SEREMBAN - Sempena bulan kemerdekaan, seorang kakitangan swasta mengambil kesempatan jana pendapatan sampingan dengan menjual baju kait pewangi kenderaan bertemakan bendera. Norazida Abu Kassim, 37, berkata, idea itu timbul selepas kakak... Klik di sini untuk terus membaca

SEREMBAN - Sempena bulan kemerdekaan, seorang kakitangan swasta mengambil kesempatan jana pendapatan sampingan dengan menjual baju kait pewangi kenderaan bertemakan bendera.

Norazida Abu Kassim, 37, berkata, idea itu timbul selepas kakak sulungnya berkongsi hasil kreativitinya mengait baju untuk pewangi keretanya.

"Asalnya kak long saya buat suka-suka untuk pegawai kereta dia dan tak sangka pula bila saya kongsi di status WhatsApp, kawan-kawan mula bertanya nak beli sehingga tersebar dari mulut ke mulut.

"Dari situ mula timbul idea untuk saya menjualnya. Lagipun saya pun memang jual pewangi kereta dan minyak wangi, jadi saya boleh jual secara pakej," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau mula iklankan di Facebook dan kini telah menerima 200 helai tempahan dalam tempoh seminggu bukan sahaja dari Negeri Sembilan tetapi juga Kuala Lumpur, Pahang dan Johor.

Norazida berkata, disebabkan hanya kakaknya seorang yang pandai mengait, beliau kini membuka peluang kepada orang lain untuk turut sama menyertainya.

"Saya tak pandai mengait, kak long seorang yang buat. Jadi kami memerlukan lebih ramai yang dapat mengait.

"Harga bagi sehelai baju hanya RM6 dan kalau beli sekali dengan pewangi kereta saya jual RM15 dan pelanggan boleh pilih bau pewangi yang mereka suka," katanya.

Melihat sambutan yang menggalakkan, Norazida berhasrat menjual baju pewangi kenderaan itu mengikut tema pada bulan atau hari tertentu.

Beliau kini turut menjual aksesori penyambung pelitup muka bertemakan bendera Malaysia.

"Ini juga sebagai salah satu cara kita menterjemahkan semangat patriotisme dan memeriahkan bulan kemerdekaan selain dari mengibarkan jalur gemilang.

"Setakat ini saya mempunyai lima agen dari Seremban dan Rembau dan berhasrat mencari lebih ramai agen di seluruh negeri sekaligus membantu mereka yang ingin mencari pendapatan tambahan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca