Keselamatan para pemain, pegawai dan sesiapa sahaja yang terlibat perlu menjadi keutamaan apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) membabitkan perlawanan tertunda bersambung semula hari ini.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, pihaknya sentiasa menasihatkan kepada semua persatuan bola sepak supaya mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Kita sudah memberi nasihat kepada semua persatuan bola sepak bahawa kesihatan pemain dan pegawai serta semua yang terlibat dalam bola sepak menjadi keutamaan.
"Kita pun sudah beri nasihat dan mereka perlu bekerjasama rapat dengan kementerian yang terlibat untuk memastikan SOP dan nasihat tersebut diambil kira,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Saingan Liga-M akan bersambung semula secara rasminya pada 28 Ogos ini selepas ditangguhkan pada pertengahan Mac lalu akibat penularan pandemik Covid-19.
Namun, dua perlawanan yang berlangsung hari ini membabitkan aksi tertunda CIMB Liga Super antara PJ City FC menentang Terengganu FC serta pertemuan Liga Premier antara UKM FC dan Kelantan.
Namun, timbul kebimbangan di sebalik kes Covid-19 yang masih menular dan banyak pihak yang tidak bersetuju saingan Liga-M disambung semula.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, AFC tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam aksi domestik dan apa yang boleh dilakukan badan induk bola sepak Asia itu hanyalah memberikan nasihat.
"Contohnya di Malaysia kalau ada SOP, maka mereka kena ikut. Perkara ini adalah berkaitan domestik. Jadi mereka kena ikut nasihat yang telah ditetapkan kerajaan. Kita tiada hak untuk mencampuri dalam hal liga di negara masing-masing.
"Jadi kita kena biarkan setiap pasukan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat apa yang mereka perlu. Saya yakin mereka juga sudah merujuk kepada pihak berwajib untuk menyambung saingan liga ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memberitahu, tidak banyak kes Covid-19 melibatkan pemain pandemik dan pegawai pasukan di rantau Asia dicatatkan setakat ini.
"Saya yakin semua liga di negara Asia ini mempunyai SOP tertentu dan mewajibkan semua pemain dan pegawai membuat ujian calitan terlebih dahulu sebelum dibenarkan bermain,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca