TANJUNG MALIM - Masyarakat India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim mengharapkan isu perumahan dan pertanian akan menjadi keutamaan untuk diselesaikan oleh bakal wakil rakyat yang akan dipilih nanti.
Bagi seorang penduduk, M Kamala Devi, 67, dia mengharapkan isu setinggan di kawasan tanah rizab Keretapi Tanah Melayu (KTM) dapat diselesaikan segera.
Menurutnya, kebanyakan penduduk sudah tinggal di situ lebih 20 tahun membabitkan 18 buah rumah kerana tiada kawasan penempatan yang sesuai.
"Mungkin penduduk di sini boleh menyertai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kerana kebanyakan mereka golongan susah termasuk saya sendiri.
"Saya harap bakal wakil rakyat kita dapat cari jalan bagaimana nak bantu penduduk di sini kerana ada juga rumah yang diduduki lebih dari satu keluarga," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui semalam.
Sementara itu, bagi seorang petani, S Kumaran, 58, pula berkata, kebanyakan penduduk India di kawasan DUN Slim bekerja sendiri dan menjadi petani.
Katanya, kekangan yang dihadapi adalah dari segi mendapatkan kawasan untuk bercucuk tanam kerana ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menyewa tanah persendirian dan meneroka secara haram tanah kerajaan.
Menurutnya, keadaan itu menuntut kerajaan untuk memikirkan kaedah terbaik bagi golongan petani di kawasan berkenaan mengusahakan tanah-tanah kerajaan secara sah.
"Kita mohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan kawasan khas untuk pertanian berkelompok supaya penduduk di sini dapat bekerja dan mencari rezeki dengan mudah.
"Kerajaan negeri mungkin boleh pajak tanah-tanah terbiar sekitar kawasan Slim River atau Sungkai kepada petani untuk diusahakan sebagai kawasan pertanian," katanya.
Kumaran berkata, dengan cara itu petani tidak perlu lagi meneroka secara haram malah kerajaan negeri juga mendapat hasil menerusi cukai yang dikenakan.
Jelasnya, ketika ini dia menyewa tanah penduduk setempat seluas 2.4 hektar bagi tanaman sayur seperti peria, kacang panjang, timun dan sebagainya untuk meneruskan kehidupan.
Jika kerajaan dapat memberikan kawasan untuk diusahakan, dia yakin tanaman yang diusahakan dapat diperluaskan lagi sekali gus membantu menampung keperluan makanan negara.
Dalam pada itu, C Vikneswary, 23, yang tinggal di Kampung Hendra Lama, di sini berkata, dari segi kemudahan asas seperti sekolah, dewan dan sebagainya memang sudah dinikmati oleh penduduk di DUN Slim ini.
Dia yang merupakan generasi ketiga tinggal di situ melihat isu-isu kemudahan dan infrastruktur tidak begitu mendesak cuma terdapat jalan-jalan kampung yang perlu diturap semula.
Katanya, selain daripada itu kemudahan yang disediakan kerajaan juga memuaskan dan penduduk berharap wakil rakyat baharu nanti dapat membawa lebih banyak pembangunan di kawasan DUN berkenaan.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul pada 15 Julai lalu.
Pada PRK berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Dr S Santharasekaran.
Tarikh bagi Hari Mengundi bagi PRK DUN Slim ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada 29 Ogos depan.
Klik di sini untuk terus membaca