"AKU nyaris merempuh seorang penunggang motosikal di simpang lampu isyarat di hadapan restoran makanan segera di Kampung Baharu Hicom. Wanita itu langgar lampu merah. Kalau tak sayang nyawa sendiri tak mengapa tapi masa itu dia ada anak membonceng di belakang. Apa akan berlaku kalau aku tak sempat tekan brek?”
Bukan main marah lagi rakan sepejabat, Ibrahim Darman bila berjumpa dengannya di kafe semalam. Ketika itu dia baru balik shooting klip video di Puchong.
Memang sikap penunggang motosikal yang suka melanggar lampu isyarat sering membuat pengguna jalan raya lain naik angin.
Perbuatan itu bukan sahaja berbahaya kepada diri mereka bahkan pengguna jalan raya yang lain. Bahkan salah satu sebab utama kemalangan dan kematian di jalan raya adalah disebabkan melanggar lampu isyarat merah.
"Takkan warna pun dah tak kenal. Ramai pengguna jalan raya yang buta warna barangkali. Warna lampu trafik pun tak tahu nak beza,” kata Ong Boon Teck yang kebetulan turut berada di kafe.
Ong berpengalaman selama lebih 30 tahun menunggang motosikal dari rumahnya di Wangsa Maju ke pejabat di Shah Alam setiap hari.
Dulu dia menunggang H, sekarang dia memandu H.
Memang tidak dapat dinafikan perbuatan melanggar lampu isyarat merah ibarat perkara biasa buat pengguna jalan raya di negara ini terutama yang menunggang motosikal. Lampu merah sepatutnya berhenti tetapi ramai yang memecut laju.
"Aku nak cepat sebab hendak mengejar masa!” Itulah alasan yang selalu diberikan. Bukankah hanya membuang masa kalau berlaku kemalangan?
Pertama, kena buat aduan di balai polis. Kedua, kena buat tuntutan insurans dan sebagainya. Belum lagi bertekak dan saling menuduh di tepi jalan. Paling leceh nak pergi kerja sebab kenderaan berada di bengkel untuk tempoh yang lama.
Itu sekiranya berlaku kemalangan kecil. Bagaimana pula jika terjadi kemalangan maut? Oleh itu ikutlah peraturan jalan raya. Berhenti sekejap bila lampu merah. Jalan semula bila lampu bertukar hijau.
Kini tiba masanya kita sama-sama mengubah minda. Pemandu atau penunggang motosikal yang bertanggungjawab sentiasa memastikan pemanduannya tidak berisiko kepada diri sendiri atau orang lain.
Kelmarin tular di media sosial rakaman video berdurasi 15 saat yang menunjukkan seorang anggota polis trafik menendang seorang penunggang motosikal yang cuba membuat pusingan U secara tiba-tiba.
Akibatnya, ramai yang mengecam tindakan itu. Memang dia bertindak agak agresif dan perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang anggota polis. Tapi kalau penunggang motosikal itu tidak membuat pusingan U secara tergesa-gesa, sudah tentu tidak kena flying-kick.
"Aku sokong polis tu. Takkan nak kena bagi salam, hulur business card dulu baru nak tahan kot. Susahlah kalau dengan yang langgar undang-undang pun nak kena bagi muka. Patut kita bagi penghargaan kepada polis tersebut. Bukan kecam dia,” komen Ariff Sanusi.
Selalunya bila berlaku kejadian begitu, polis yang sering dipersalahkan kerana tidak ikut prosedur operasi standard (SOP). Dalam keadaan kritikal macam itu, takkan nak ikut SOP. Menteri pun boleh langgar SOP. Selamba langgar kuarantin Covid-19.
Logiknya, bila kelam-kabut mesti ada sesuatu. Entah-entah bawa dadah, daun ketum atau rokok seludup. Atau penjenayah yang sedang diburu polis.
Apabila disiasat, rupa-rupanya tak ada lesen memandu. Sudahlah tak ada lesen memandu, motosikal pula tiada cukai jalan. Ekzos motosikal pula diubah suai. Lepas itu menunggang motosikal lawan arus.
"Berapa punya banyak kesalahan daaaa....”
Kata seorang rakan yang sudah biasa kena saman, kalau mengaku pada polis yang bertugas itu, silap-silap boleh setel di situ juga.
"Masuk mahkamah, buat rayuan kat majistret untuk kurangkan kompaun. Polis pun manusia, cakap elok-elok boleh selesai punya. Tak ada la kena terajang,” katanya sambil menghirup Kopi Janda.
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca