RAMPASAN kuasa tentera yang berlaku di Mali pada Selasa lalu menyebabkan bekas penjajah negara itu, Perancis mengalami mimpi diplomatik mengerikan setelah melabur sejumlah besar modal politik serta ketenteraan dalam kempen serantau bagi... Klik di sini untuk terus membaca

RAMPASAN kuasa tentera yang berlaku di Mali pada Selasa lalu menyebabkan bekas penjajah negara itu, Perancis mengalami mimpi diplomatik mengerikan setelah melabur sejumlah besar modal politik serta ketenteraan dalam kempen serantau bagi menentang golongan jihad kini berada dalam bahaya.

Berikutan rampasan itu, Presiden Ibrahim Boubacar Keita meletakkan jawatan pada awal Rabu lalu selepas berlaku protes awam antikerajaan bagi menentang pemerintahanya yang dianggap korup dan tidak cekap dan berlaku selama berminggu-minggu.

Peletakkan jawatan itu berlaku ketika negaranya diselubungi dengan masalah ekonomi, rasuah dan pemberontakan golongan jihad.

Keita berkata, beliau tidak diberikan pilihan lain melainkan meletakkan jawatan sekali gus mengelakkan pertumpahan darah.

Seorang pegawai tentera, Kolonel Assimi Goita pada Rabu lalu pula mengumumkan dirinya sebagai ketua rampasan kuasa yang menggulingkan presiden itu.

"Biarkan saya memperkenalkan diri saya. Saya ialah Kolonel Assimi Goita, pengerusi Jawatankuasa Penyelamat Penduduk," katanya selepas bermesyuarat dengan pegawai-pegawai tinggi awam.

Sebelum ini, kelibat beliau dalam kalangan sekumpulan pegawai-pegawai yang dilihat dalam televisyen untuk mengumumkan rampasan tersebut tetapi tidak bercakap sepatah perkataan pun.

"Mali kini dalam situasi krisis politik. Tidak ada ruang lagi untuk melakukan kesilapan," katanya kepada pemberita yang dikelilingi askar-askar bersenjata baru-baru ini.

Seorang anggota tentera yang berada bersama Goita berkata, beliau berumur dalam linkungan 40an dan mengetuai pasukan khas berpangkalan di tengah negara barat Afrika itu yang musnah selama lima tahun akibat keganasan fahaman agama dan penentangan golongan jihad.

Sementara itu, sejumlah penduduk meraikan kegembiraan ketika askar-askar negara itu tiba di ibu kota Mali, Bamako.

Beberapa penganalisis berkata, kegagalan untuk mengurangkan penentangan kumpulan jihad telah merupakan faktor utama kekecewaan dalam pemerintahan Keita.

Dalam pada itu, kehadiran tentera Perancis kadangkala dilihat tidak popular dalam kalangan penduduk tempatan di Mali.

Bagaimanapun, askar-askar negara itu telah lama terlibat dalam kempen antipengganas sejak tahun 2013.

Kempen ketenteraan itu dipacu lebih 5,000 anggota tentera Perancis dalam Operasi Barkhane di Mali, Burkina Faso, Niger, Mauritania dan Chad adalah bagi membawa kestabilan dalam konlik di wilayah tersebut yang turut dilanda kemiskinan sekali gus membolehkan kerajaan memperkukuhkan institusi-institusi selain mengutamakan pembangunan yang diperlukan.

Ibrahim Boubacar Keita mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden Mali berkuat kuasa dengan segera pada Rabu lalu. - Foto AFP

Namun, kini Perancis perlu bekerja dengan sebuah rejim yang melakukan rampasan kuasa ke atas Keita yang sering dirujuk dengan panggilan IBK.

"Cabarannya adalah untuk Perancis mengekalkan satu keseimbangan. Ia perlu mengutuk rampasan kuasa itu. Negara itu juga perlu bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin baru," kata seorang kumpulan pemikir, Michael Shurkin dari Perbadanan RAND yang beribu pejabat di California, Amerika Syarikat (AS).

"Ia (Perancis) perlukan satu kesimpulan yang baik tetapi ia perlu terlalu berhati-hati bagi mempengaruhi keputusannya itu," katanya kepada AFP.

Paris menyatakan kutukannnya selepas laporan awal menyebut satu pemberontakan tentera telah berlaku di Mali.

Tetapi, ia belum mengutuk penggulingan Keita sebagai presiden seperti dakwaan oleh para pemimpin yang melakukan rampasan kuasa tersebut ketika itu.

Pada Rabu lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, perjuangan bagi menentang kumpulan-kumpulan pengganas dan mempertahankan demokrasi serta kedaulatan undang-undang tidak boleh dipisahkan.

"Meninggalkan (tugas di Mali) adalah untuk menghasut ketidakstabilan dan melemahkan perjuangan kami. Ia tidak boleh diterima," kata Macron menerusi Twitter sambil mendesak supaya kuasa dikembalikan kepada orang awam selain meminta presiden Mali dan perdana menterianya dibebaskan ketika itu.

Campur tangan tentera Perancis di Sahel sudah berlanjutan selama tujuh tahun dengan melibatkan kos kira-kira $1 bilion (RM4.17 bilion) setiap tahun, menurut Majlis Hubungan Asing di New York.

Tentera itu juga berjaya memperoleh kemenangan beberapa kali tetapi kumpulan jihad meneruskan serangan maut menyebabkan 22 askar Perancis terkorban.

Situasi itu menyebabkan Perancis digelar berperang buat selama-lamanya.

Kehadiran askar-askar negara itu telah menyebabkan ia tidak popular dan ribuan penduduk lagi melakukan protes di Mali dan Burkina Faso bagi menentang apa yang mereka panggil sebagai pendudukan tentera Perancis.

Bagaimanapun, tanpa mengambil kira rayuan masyarakat antarabangsa, anggota-anggota tentera Mali pada Selalu lalu menahan presiden, perdana menteri, ahli-ahli Kabinet dan pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Tindakan para pemimpin rampasan kuasa itu dikutuk oleh Kesatuan Eropah (EU), Kesatuan Afrika dan kumpulan wilayah serantau iaitu Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) dengan menegaskan keamanan di negara tersebut adalah 'keutamaan mereka' selain berjanji untuk melakukan pilihan raya dalam tempoh masa yang munasabah.

"Pihak junta (sebenarnya) tidak mahu sokongan komuniti antarabangsa beralih," kata Yvan Guichaoua iaitu seorang penyelidik daripada Sekolah Kajian Antarabangsa, Universiti Kent, Brussels menerusi Twitter.

"Objektifnya kelihatan untuk menyingkirkan IBK dan sekutunya daripada tampuk kuasa," tambahnya.

Namun, Perancis sendiri berasa ragu mengenai kemampuan Keita bagi memperbaiki keselamatan dan pemerintahan di Mali, kata beberapa penganalisis.

Justeru, Shukri iaitu penganalisis daripada Perbadanan Rand yang disebut sebelum ini percaya rampasan kuasa itu mungkin pada teorinya menampakkan hasil yang terbaik jika ia menghasilkan sebuah kerajaan yang berfungsi dengan lebih baik.

"Sudah diketahui bahawa pelbagai perkara tidak berjalan dengan baik sebelum rampasan kuasa itu. Mali di bawah pemerintahan IBK membuat sedikit kemajuan yang sekali gus bermakna kejayaan strategi Perancis dipersoalkan," katanya.

Seorang pegawai tentera, Kolonel Assimi Goita mengumumkan beliau ialah ketua rampasan kuasa yang berlaku di Mali pada Selasa lau. - Foto AFP

Sehubungan itu, dalam tempoh jangka pendek, diplomat Perancis dan beberapa pemimpin tentera berdepan dengan tugas yang menggunung.

"Dengan cara lain, ia kembali ke peringkat asal," kata seorang pakar Sahel daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa, Jean-Herve Jezequel.

"Lapan tahun berusaha, kembalinya suasana ketika seperti rampasan kuasa di Mali pada tahun 2012 dengan situasi menjadi keliru di Bamako dan lebih banyak pemberontakan bersenjata serta berlakunya peningkatan keganasan antara etnik," ujarnya.

Seorang pakar sejarah, Michel Goya meramalkan satu pergolakan politik akan berlanjutan selama beberapa bulan.

"Bagi tentera Perancis, ia menyebabkan perkara menjadi lebih rumit. Operasi (menentang kumpulan jihad) boleh diteruskan, mereka boleh kendalikan secara bebas.

"Namun, kerjasama dengan tentera Mali mungkin akan terhenti. Kumpulan-kumpulan bersenjata pula mungkin akan cuba mengambil kesempatan terhadap keadaan tersebut bagi meluaskan lagi tindakan mereka," ujarnya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca