SHAH ALAM - Penggunaan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti disifatkan sebagai keputusan tepat kerana logo tersebut dilihat masih mempunyai pengaruh kuat kepada rakyat negeri itu.
Penganalisis politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, logo itu masih mempunyai pengaruh yang kuat kepada rakyat Sabah berdasarkan rekod pemerintahan BN di negeri itu dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Menurutnya, BN sememangnya mempunyai reputasi yang tinggi di Sabah kerana menjadi kerajaan di negeri itu sebelum PRU14.
"Keputusan PRU14 pula menyaksikan BN memperoleh 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya kurang satu kerusi untuk membolehkan mereka capai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.
"Sepanjang memerintah Sabah juga, BN telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kemudahan rakyat dan semestinya rakyat negeri itu sudah merasai dan menikmati pelbagai sumbangan yang telah dilakukan kerajaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keputusan BN Sabah untuk menggunakan logo sendiri pada PRN yang akan berlangsung 26 September depan
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, bagaimanapun keputusan itu akan dibincangkan dengan parti-parti lain yang akan turut bertanding.
Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, keputusan BN Sabah itu adalah realistik berpandukan rekod pemerintahan BN di negeri itu yang sekali gus akan memberi kelebihan kepada parti berkenaan untuk memenangi PRN tersebut.
Menurutnya, kejayaan UMNO dan BN membentuk kerajaan Persekutuan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Februari lalu turut memberi kelebihan kepada gabungan itu untuk mendapat sokongan rakyat.
"Kalau BN dan parti gabungannya di Sabah gunakan logo berlainan, mungkin ia kelirukan pengundi yang mahu menyokong gabungan parti kerajaan untuk buat pilihan tepat.
"Jadi mana-mana pengundi yang tidak memilih atau mengundi berdasarkan calon dan mahu menyokong parti kerajaan, mereka akan pangkah berdasarkan logo BN.
"Atas sentimen logo ini, akan ada pengundi yang akan memangkah berdasarkan logo parti dan bukan melihat kepada calon yang bertanding," katanya.
Menurut beliau, rakyat di Sabah dijangka cenderung untuk menyokong parti kerajaan memandangkan negeri itu masih memerlukan banyak pembangunan bagi memenuhi keperluan rakyat.
Katanya, keadaan itu juga akan mempengaruhi tahap sokongan kepada kerajaan negeri terdahulu iaitu Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan).
"Bila Warisan dan PH sudah tidak jadi kerajaan di peringkat Persekutuan, rakyat sudah tentu bimbang terutama dari peruntukan yang akan disalurkan kepada negeri itu untuk projek pembangunan.
"Oleh itu keputusan terbaik semestinya dengan menyokong parti kerajaan Persekutuan," katanya.
Pada 30 Julai lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin telah berkenan untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan ekoran kemelut politik negeri berkenaan.
Klik di sini untuk terus membaca