SYABAS kerajaan yang terus bertegas memastikan Malaysia tidak dibuli negara luar berhubung isu sampah apabila bertegas bahawa Malaysia tidak akan sesekali menjadi 'tong sampah dunia'. Bukan hanya cakap kosong, isu menimbulkan kebimbangan... Klik di sini untuk terus membaca

SYABAS kerajaan yang terus bertegas memastikan Malaysia tidak dibuli negara luar berhubung isu sampah apabila bertegas bahawa Malaysia tidak akan sesekali menjadi 'tong sampah dunia'.

Bukan hanya cakap kosong, isu menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia itu telah dan sedang diambil tindakan oleh kementerian berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 5 Ogos lalu berkata, sebanyak 13 kontena mengandungi sisa toksik dan 42 kontena bahan plastik telah dikesan dengan tindakan segera diambil melalui penghantaran semula sampah-sampah terbabit ke negara asal masing-masing.

Sebelum ini penghantaran pulang 150 kontena sisa pepejal plastik telah pun dibuat ke negara asal pengeksport sejak suku ketiga tahun lalu termasuk negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis, Kanada, Sepanyol, Hong Kong dan Jepun.

Anehnya, kenapa negara-negara terbabit yang sebahagiannya terkenal dengan kebersihannya itu perlu memilih Malaysia untuk membuang sampah, kenapa tidak negara lain atau selesaikan sahaja di negara sendiri?

Dua negara maju, Perancis dan UK misalnya, kedua-dua negara pesat membangun itu sudah tentu memiliki teknologi moden untuk melupuskan sampah.

Apatah lagi kedua-duanya disenaraikan dalam 10 negara terbersih di dunia melalui Laporan Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) 2020 melalui kajian Universiti Yale dan Universiti Columbia. Perancis di tempat kedua paling terbersih dan UK di kedudukan keenam.

Sudah tentu kedua-duanya yang merupakan pemain ekonomi kompetitif itu memiliki kemampuan membangunkan teknologi khususnya dalam menguruskan pembuangan dan pelupusan sampah secara sistematik di negara sendiri.

Begitu juga dengan AS yang tidak boleh dinafikan prasaranya kerana hampir semua bidang negara itu jauh ke depan tapi rupa-rupanya tidak cukup ruang tanah sehingga terpaksa membuang sampah di ‘tanah orang’.

Negara paling maju di Asia Tenggara, iaitu Singapura turut menghantar sampah-sampah untuk dibuang ke negara ini. Ia melibatkan empat kontena yang telah pun dihantar balik ke negara itu.

Walaupun tanahnya kecil, tidak bermakna Singapura perlu mendaratkan sampah-sampah di negara orang apatah lagi kedudukannya hanya ‘sebelah rumah’ tapi sanggup mengetepikan adab apabila sanggup melempar sisanya ke dalam ‘rumah jirannya’ sendiri.

Isu ini sebenarnya bukan hanya melibatkan negara maju, malah negara-negara membangun seperti Vietnam dan Bangladesh turut menghantar sampah mereka ke negara ini.

Bangladesh bukanlah negara maju, malah ia antara negara yang mendapat skor terendah Laporan Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) 2020, sekali gus berada dalam kumpulan negara paling kotor di dunia, turut sama menghantar sisanya ke negara ini.

Tindakan

Dalam konteks ini sama ada negara maju atau tidak maju, paling bersih atau kotor, sebenarnya mentaliti tidaklah jauh berbeza.

Selain membuli negara membangun, mungkin keramahan dan kelembutan Malaysia juga menyebabkan negara-negara lain menganggap Malaysia sebagai sebuah negara yang baik hati untuk menerima sampah mereka.

Mujurlah kerajaan mengguna pakai Konvensyen Basel dalam memastikan penghantaran pulang sampah-sampah tersebut dan mujur juga penghantaran balik tidak membabitkan sebarang kos kewangan kepada kerajaan.

Jangan kerana baik hati, kita melepaskan orang yang bertanggungjawab terhadap kemasukan beratus-ratus kontena sampah ke negara sebelum ini. Usaha menghantar pulang sampah ke negara pengeksport sudah cukup tegas namun paling penting dalang yang ‘membuka pintu’ perlu dihadap ke muka pengadilan. Ia bukan lagi soal buli, tetapi mengkhianati negara sendiri.

Cukuplah kerajaan menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk menangani soal kebersihan rakyat sendiri, yang kini masih lagi tidak mampu membuang sampah di poket sendiri.

*W Saidatul Fadzilah W Najemudin adalah Editor Halaman Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca