamatan kebangsaan baharu. Kenyataan yang didakwa sebagai amaran... Klik di sini untuk terus membaca

CHINA cuba menjadikan Taiwan yang melaksanakan sistem demokrasi seperti sebuah lagi Hong Kong yang kini mengalami krisis kebebasan bersuara disebabkan oleh undang-undang keselamatan kebangsaan baharu.

Kenyataan yang didakwa sebagai amaran itu dikeluarkan oleh Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu yang mengadakan pertemuan dengan seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) ke kepulauan tersebut.

Ia juga dikeluarkan ketika terdapat peningkatan usaha bagi memerangi para penentang Beijing di Hong Kong sejak China melaksanakan undang-undang keselamatan di pusat kewangan tersebut pada bulan lalu.

Dalam menguatkuasakan undang-undang itu, beberapa ahli politik pembangkang disingkirkan dan para aktivis ditangkap.

Situasi itu telah mencetuskan kebimbangan di Taiwan.

Kepulauan itu didiami oleh 23 juta penduduk tetapi Beijing mendakwa ia sebagai sebahagian dari wilayahnya.

Ia juga berikrar akan merampas Taiwan melalui kekerasan jika perlu.

Justeru, Wu berkata, kebebasan negaranya berada dalam ancaman dan ia akan diragut oleh China.

Kenyataan itu dibuatnya ketika mengadakan pertemuan dengan seorang anggota Kabinet AS, Alex Azar di Taipei pada Selasa lalu.

"Kehidupan kami menjadi sukar ketika China terus melakukan tekanan supaya Taiwan menerima keadaan politiknya. Ia akan mengubah Taiwan menjadi Hong Kong.

"Penduduk Taiwan sudah terlalu biasa berurusan dengan ancaman sama ada ketenteraan, diplomatik atau epidemik," ujarnya.

Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu mendakwa kebebasan negaranya berada dalam ancaman dan ia akan diragut oleh China. - Foto AFP

Azar merupakan Setiausaha Kesihatan AS dan berada di Taipei selama tiga hari.

Ia merupakan lawatan peringkat tinggi AS sejak ia menukarkan pengiktirafan dari kepulauan tersebut kepada China pada tahun 1979.

Beijing juga telah meningkatkan tekanan ekonomi, diplomatik dan ketenteraan ke atas Taiwan sejak pilihan raya pada tahun 2016 apabila Presiden Tsai Ing-wen memenangi penggal kedua awal tahun ini dengan memperoleh kemenangan besar.

Ing-wen turut menolak pendirian Beijing bahawa Taiwan merupakan sebahagian daripada satu China sebaliknya berpandangan bahawa kepulauan tersebut sudah pun bebas.

China sebelum ini mencadangkan supaya Taiwan diberikan hak melaksanakan sistem berlainan tetapi berada dalam sebuah negara iaitu model yang kini digunakan ke atas Hong Kong.

Sistem itu sepatutnya dapat menjamin beberapa kebebasan dan kuasa autonominya yang tersendiri.

Namun, semua parti politik arus perdana Taiwan menolak cadangan tersebut.

Sedikit keterujaan berhubung idea itu kemudian lenyap setelah China memerangi pergerakan demokrasi Hong Kong.

Dalam pada itu, lawatan Azar dilakukan ketika hubungan antara AS dengan China berada dalam keadaan kacau bilau dengan kedua-dua negara berbalah dalam isu perdagangan, ketenteraan dan keselamatan termasuk pandemik koronavirus (Covid-19).

Pada Isnin lalu, Taiwan berkata, China menghantar jet-jetnya ke sempadan de facto yang memisahkan kedua-dua musuh itu di Selat Taiwan sejurus sebelum Azar bertemu dengan Presiden Taiwan.

Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu mendakwa kebebasan negaranya berada dalam ancaman dan ia akan diragut oleh China. - Foto AFP

Dalam lawatan itu, Setiausaha Kesihatan AS itu memuji demokrasi Taiwan dan kejayaannya dalam menangani Covid-19.

Beliau sebelum ini mengritik Beijing kerana caranya mengendalikan pandemik tersebut yang didakwa berasal dari negara tersebut selain model pemerintahan autoritariannya.

Taiwan yang mempunyai kes Covid-19 yang disahkan berjumlah kurang daripada 500 termasuk tujuh kematian mampu menangani pandemik tersebut kerana pelaksanaan sistem demokrasi dan ketelusan, kata Wu.

"Sebagai perbandingan, dengan model autoritarian, pihak berkuasa (China) tidak mendedahkan fakta-faktanya, tetapi dalam model Taiwan yang telus, kami boleh melakukan penipuan atau sembunyikannya," ujarnya.

China juga berusaha supaya Covid-19 berada di bawah kawalannya dengan melaksanakan lockdown dan sekatan perjalanan.

Sebagai perbandingan, AS mempunyai jumlah kematian akibat pandemik itu lebih daripada 160,000 orang.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump telah dituduh oleh ramai pengkritik kerana mengambil pendekatan yang keras ke atas China.

Ia adalah sebagai cara untuk menjauhkan mereka daripada mengambil perhatian terhadap kenyataannya mengenai Covid-19.

Ini adalah kerana beliau bertanding untuk mengekalkan penggal pemerintahannya pada pilihan raya presiden pada November ini. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca