PERKEMBANGAN terbaharu pada Rabu lalu meningkatkan lagi ketegangan di Laut China Selatan yang melibatkan dua kuasa besar di dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.
Pada hari tersebut, Beijing dilaporkan melancarkan sehingga empat peluru berpandu balistik ke laut tersebut.
Peluru peluru berpandu itu diarahkan ke Kepulauan Paracel dan tenggara wilayah Hainan ke selatan Tanah Besar China.
Berikutan itu, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper ketika berada di Hawaii berkata, tentera China melakukan provokasi di Laut China Selatan dan Laut China Timur.
Bagaimanapun, satu sumber memberitahu portal berita South China Morning Post: "Ini ialah tindak balas China berikutan peningkatan pesawat perang AS dan kapal perang di Laut China Selatan. China tidak mahu negara-negara jiran silap memahami sasaran Beijing."
Pelancaran peluru berpandu tersebut dipercayai dilakukan untuk menunjukkan kekuatan Beijing di laluan penting perkapalan dunia itu.
Ia juga dilancarkan sehari selepas China mendakwa sebuah pesawat pengintip AS, U-2 memasuki zon larangan terbang tanpa kebenaran semasa Beijing mengadakan latihan ketenteraan di Laut Bohai di utara negara berkenaan.
Pencerobohan pesawat itu didakwa memasuki ruang udara Beijing sekali gus menjejaskan eksesais ketenteraan yang normal sekali gus mencabul peraturan tatacara baik antara AS dan China, kata jurucakap Kementerian Pertahanan negara itu, Wu Qian baru-baru ini.
Aktiviti kedua-dua negara itu di laut tersebut sejak akhir-akhir ini semakin aktif berikutan pilihan raya presiden AS yang semakin hampir diadakan.
Pilihan raya presiden AS itu akan diadakan pada 3 November ini.
Sebelum ini, China dan AS melakukan eksesias ketenteraan melibatkan aset-aset tentera seperti kapal pengangkut pesawat di Laut China Selatan.
Bukan sahaja kedua-dua negara itu tetapi Indonesia turut mengadakan latihan yang sama melibatkan ribuan anggota tentera.
Konflik di laluan perkapalan strategik itu didapati tegang sejak beberapa dekad lalu,
China didakwa telah membina kemudahan tentera di beberapa kawasan terumbu karang di Laut China Selatan sebagai cara untuk mengukuhkan kedaulatannya di sebahagian rantau tersebut sekali gus menentang tuntutan yang dibuat oleh Vietnam, Filipina, Malaysia dan Indonesia.
Kepulauan Spratly pula yang kaya dengan minyak dan gas menjadi rebutan antara Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam, Taiwan dan China.
Sementara itu, Kepulauan Paracel pula merupakan antara kepulauan yang didakwa Beijing berada di dalam dasar Satu China.
Kepulauan itu didakwa dituntut oleh Taiwan, China dan Vietnam walaupun Beijing menegaskan ia perlu dikaitkan dengan Tanah Besar China berikutan hak-hak sejarahnya.
Pada hari yang sama dengan pelancaran peluru berpandu itu, Washington menyenarai hitam 24 syarikat yang menjadikan sejumlah individu yang terlibat dalam pembinaan dan aktiviti ketenteraan di Laut China Selatan sebagai sasarannya.
Ia dilaporkan sebagai sekatan pertama dilakukan ke atas Beijing di laluan strategik itu.
Menurut portal berita Daily Express, pembinaan kemudahan sebuah pangkalan di bawah laut yang melibatkan projek bernilai £230 juta (RM1.26 bilion) tersebut bertujuan untuk menghapuskan tentangan AS sekali gus meningkatkan kawalan Beijing ke atas perairan yang menjadi tuntutan banyak negara itu.
Justeru, pakar-pakar keselamatan mendakwa ia dipercayai akan menjadi sebuah hab perisikan bawah laut yang dilengkapi dengan alat pengesan bagi membantu mengesan kehadiran kapal-kapal perang AS.
Dalam pada itu, Setiusaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr berkata pada Rabu lalu bahawa negaranya akan meneruskan rondaan di Laut China Selatan walaupun terdapat desakan supaya ia dihentikan dari China.
Namun, pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte telah menyatakan ia akan mendapat bantuan daripada Washington berikutan berlakunya peningkatan perbalahan antara Manila dengan Beijing di laluan perkapalan tersebut.
Sehubungan itu, berikutan konflik yang masih belum reda di Laut China Selatan, rencana pengarang Global Times berpendapat, risiko sebenar situasi di laut itu adalah kemungkinan disebabkan pergeseran ketenteraan yang semakin meningkat antara China dengan AS.
Negara-negara lain pula dilihat kurang terlibat dalam insiden maritim dengan Beijing, kata rencana pengarang itu.
Tanpa berselindung, Global Times menyatakan fokus utama dalam situasi di rantau itu adalah mengenai konflik maritim antara China dengan AS serta yang kini didapati semakin meningkat. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca