Emiriah Arab Bersatu (UAE) ialah pemain geopolitik yang pintar di Asia Barat. Penghormatan wajar diberikan kepada mereka kerana mengubah padang pasir Dubai dan Abu Dhabi menjadi penjana ekonomi utama di bawah Putera Mahkota Muhammad Bin Zayed; sering dikenali sebagai MBZ di media massa.
Tetapi jika UAE melalui Kementerian Luarnya mendesak dunia Islam untuk mempercayai bahawa niatnya mengiktiraf Israel, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghentikan pemilikan paksa ke atas wilayah Palestin yang diduduki Israel, maka UAE mungkin terkeliru dengan ‘niat baik’ itu yang sebenarnya tampak buruk hasil dasar yang sangat teruk.
Pertama, Israel memanglah telah bersetuju untuk menangguhkan sebarang pelan pemilikan paksa terhadap wilayah Palestin di Tebing Barat sementara usaha membaik pulih hubungan dengan UAE selesai. Tetapi ia hanya sementara.
Bagaimanapun, tanpa skop tanggungjawab Israel yang jelas di bawah perjanjian yang belum jelas antara UAE dan Israel, apa yang telah dimulakan oleh MBZ adalah seolah-olah proses mencari jalan bagi menghalalkan setiap pelanggaran yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri lima penggal Israel, Benjamin Netanyahu; terutamanya sepanjang tempoh ‘perlindungan menyeluruh’ daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sebagai contoh, menurut Peace Now iaitu sebuah kumpulan aktivis Israel, semasa "tempoh pemerintahan Presiden Trump selama tiga tahun terakhir, sebanyak 6,800 unit kediaman baharu atau purata 2,267 unit setahun telah dibina di wilayah Palestin.PenempatanHarus diingatkan bahawa rakyat Palestin telah berjuang untuk mewujudkan sebuah negara masa depan yang terdiri daripada daerah Tebing Barat Sungai Jordan dan Gaza di pantai Mediterranean.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sendiri menganggap Tebing Barat dan Jerusalem Timur sebagai wilayah yang diduduki dan sebarang aktiviti membangunkan penempatan Israel di kawasan terbabit adalah haram dari sudut undang-undang antarabangsa.
Kedua, sementara UAE mungkin percaya bahawa keputusan untuk menghentikan pendudukan paksa itu bergantung kepada pemerintahan Netanyahu, namun hakikatnya kedudukan Trump sebagai Presiden AS memainkan peranan yang lebih besar.
Pada 3 November 2020, ada kemungkinan Trump akan dikalahkan oleh calon Presiden Joseph Biden dan regunya, calon Naib Presiden Kamala Harris daripada Parti Demokrat. Ini susulan betapa buruknya reputasi Trump dalam menguruskan wabak Covid-19.
Antara tahun 2009 hingga 2014 sahaja, penempatan Israel di bawah Netanyahu telah meningkat dua kali ganda di tanah Palestin yang diduduki secara haram. Kini, terdapat lebih 450,000 peneroka haram Israel di wilayah Palestin.
Malah, menjelang pilihan raya Israel pada bulan September 2019 lalu, Netanyahu telah berjanji untuk memperluas penempatan baharu Israel.
Adakah ini jenis pemimpin yang membuatkan UAE ingin mengiktiraf Israel? Netanyahu ialah seorang pemimpin Israel yang semakin tidak popular. Nasibnya mungkin akan jauh lebih goyah jika pentadbiran baharu mengambil alih AS selepas 3 November nanti.
UAE seharusnya menyatukan dunia Islam terlebih dahulu, secara idealnya dengan mewujudkan Perikatan Bangsa-bangsa Muslim untuk menambah kekuatan umat Islam.
Kita sekarang cuma boleh berharap agar negara Muslim lain tidak mengikut jejak langkah UAE kerana ia bukan sahaja dapat dihukum secara moral, malah melemahkan penyelesaian kemelut Israel dan Palestin yang dapat menjamin keamanan berpanjangan.
* Datuk Dr Rais Hussin ialah Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
Klik di sini untuk terus membaca