HUBUNGAN antara Turki dengan Greece kini tegang berikutan isu penerokaan minyak dan gas di kawasan perairan yang menjadi perbalahan antara kedua-dua negara di lautan Mediterranean.
Pada mulanya, Ankara didakwa menghantar sebuah kapal penyelidikan geologi, Oruc Reis di luar perairan kepulauan Kastellorizo, Greece pada Isnin lalu.
Beberapa buah kapal tentera laut Turki kemudian mengiringi Oruc Reis manakala beberapa buah helikopter meronda di kawasan sekitarnya.
Sebagai tindak balas, Greece pula menghantar aset-aset ketenteraan bagi memantau aktiviti Turki itu.
Perbalahan semakin meningkat apabila Erdogan mendakwa kapalnya itu pernah diserang ketika ia melakukan misi penerokaan tersebut menyebabkan Ankara melakukan tindakan sedemikian rupa.
"Kami memberitahu anda, jangan serang kapal Oruc Reis. Anda akan membayar harga yang tinggi jika anda menyerang Oruc Reis kami dan anda mendapat jawapan pertama saya," kata Erogan dalam satu ucapannya di Ankara pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Greece menafikan berlaku serangan itu.
"Tidak ada insiden yang berlaku," kata seorang pegawai pertahanan negara itu kepada AFP.
Kapal Oruc Reis itu dijangka menamatkan misi di perairan lautan Mediterranean itu pada 23 Ogos ini.
Sebelum ini Erdogan membuat panggilan telefon kepada pemimpin Jerman, Chancellor Angela Merkel dan ketua Kesatuan Eropah (EU), Charles Michel.
Berlin dan Brussels turut mengeluarkan kenyataan sekali gus mengesahkan perbalahan yang berlaku di Mediterranean.
Namun, Pejabat Presiden Turki berkata, Erdogan menegaskan perlunya lebih banyak diplomasi digunakan dalam perhubungan telefonnya dengan Merkel dan Michel.
Menurut pejabat itu, Erdogan memberitahu Merkel bahawa beliau memilih supaya perbalahan di timur Mediterranean diselesaikan melalui rangka kerja undang-undang antarabangsa atas dasar keadilan dan menerusi dialog.
Presiden Turki itu juga memberitahu Michel bahawa Turki memilih satu penyelesaian yang akan melindungi hak semua negara dan memberi keuntungan kepada semua pihak.
Bagaimanapun, Erdogan menegaskan kepada ketua EU itu mengenai komitmennya berhubung hak-hak Turki.
Krisis itu kemudian menyebabkan Perancis yang sebelum ini 'bertegang leher' dengan Turki selama berbulan-bulan mengenai isu Libya mengumumkan ia memperkukuhkan aset-aset tenteranya di lautan Mediterranean bagi menyokong Greece.
"Saya telah memutuskan untuk memperkukuhkan lagi kehadiran tentera Perancis di Mediterranean dengan kerjasama dengan Greece dan rakan-rakan Eropah yang lain," kata Presiden Perancis, Emanuel Macron baru-baru ini.
Katanya lagi, kawasan timur Mediterranean kini semakin membimbangkan.
"Keputusan satu pihak yang dibuat Turki dalam penerokaan minyak membangkitkan ketegangan. Ia perlu dihentikan," kata Presiden Perancis itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis mengucapkan terima kasih kepada Macron kerana meningkatkan aset-aset ketenteraannya di kawasan tersebut.
Perancis telah menempatkan sebuah kapal frigat dan telah menghantar dua buat jet dari Cyprus ke timur Mediterranean.
Ia adalah sebagai langkah untuk menyokong Greece yang merupakan anggota EU.Paris juga pernah menyatakan bahawa Turki mencabul kedaulatan Greece dan Cyprus.
Sejak penemuan simpanan hidrokarbon di kawasan timur Mediterranean, Athens dan EU mendakwa Ankara melakukan aktiviti menggerudi secara haram di perairan tersebut.
Namun, Turki mendakwa kawasan itu berada dalam lingkungan zon ekonominya.
Hubungan itu pula menjadi lebih rumit selepas Paris menuduh kapal-kapal Ankara melakukan tindakan agresif ke arah Tentera Laut Perancis pada bulan Jun lalu.
Justeru, EU akan cuba mencari jalan untuk menghapuskan ketegangan tersebut dalam pertemuan dengan menteri-menteri blok itu.
Turki dan Greece sudah terlibat dengan perbalahan berhubung zon maritim sejak sekian lama.
Sebelum ini, EU juga telah berulang kali mendesak supaya Turki menghentikan kerja-kerja penerokaan selain menyebelahi Greece dalam isu mengenai sempadan maritim di Mediterranean.
Bagaimanapun, Erdogan tetap mempertahankan hak-hak negaranya untuk meneroka minyak dan gas dalam kawasan yang didakwa sebagai perairannya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca