PULUHAN ribu penunjuk perasaan berhimpun di tengah-tengah bandar Minsk pada Ahad lalu bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Belarus, Alexander Lukashenko yang berada di dalam sebuah helikopter di tempat perhimpunan dan menggelarkan para penunjuk perasaan sebagai 'tikus'.
Pemimpin autoritarian itu yang kemudian memegang selaras senapang raifal automatik semasa mendarat di kediamannya di tengah Minsk mengarahkan pihak tentera supaya berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi cabaran terbesar dalam pemeritahannya selama 26 tahun di negara bekas Kesatuan Soviet itu.
"Mereka melarikan diri seperti seekor tikus," kata Lukashenko seperti yang dipaparkan dalam sebuah video ketika berada di dalam helikopter itu bersama seorang anak lelakinya, Nikolai selepas protes itu pada akhirnya berpecah-belah.
Presiden itu telah menghantar pasukan polis rusuhannya yang terkenal dengan kekejaman untuk menyuraikan perhimpunan tersebut yang berlaku selepas Lukashenko mendakwa memenangi pilihan raya. Beliau akan terus memerintah bagi penggal keenam selepas memperoleh 80 peratus undi baru-baru ini tetapi pihak pembangkang mendakwa ia telah dimanipulasi dengan penipuan.
Namun, dengan cuaca hujan pada petang Ahad lalu, para penunjuk perasaan tersebut berpecah-belah secara sukarela tanpa berlakunya pertempuran dengan pasukan polis pencegah rusuhan.
Ia merupakan situasi aman yang ditunjukkkan oleh para penunjuk perasaan.
Sejumlah penunjuk perasaan membawa bendera merah dan putih pada awalnya membanjiri Dataran Kemerdekaan dan berarak selain melaungkan 'kebebasan' dan 'kami tidak akan lupa, kami tidak akan maafkan' ketika melepasi sejumlah kereta yang membunyikan hon sebagai tanda sokongan.
"Kami mempunyai dua permintaan (iaitu) pilihan raya yang adil dan hentikan keganasan," kata seorang penunjuk perasaan yang hanya mahu dikenali sebagai Igor kepada AFP.
Beberapa pegawai memberi amaran kepada penduduk Belarus tentang penyertaan dalam tunjuk perasaan dan berita-berita tempatan menyiarkan imej yang menunjukkan meriam air dan anggota-anggota pasukan pencegah rusuhan dengan memakai alat pelindung bergerak ke arah Dataran Kemerdekaan.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan berkata, ia akan campur tangan untuk melindungi memorial Perang Dunia Kedua dan beberapa stesen tren di Minsk pula telah ditutup.
Media yang condong kepada pembangkang pula menyatakan lebih 100,000 penunjuk perasaan berhimpun di ibu kota buat kali kedua pada Ahad lalu dan tunjuk perasaan yang lebih kecil turut dilaporkan berlaku di bandar-bandar lain.
Sebagai solidariti, tunjuk perasaan di negara jiran, Lithuania pula membentuk satu rantaian manusia dari Vilnius ke sempadan Belarus, tiga dekad selepas para penduduk di negara Baltik membantah pemerintahan Lukashenko.
Kesatuan Eropah (EU) juga telah menolak keputusan pilihan raya Presiden Belarus baru-baru ini dan berikrar akan melaksanakan sekatan ke atas penduduk negara tersebut yang bertanggungjawab dalam penipuan undi itu.
Tambahan pula, satu tindakan polis bagi memerangi tunjuk perasaan telah menyebabkan hampir 7,000 orang ditangkap dengan tuduhan berlakunya penderaan yang kejam serta penyeksaan ketika sebahagian daripada mereka berada dalam tahanan polis.
Seorang diplomat utama EU, Josep Borrell memberi amaran bahawa Belarus tidak sepatutnya dibenarkan menjadi seperti Ukraine dan menyatakan adalah penting untuk menangani masalah dengan pemimpin berusia 65 tahun itu yang merupakan pemimpin Eropah paling lama berkuasa.
Pengerusi Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE), Edi Rama yang juga Perdana Menteri Albania merangkap Menteri Eropah dan Hal Ehwal Luar turut menawarkan untuk menjadi orang tengah bagi mencari penyelesaian terhadap krisis itu.
Ia dinyatakan dalam sepucuk surat yang dihantar kepada bakal penggantinya sebagai pengerusi itu, Menteri Luar Sweden, Ann Linde tetapi berjaya dilihat oleh AFP.
Lelaki yang digelar sebagai diktator terakhir Eropah itu mengetepikan desakan untuk berudur sekali gus menolak untuk mengadakan pilihan raya sekali lagi sebaliknya mengarahkan pasukan perkhdimatan keselamatannya mematahkan ketidak tenteraman dan menjamin keselamatan di kawasan sempadan negara.
Satu rakaman video yang diedarkan oleh pejabat presiden menunjukkan Lukashenko memegang raifal automatik dan memakai pakaian pelindung badan semasa menaiki sebuah helikopter membawanya pulang ke kediaman rasminya.
Jurugambar AFP menunjukkan sejumlah penunjuk perasaan berhimpun berdepan dengan pegawai-pegawai penguat kuasa undang-undang yang mengawal kediamannya dikenali sebagai Istana Kemerdekaan pada waktu petang.
Bagaimanapun, beberapa koresponden berkata, mereka berhimpun dalam masa yang singkat.
Badan kehakiman pentadbiran Lukashenko membuka siasatan ke atas Majlis Penyelarasan yang ditubuhkan oleh calon presiden yang menentangnya dalam pilihan raya lalu iaitu Sviatlana Tsikhanouskaya.
Majlis itu meminta satu pilihan raya baru dan peralihan kuasa secara aman diadakan selepas presiden Belarus itu mendakwa pihak pembangkang mahu merampas kuasa.
Bekas ketua perladangan itu sebelum ini pernah mengarahkan pihak tentera berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Dia berkata demikian semasa satu pemeriksaan tentera dekat sempadan dengan EU pada Sabtu lalu dan memberi amaran mengenai pergerakan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di negara jirannya.
"Tanah air kita kini berada dalam keadaan bahaya. Kami tidak bergurau," kata Lukashenko.
Presiden Lithuania, Gitanas Nauseda berkata, Lukashenko cuba untuk mengalihkan perhatian daripada ketidaktenteraman yang berlaku di negaranya manakala NATO menafikan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas.
Sementara itu, pemimpin pembangkang Belarus iaitu Tikhanovskaya yang merupakan seorang wanita berusia 37 tahun dan melarikan diri ke Vilnius kerana bimbang dengan tindakan balas kerana meningkatkan cabaran yang hebat kepada Lukashenko sehingga dia mendakwa mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
Dalam satu temu ramah dengan AFP sebelum tunjuk perasaan berlangsung pada Sabtu lalu, dia mendesak supaya para penunjuk perasaan meneruskan tekanan dan berkata, adalah penting untuk terus bersatu dalam perjuangan.
Pihak berkuasa perlu memahami bahawa: "Kita bukan sebuah pergerakan tunjuk perasaan, kita ialah majoriti dan kita tidak akan melangkah keluar. Kita tidak lagi takut kepada mereka."
Para penentang Lukashenko telah menganjurkan mogok dan protes terbesar dalam sejarah negara itu baru-baru ini tetapi sejumlah kecil pekerja di kilang-kilang milik kerajaan yang pada kebiasaanya menjadi tempat bagi menyokong presiden itu bertindak untuk meneruskan mogok.
Para aktivis telah menyatakan tekanan dilakukan oleh pihak berkuasa dan presiden Belarus itu mengancam untuk menutup bahagian pengeluaran di kilang-kilang tersebut yang mana para pekerja perlu berhenti daripada bekerja.
Kakitangan-kakitangan dalam sektor media juga melancarkan mogok dan Lukashenko mengaku bahawa wartawan dari Rusia telah diterbangkan ke Belarus untuk menggantikan mereka.
Rusia ialah sekutu kuat Belarus dan telah memberi amaran kepada para pemimpin Eropah supaya jangan masuk campur dalam urusan negara tersebut.
Bagaimanapun, Rusia menyatakan ia akan masuk campur di Belarus jika dirasakan ia perlu melakukannya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca