PASUKAN dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) kemungkinan besar berdepan kesukaran untuk mencari pembeli yang sanggup membeli pasukan selepas proses penswastaan selesai nanti. Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan... Klik di sini untuk terus membaca

PASUKAN dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) kemungkinan besar berdepan kesukaran untuk mencari pembeli yang sanggup membeli pasukan selepas proses penswastaan selesai nanti.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, ia berdasarkan situasi semasa pasukan bola sepak yang tidak mempunyai nilai komersial yang mampu menarik pembeli untuk untuk menceburi industri bola sepak.

"Pada pendapat peribadi saya memang agak susah sikit untuk pembeli membeli kelab bola sepak.Kebanyakan pasukan bola sepak di negara ini tidak mempunyai aset dan nilai yang baik untuk menarik pembeli. Contohnya mereka tidak ada stadium sendiri, perlu menyewa tempat untuk latihan dan pemain itu sendiri tidak ada kontrak jangka panjang dan sebagainya.

"Kalau ada pembeli yang berminat sekalipun, sudah tentu mereka perlu ada duit yang banyak. Contohnya jika mereka ada setakat lima juta atau 10 juta itu belum cukup. Nak beli sesebuah kelab pun mungkin dalam lima juta, mereka memerlukan duit tambahan lagi untuk menggerakkan sesebuah kelab itu tanpa memikirkan keuntungan yang akan diperolehi.

"Selain itu, kalau contohnya seseorang ahli perniagaan nak beli sesebuah kelab bola sepak, mereka tentu akan lihat kalau dia labur lima juta, adakah dia akan dapat balik pelaburan tersebut. Perkara itu juga perlu diambil kira dalam situasi bola sepak yang kurang menguntungkan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, semua pasukan perlu melengkapkan proses penswastaan sebelum 30 September ini yang menjadi syarat wajib untuk bermain dalam saingan Liga-M musim depan.

Namun, dalam keadaan ekonomi kurang stabil ekoran pandemik Covid-19, kelab bola sepak dilihat sukar untuk mencari pembeli untuk membelanjakan wang semata-mata untuk membeli kelab bola sepak.

Mengulas lanjut, kata Effendi Jagan, beliau melihat antara cara yang mungkin praktikal boleh dilakukan kelab bola sepak di negara ini adalah mencari pelabur tanpa menjual sepenuhnya kelab bola sepak itu kepada individu atau syarikat.

"Paling kurang risiko mungkin perlu cari empat atau lima orang pelabur untuk melabur dalam kelab bola sepak itu. dengan cara itu ia akan mengurangkan beban yang perlu ditangggung.

"Kalau seorang sahaja yang beli, dan tiba-tiba gagal diuruskan ia akan menyebabkan kesemua operasi kelab itu tergendala dan masalah akan tetap berulang," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan konsep penonton memiliki kelab bola sepak sebagai model paling ideal dilaksanakan mengikut acuan yang telah digunapakai oleh pasukan gergasi dunia seperti Real Madrid dan Barcelona.

"Saya juga melihat jika ada pembeli yang mahu membeli, setiap pasukan bola sepak perlu mengutamakan pembeli yang mempunyai latar belakang seperti anak jati sesebuah negeri yang sudah tentu misinya lebih positif dan cenderung memajukan bola sepak di negeri tersebut," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca