BARISAN kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) digesa melakukan bedah siasat selepas beberapa pemain senior negara mengalami kecederaan semasa mengharungi Kejohanan Jemputan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), baru-baru ini.
Bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj berkata, bedah siasat itu penting menjelang saingan Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan berlangsung di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan.
"Bagi saya kejohanan ini bagus, tapi saya tengok macam ni, orang semua ingat Zii Jia (Lee) yang menang tetapi sebaliknya kalah malah terdapat beberapa pemain lain pula cedera. Jadi jurulatih kena tengok mengapa mereka ini boleh mengalami kecederaan.
"Kenapa Zii Jia tidak menang? Kenapa budak (Ng Tze Yong) itu menang? (Liew) Daren dan (Goh) Liu Ying- (Chan) Peng Soon pun kalah. Kesimpulannya ramai pemain utama kita kalah pada kejohanan ini.
"Jadi BAM kena buat bedah siasat segera bagi mengatasi masalah ini. Kalaulah tiba-tiba Persekutuan Badminton Dunia (BWF) umumkan beberapa kejohanan boleh diadakan dalam masa terdekat, bagaimana kita hendak hantar pemain disebabkan pemain kita cedera?” katanya kepada Sinar Harian semalam.
BAM menganjurkan kejohanan jemputan itu secara tertutup yang menyaksikan penyertaan 52 pemain termasuk lapan pemain profesional negara adalah bagi memastikan pemain negara kekal kompetitif susulan pembatalan beberapa kejohanan antarabangsa berikutan pandemik Covid-19.
Antara pemain yang mengalami kecederaan pada pertandingan itu selain Zii Jia adalah Soong Joo Ven, Leong Jun Hao, pemain beregu campuran negara, Goh Soh Huat, Goh Liu Ying dan pemain wanita nombor satu negara, Soniia Cheah.
Pada masa sama, James menjangkakan BAM akan berdepan masalah dalam pemilihan pemain terbaik untuk menyertai saingan Piala Thomas dan Uber sekiranya kejohanan berlangsung mengikut jadual.
"Masalahnya kita sekarang adalah pemain utama kalah sebaliknya pemain muda pula menyerlah. Ini mungkin kerana pemain muda beraksi tanpa tekanan pada kejohanan sebegini.
"Jadi macam mana hendak memilih pemain? Perkara ini kena difikirkan secara bersama oleh semua jurulatih yang bertanggungjawab, mereka perlu duduk semeja melakukan bedah siasat.
"Pemilihan pemain sangat penting pada masa ini sebelum menyediakan barisan terbaik untuk menggalas cabaran negara kelak,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca