MERAK JALANAN mungkin antara jutaan rakyat Malaysia yang mahu mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada individu bernama Asri Janggut.
Walaupun nyawanya menjadi pertaruhan, malah kedai burger miliknya diangkut oleh pihak berkuasa kerana berniaga di tepi jalan, namun dia nekad terus mendedahkan kegiatan sindiket judi yang bermaharajalela di Sungai Buloh, Selangor.
Tetapi agak mengejutkan, rentetan pendedahan itu, beliau sendiri menjadi suspek selepas didakwa membuat tuduhan fitnah ke atas pihak berkuasa. Mujur ada campur tangan pak menteri dan Ketua Polis Negara.
Namun, ternyata Asri Janggut tidak silap. Di mana suburnya kegiatan haram seperti judi, nombor ekor, dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin, sudah pasti akan ada kegiatan rasuah dalam kalangan pihak berkuasa yang tidak bertanggungjawab.
Adalah sesuatu yang agak mustahil, pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan tidak mengetahui sesuatu kegiatan haram di kawasan mereka.
Kalau sebulan dua mungkin boleh dimaafkan tetapi kalau sudah bertahun-tahun ‘hidup subur’, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
Pihak berkuasa yang culas itu menjadi pelindung orang tengah atau pembocor maklumat kepada kumpulan sindiket.
Lebih aneh, walaupun sudah dibuat laporan oleh orang awam atau pendedahan pihak media, namun sindiket masih kebal.
Hanya dengan pendedahan berani mati seperti dibuat Asri Janggut lengkap dengan video, barulah masing-masing panas punggung.
Dan yang lebih pelik lagi, hanya dalam masa tiga hari, tiba-tiba tiga penguat kuasa culas sudah kena cekup.
Merak Jalanan harapkan pihak atasan dan pihak berkuasa agar lebih tegas dalam memerangi kegiatan rasuah yang bertopengkan lencana pihak berkuasa.
Klik di sini untuk terus membaca