BARISAN atlet olahraga negara berpeluang menguji dan mencabar kemampuan diri masing-masing dalam kejohanan anjuran Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dijangka berlangsung pada Disember depan selepas penangguhan beberapa kejohanan dalam dan luar negara sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19.
Menurut Presiden KOM, Datuk SM Muthu, kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil bertujuan mengembalikan suasana dan semangat sebenar pertandingan dalam jiwa kalangan atlet olahraga negara sebagai persediaan memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan selepas hampir enam bulan tidak menyertai sebarang pertandingan.
"Ini adalah kejohanan yang pertama KOM rancang untuk diadakan dalam usaha membolehkan atlet negara menguji prestasi dan kemampuan diri masing-masing selepas menjalani latihan kecergasan dan fizikal di trek serta balapan sejak awal pertengahan Julai lalu.
"KOM melihat satu keperluan untuk menganjurkan satu kejohanan yang melibatkan atlet olahraga negara selepas semuanya kembali mendapat mood masing-masing setelah kembali ke trek dan balapan.
"Kejohanan ini secara tidak langsung membolehkan barisan atlet melakukan persiapan rapi bagi mengharungi kejohanan lebih besar pada tahun depan pada masa sama pentas terbaik untuk jurulatih mengkaji seterusnya menilai prestasi atlet masing-masing.
"Pada masa sama, KOM juga bercadang menjemput beberapa beberapa atlet dari luar negara bagi menjadikan kejohanan ini lebih kompetitif itupun seandainya situasi pandemik Covid-19 mula reda dan beransur pulih serta mendapat kebenaran pihak kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sesi latihan kem olahraga negara terpaksa ditangguhkan sejak 18 Mac lalu berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19.
Namun pertengahan Julai lalu, kerajaan membenarkan atlet trek dan balapan negara khasnya atlet di bawah program Podium dan pelapis kebangsaan kembali menjalani latihan dengan pematuhan tinggi terhadap semua garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, atlet negara tetap perlu mengambil serius setiap pertandingan yang bakal disertai sama ada kejohanan tertutup atau terbuka kerana ia mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI).
"Kejohanan ini perlu diambil serius oleh semua atlet olahraga negara kerana kita mahu menilai kemajuan setiap atlet selepas dua tiga bulan berlatih sekali gus memudahkan perancangan latihan seterusnya oleh barisan jurulatih,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca