SETULUS kasih ibu, sedalam kasih ayah. Namun, Tok Ki rasa kata-kata itu agak keterlaluan bagi seorang bapa berusia 61 tahun yang sanggup berbohong kepada polis bagi melindungi anak lelakinya yang berusia 27 tahun yang terlibat dalam kemalangan maut.
Pada mulanya warga emas itu mengaku dialah pemandu kereta yang menyebabkan tiga orang maut dalam nahas di Mambau, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Namun, perkara itu terbongkar selepas rakaman CCTV mendapati pemandu kenderaan terbabit tidak kelihatan seperti seorang lelaki berusia 61 tahun seperti pengakuan awal si bapa.
Kemalangan itu berlaku di Mambau pada 22 Ogos lalu di hadapan sebuah surau di Jalan Mambau-Port Dickson. Akibat kemalangan itu, dua penunggang motosikal dan seorang pejalan kaki terbunuh.
Kejadian ini sangat ironik. Si bapa sanggup menggantikan tempat anaknya dan secara tidak langsung rela dihukum penjara 10 tahun penjara mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian.
Ternyata ujian anak mampu melemahkan bapa yang gagah perkasa. Ini termasuklah kes seorang anak VIP yang ditahan polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan gara-gara mabuk berparti di sebuah kelab malam baru-baru ini.
Bila difikir, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada filem Anakku Sazali lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Filem tahun 1956 itu menyaksikannya P Ramlee memainkan watak bapa dan anak sekali gus iaitu sebagai Hassan dan anaknya, Sazali.
Tok Ki pertama kali menonton filem itu pada zaman TV hitam putih sekitar penghujung 1970-an. Tak sangka mesej daripada filem itu rupa-rupanya begitu banyak mewarnai kehidupan dalam dunia sebenar sampai hari ini.
Antara pengajarannya ialah mendidik anak bukanlah dengan memberikan harta benda semata-mata; sayang anak bukanlah memenuhi segala permintaannya dan anak kita mungkin baik di depan kita, namun berkelakuan berbeza di belakang kita.
Perkara yang paling penting adalah didikan agama dan melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Sudah tujuh bulan arwah Abam Bocey meninggal dunia Februari lalu, namun kemelut antara pelawak Ali Puteh dan kakak iparnya Nor Hidayah berlarutan sehingga kini. Kedua-duanya kini sudah berbalas saman atas alasan fitnah.
Apa yang Tok Ki faham, kontroversi keluarga ini ada kaitan dengan harta peninggalan Abam. Tok Ki tidak menyebelahi sesiapa. Nor Hidayah dan anaknya bersama Abam yang baru berusia 15 bulan ada hak. Tetapi Tok Ki juga faham perasaan Ali apabila dia dituduh membolot harta peninggalan arwah abangnya.
Tanpa membabitkan keluarga Abam, isu perebutan dan pergaduhan adik-beradik, menantu-mertua dan ipar-duai disebabkan tanah pusaka dan harta peninggalan si mati bagaikan sudah lumrah dalam masyarakat Melayu.
Puncanya rata-rata kerana si pemilik harta tidak membuat perancangan awal dalam pengurusan harta mereka semasa hidup - tidak letak penama dan tidak ada wasiat. Iyalah, siapa sangka akan mati muda seawal usia 30-an atau 40-an.
Jadi sebaik-baiknya, selesaikanlah isu harta sementara kita masih hidup. Jangankan harta bertimbun, tanah sekangkang kera dan duit RM1,000 dalam bank pun boleh jadi punca bergaduh.
Kasihan keluarga yang tinggal. Amatlah malang, misalnya, jika seorang ibu berusia 85 tahun terpaksa turun naik mahkamah dengan berkerusi roda demi menuntut hak faraid berjumlah dua bilion ringgit yang ditinggalkan arwah anaknya yang kaya dan terkenal.
Tok Ki juga teringat cerita seorang ustaz berhubung kes seorang datuk membolot harta anaknya bernilai hampir RM500,000.
Dia enggan menyerahkan bahagian pusaka kepada cucu-cucu dan menantunya atas alasan dia satu-satunya penama semua harta arwah anak lelakinya.
Malah, dengan duit itu juga si datuk tadi pergi menunaikan haji dan umrah beberapa kali. Yang sedihnya, si datuk tadi ialah seorang imam masjid.
Ujian harta rupa-rupanya tidak kenal siapa.
Klik di sini untuk terus membaca